RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA

 

RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA

 

Pada keseluruhannya perkhidmatan kesihatan di Malaysia disediakan oleh kerajaan, swasta dan juga NGO. Di dalam rencana ini fokus saya adalah perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Kesihatan adalah salah satu aspek kehidupan manusia yang sangat penting. Tanpa kesihatan yang optima, manusia tidak dapat hidup dengan selesa dan akan mengalami pelbagai masalah. Setiap individu memerlukan penjagaan ataupun pemeliharaan kesihatan yang berbeza. Sebahagian mereka memerlukan penjagaan asas yang biasa dan ada juga yang memerlukan penjagaan yang lebih istimewa serta kompleks. Berdasarkan kepada keperluan ini, sistem perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan kita telah dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut.

 

PENJAGAAN KESIHATAN PRIMER (“PRIMARY HEALTHCARE”)

 

Penjagaan kesihatan primer (PKP) adalah mengenai pemeliharaan kesihatan secara keseluruhan bukan hanya tertumpu kepada rawatan penyakit. PKP meliputi 3 aspek iaitu (1) Memberikan kuasa kepada orang awam dan masyarakat, (2) Menyediakan polisi yang melibatkan banyak sector & perlaksanaan dan (3) Integrasi perkhidmatan kesihatan. PKP adalah penjagaan kesihatan yang melibatkan promosi kesihatan, pencegahan penyakit (contoh: imunisasi, perancang keluarga) dan menyediakan juga perkhidmatan pengesanan penyakit, penyembuhan, rehabilitasi, sokongan dan paliatif yang bersifat “patient-centred” dan “home-based”. PKP menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hidupnya. Di antara aktiviti yang dijalankan di PKP adalah perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pendidikan kesihatan, lawatan ke rumah, perkhidmatan kesihatan di sekolah dan lain-lain. PKP dapat mengurangkan jurang pencapaian (aksesibiliti) perkhidmatan kesihatan di antara golongan yang miskin di kampung dan yang kaya di bandar. Kajian telah menunjukkan bahawa PKP yang kukuh adalah faktor yang paling penting di dalam menyumbang kepada mutu perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan dan lebih baik. Fasiliti-fasiliti kesihatan yang wujud di bawah PKP adalah Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik Komuniti, Klinik Kesihatan UTC, Klinik Kesihatan dan Klinik Desa. Daripada segi pentadbiran, PKP adalah di bawah Pegawai Kesihatan Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

 

PENJAGAAN KESIHATAN SEKUNDER (“SECONDARY HEALTHCARE”)

 

Apabila seseorang menghidap penyakit maka mereka perlu bertemu dengan doktor dan perkhidmatan rawatan penyakit ini disediakan di semua fasiliti perubatan di mana ada yang dikendalikan oleh pegawai perubatan dan ada yang dikendalikan oleh pakar. Penjagaan kesihatan sekunder (PKS) adalah penjagaan kesihatan yang diberikan oleh Pakar dan Pegawai Perubatan yang bertugas di hospital daerah. Mereka mempunyai kepakaran asas untuk merawat masalah kesihatan biasa serta khidmat kepakaran umum dan berupaya untuk melakukan saringan untuk merujuk pesakit ke penjagaan kesihatan tertiari. Pendek kata PKS adalah merangkumi penjagaan asas pesakit yang dimasukkan ke hospital dan juga perkhidmatan pakar di hospital. Terdapat juga perkhidmatan kesihatan sekunder yang disediakan di hospital utama. Begitu juga terdapat perkhidmatan tertiari yang sudah boleh diperolehi di fasiliti PKS seperti perkhidmatan Geriatrik di Hospital Daerah Kuala Nerang. Di antara pengamal perubatan yang terlibat di dalam PKS adalah Pakar Umum dan Pegawai Perubatan. Daripada segi pentadbiran, PKS ini adalah di bawah Pengarah Hospital Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

 

PENJAGAAN KESIHATAN TERTIARI (“TERTIARY HEALTHCARE”)

 

Penjagaan kesihatan tertiary (PKT) menyediakan perkhidmatan kepakaran yang lebih khusus di mana Pakar di perkhidmatan kesihatan sekunder tidak dapat melakukannya samada tidak memiliki kemahiran ataupun kelengkapan yang mencukupi. Lazimnya PKT ini disediakan di hospital-hospital utama setiap negeri contohnya Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Perak. . Di antara perkhidmatan yang tergolong di dalam PKT adalah rawatan subkepakaran seperti pembedahan jantung, rawatan kanser, pembedahan otak, pembedahan plastic dan lain-lain. Pusat-pusat yang menyediakan PKT ini juga menjadi pusat rujukan daripada negeri-negeri lain jika perkhidmatan ini tidak dimiliki oleh negeri berkenaan. Pesakit-pesakit yang telah dirawat boleh dikembali ke masyarakat dan diambil aleh oleh PKS ataupun PKP. PKS dan PKP mempunyai struktur pentadbiran yang sama yakni di bawah Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

 

Dengan perkembangan yang pesat berlaku di dalam bidang kepakaran dan perkhidmatan pada hari ini, pembahagian jenis-jenis penjagaan kesihatan ini adalah lebih kompleks dan kadangkala sukar untuk mencari sempadan di antara satu sama lain. Terdapat juga perkhidmatan yang dahulunya disediakan pada peringkat yang tinggi sekarang ini boleh diperolehi di peringkat yang lebih rendah.

 

Perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan ini akan berkomunikasi dengan perkhidmatan swasta dan NGO untuk menghasilkan satu bentuk jaringan yang mempunyai matlamat yang sama. Kerjasama di antara perkhidmatan-perkhidmatan ini perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan sistem yang lebih baik dari masa ke semasa.

 

Kesimpulannya, perkhidmatan kesihatan di negara kita disumbangkan oleh dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan. Kedua-dua perkhidmatan ini saling perlu memerlukan dan saling lengkap melengkapi. Terdapat bidang kuasa dan tugas yang bertindihan di antara keduanya. Apabila digabungkan kedua-duanya maka wujudlah satu  sistem perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh dan holistik.

 

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Hospital Sultanah Bahiyah

 

 

 

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now