• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

SINDROM KEBOCORAN USUS (“LEAKY GUT SYNDROME”) : FAKTA ATAU AUTA

 

Salah satu keadaan yang tular di dalam laman web dan media sosial adalah sejenis penyakit yang dikenali sebagai "Leaky Gut Syndrome" (LGS) ataupun Sindrom Kebocoran/Ketelapan Usus. Keadaan ini dikatakan menjadi punca kepada banyak jenis penyakit. Golongan yang percaya dengan kewujudan LGS mendakwa ianya boleh diubati dengan mengambil suplemen, probiotik dan mengamalkan kaedah pemakanan tertentu. Memandangkan LGS ini seringkali disebut-sebut dan digunakan dengan meluas oleh penjual suplemen dan pengamal rawatan alternatif, maka saya telah membuat pencarian maklumat tentang LGS.

 

Rupa-rupanya istilah “leaky gut syndrome” ini bukan diperkenalkan oleh pakar di dalam bidang gastroenterologi ataupun Gastroenterologist ataupun pakar usus. Ia berkemungkinan besar diperkenalkan oleh pihak yang mempromosikan produk suplemen ataupun pengamal rawatan alternatif. Ada yang percaya istilah ini dipopularkan oleh pengamal Naturopathy yakni satu ideologi yang menolak rawatan hospital sebaliknya menggunakan pendekatan rawatan tanpa suntikan, ubat dan pembedahan. Sebenarnya tidak kurang juga doktor perubatan yang terikut-ikut dengan istilah LGS ini termasuk pusat rawatan integratif Klinik Cleveland dan Dr.Oz yang terkenal dengan pendapat yang kontroversi.  

 

Pertubuhan Penyelidik Usus Kanada (Canadian Society of Intestinal Research) bersetuju bahawa memang terdapat keadaan di mana lapisan sel-sel yang meliputi dinding usus menjadi lebih telap dan membenarkan molekul yang lebih besar untuk masuk ke dalam aliran darah. Mereka memanggil keadaan ini sebagai “ intestinal permeability” (ketelapan urus). Di dalam keadaan normal terdapat struktur di antara sel di dinding usus dikenali sebagai "tight junction" yang menapis makanan agar hanya nutrient dan air sahaja dapat masuk ke dalam aliran darah. Apabila lapisan usus ini terdedah kepada bahan yang tajam seperti toksin, ubat tahan sakit (NSAIDs), ubat sitotoksik dan lain-lain, "tight junction" tadi menjadi longgar.  Walau bagaimanapun molekul yang boleh terlepas daripada " tight junction" ini masih lagi molekul yang sangat kecil. Walaupun pertubuhan ini bersetuju wujud ketelapan usus namun mereka mempunyai pendapat yang berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pihak yang menyokong LGS.

 

Mengikut pengamal yang mendakwa kewujudan “leaky gut syndrome” (LGS), sindrom ini berlaku apabila usus terdedah kepada toksin, jangkitan dan bahan kimia yang merosakkan selaput usus sehingga molekul-molekul besar termasuk partikel makanan, toksin dan bakteria boleh masuk ke dalam aliran darah dan menyebabkan berlakunya tindakbalas imun dan keradangan. Kesan kompleks imun yang dihasilkan juga boleh menyebabkan malnutrisi dan gangguan penapis darah di otak ("breach blood brain barrier"). Akibat daripada LGS ini berlakulah penyakit seperti alahan makanan, asma, migrain, chronic fatigue syndrome (sindrom keletihan kronik), multiple sclerosis, eczema, psoriasis, rheumatoid arthritis, autism, diabetes, "irritable bowel syndrome", penyakit Crohn's dan lain-lain lagi. Jadi pesakit LGS ini boleh mengalami bermacam-macam gejala yang dikaitkan dengan mana-mana penyakit yang disebutkan tadi. Di antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan LGS adalah ubat tahan sakit, antibiotik, alkohol, merokok, jangkitan (bakteria dan kulat), toksin dan lain-lain. Pendokong LGS percaya stres juga boleh menjadi punca LGS.

 

Walaupun pakar perubatan bersetuju tentang wujudnya kebocoran/ketelapan lapisan usus (“increase intestinal permeability”), mereka berpendapat ianya tidak cukup telap untuk membenarkan molekul2 yang besar untuk terlepas dan mereka menyangkal bahawa ini adalah punca penyakit yang didakwa. Pendapat di atas juga dipersetujui oleh Dr. Mark Crislip, Pakar Jangkitan Penyakit (“Infectious Disease Physician) yang juga merupakan pengasas dan President Pertubuhan Science-Based Medicine. Ketelapan usus merupakan kesan sampingan akibat penyakit yang melibatkan usus dan bukan punca penyakit yang didakwa.

 

Berikut adalah beberapa hujah Pertubuhan Penyelidikan Usus Kanada tentang LGS:

 

1. Fenomena LGS boleh berlaku, tetapi tidak menyebabkan penyakit yang didakwa. Pakar perubatan menggunakan istilah “increase intestinal permeability” (peningkatan ketelapan usus).

 

2. Gejala-gejala yang dikaitkan dengan LGS hanyalah spekulasi dan tidak pernah dibuktikan.

 

3. Tidak ada bukti kajian saintifik yang menunjukkan keadaan ini boleh dipulihkan dengan mengambil suplemen dan probiotik seperti mana yang didakwa.

 

4. Apabila terdapat keraguan ketara terhadap wujudnya LGS dan penyakit yang dikaitkan dengannya, banyak nasihat yang diberikan untuk tujuan mengurangkan gejala LGS tentu sangat meragukan. Di antara nasihat2 yang diberikan untuk mengurangkan gejala LGS adalah tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan gula termasuk buah2 yang manis, tidak mengambil makanan yang mengandungi gluten, mengambil bijirin, mengamalkan sayur yang difermentasi, mengambil sayuran tertentu seperti brakoli, mengambil herba, mengamalkan probiotik, tidak mengambil alkohol dan lain-lain. Walaupun ada nasihat-nasihat ini yang baik dan bermanfaat namun ia tidak ada kaitan dengan LGS.

 

5. Jika ada dakwaan pesakit yang merasa lega selepas mengamalkan rawatan dan nasihat, ianya dipercayai sebagai kesan placebo ataupun kesan manfaat lain yang disebabkan oleh amalan tersebut dan tidak ada kaitan dengan LGS.

 

6. Melainkan anda mengalami sesuatu masalah usus seperti penyakit celiac, “irritable bowel syndrome” , alahan kepada makanan tertentu dan lain-lain yang telah disahkan oleh doktor, anda tidak perlu mematuhi arahan penghadkan makanan tertentu yang diberikan oleh pendokong LGS.

 

7. Tidak ada bukti bahawa peningkatan ketelapan usus menyebabkan penyakit seperti yang didakwa. Jadi jika ada individu yang mencadangkan ujian kononnya untuk mengesan LGS, ianya adalah jelas satu bentuk penipuan.Tidak ada ujian diagnostik untuk mengukur ketelapan usus yang dikaitkan dengan LGS.

 

8. Tidak ada kajian yang kukuh menyokong ujudnya keadaan yang dikenali sebagai Leaky Gut Syndrome (LGS)

 

9. Terdapat ujian untuk mengesan individu yang mengalami ketelapan usus ("intestinal permeability") dengan mengukur kandungan 2 jenis gula yang tidak boleh dihadamkan iaitu mannitol dan laktulos di dalam air kencing. Walau bagaimanapun kebanyakan pakar perubatan tidak menggunakan ujian ini kerana tidak begitu berwibawa ("reliable"). Memandangkan tidak ada bukti bahawa ketelapan usus menyebabkan penyakit2 seperti yang didakwa, maka ujian ini sebenarnya bukanlah ujian pengesahan (diagnostik) kepada LGS kerana istilah LGS ini sendiri diragui.

 

Kesimpulannya, Leaky Gut Syndrome adalah satu istilah yang dicipta oleh golongan tertentu untuk menjustifikasikan amalan mengambil suplemen dan mengamalkan diet tertentu. Walaupun ahli sains setuju wujudnya keadaan yang dinamakan peningkatan ketelapan usus (“increased intestinal permeability”) , keadaan ini bukanlah penyebab kepada penyakit-penyakit yang didakwa oleh pendokong LGS. Ia mungkin kesan sampingan yang wujud akibat daripada penyakit yang berkaitan dengan usus.Tidak ada bukti saintifik yang menyokong tentang kewujudan LGS apatah lagi dakwaan bahawa LGS adalah punca terjadinya pelbagai jenis penyakit yang dinyatakan di atas. Umumnya, pakar perubatan yang mewakili amalan perubatan arus perdana tidak mengiktiraf kewujudan penyakit ataupun keadaan yang dinamakan LGS. Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati jika ada pihak yang mendakwa mereka menghidap LGS dan mengesyorkan rawatan tertentu. Apa yang terbaik anda patut lakukan adalah berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu jika mengalami sebarang gejala-gejala kesihatan untuk menjalani pemeriksaan dan ujian bagi mengesan penyakit yang sebenar.

 

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

 

RUJUKAN

 

https://sciencebasedmedicine.org/leaky-bowel/

https://sciencebasedmedicine.org/author/mark-crislip/

https://www.nhs.uk/conditions/leaky-gut-syndrome/

https://badgut.org/information-centre/a-z-digestive-topics/leaky-gut-syndrome/

https://www.cbhs.com.au/health-well-being-blog/blog-article/2017/10/29/the-latest-on-leaky-gut-syndrome

 

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA ATAUPUN MANA-MANA PIHAK MENGAMBIL BAHAN DI DALAM  RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

 

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now