• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

PERUBATAN MODEN, PERUBATAN KOMPLEMENTARI, PERUBATAN ALTERNATIF DAN PERUBATAN INTEGRATIF

 

 

PENDAHULUAN

 

Salah satu krisis besar yang dihadapi oleh manusia di seluruh dunia daripada dahulu hingga sekarang adalah penyakit. Penyakit boleh dikategorikan kepada dua kumpulan besar iaitu penyakit mental dan penyakit fizikal. Penyakit fizikal pula terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu Penyakit Berjangkit ("Communicable disease") dan Penyakit Bukan Berjangkit ("Non-communicable disease"). Saya akan menggunakan definasi penyakit daripada perspektif perubatan moden kerana pengamal perubatan alternatif mempunyai definasi yang berbeza.

 

Penyakit adalah keadaan di mana berlaku kelainan terhadap struktur ataupun fungsi bahagian tertentu tubuh ataupun keseluruhan tubuh badan manusia sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala dan tanda. Kecederaan luar tidak dianggap penyakit. Definasi yang lebih luas adalah sama seperti di atas tetapi ditambah dengan sebarang keadaan yang menyebabkan kesakitan, kelainan fungsi ("dysfunction"), tertekan (masalah emosi), masalah sosial dan kematian. Di dalam perubatan moden, kefahaman tentang punca dan proses kejadian penyakit (patologi) adalah berasaskan fakta serta kefahaman tentang fungsi badan manusia (pathophysiology). Ia bukan ditakrif berdasarkan kepada falsafah, pendapat ataupun sesuatu yang tidak dapat dilihat/dibuktikan wujud secara objektif.

 

KEDAH MERAWAT PENYAKIT

 

Terdapat 3 kaedah merawat penyakit yang sering ditemui di dalam penulisan dan amalan masyarakat dunia. Untuk memudahkah kefahaman orang awam, saya bahagikan kaedah rawatan kepada tiga kategori berikut:

 

  1. RAWATAN PERUBATAN MODEN ATAUPUN KONVENSIONAL

  2. RAWATAN KOMPLIMENTARI

  3. RAWATAN ALTERNATIF

 

RAWATAN PERUBATAN MODEN ATAUPUN KONVENSIONAL

 

Saya lebih suka menggunakan istilah Rawatan Perubatan Moden kerana inilah hakikat yang tidak boleh kita nafikan di mana teknologi yang digunakan di dalam rawatan perubatan moden sememangnya canggih, moden dan melalui fasa perkembangan yang sangat pesat. Mungkin ada yang berkata rawatan alternatif dan komplimentari pun ada juga yang moden tetapi jika dibandingkan dengan kecanggihan dan kemodenan kaedah rawatan perubatan moden, wujud jurang perbezaan yang agak jauh. Bandingkan infrastruktur, peralatan dan ubat-ubat yang digunakan di dalam amalan perubatan moden. 

 

Setengah penulis menggunakan istilah Allopathy bagi mewakili kaedah rawatan perubatan moden tetapi saya kurang bersetuju di atas sebab-sebab yang akan saya terangkan. Perkataan Allopathy dicipta oleh Pengasas Homeopathy iaitu Samuel Hahnemann pada tahun 1810 yang menggambarkan kaedah rawatan yang  agresif. Perkataan Allos bermaksud bertentangan, manakala pathos pula bermaksud menderita (“suffering”) yakni melegakan penyakit melalui kaedah melawan arus. Hahnemann ingin mengaitkan perkataan Allopathy dengan prinsip amalan pengubatan masyarakat kuno Greek yang berpendapat penyakit adalah akibat daripada ketidakimbangan 4 jenis cecair (iaitu darah, kahak, air pundi hempedu kuning dan hitam) dengan 4 keadaan badan (panas, sejuk, basah dan kering). Maka jika seseorang itu demam, mereka percaya ia adalah akibat daripada darah yang berlebihan, jadi untuk mengurangkan demam mereka mengeluarkan darah pesakit. Jadi walaupun terdapat penafsiran semula maksud Allopathy pada hari ini, saya tetap tidak dapat menerimanya kerana merujuk kepada asal usul perkataan itu dicipta. Malahan Dr. William T. Jarvis, bekas Professor di Preventive Medicine Department, Loma Linda University dan Penasihat kepada American Counsil Of Science and Health mempunyai pendapat yang sama. National Council Against Heatlh Fraud di Amerika Syarikat juga mencadangkan supaya tidak digunakan perkataan Allopathy  untuk merujuk kepada perubatan moden.

 

Prinsip perubatan moden adalah menggunakan kaedah yang terbukti berkesan untuk menyembuhkan penyakit berdasarkan kepada definasi penyakit mengikut kamus perubatan moden.  Kaedah yang terbukti berkesan itu adalah hasil daripada penilaian oleh pakar ke atas bukti kajian saintifik yang terkini. Prinsip ini juga dikenali sebagai amalan berasaskan bukti ataupun “Evidence bases practice”. Terdapat 3 komponen utama Evidence based practice ini iaitu tahap ataupun kewibawaan bukti, kemahiran pengamal perubatan dan penyertaan pesakit di dalam membuat keputusan. Jadi konsep penyakit dan kaedah rawatan di dalam perubatan moden adalah objektif dan saintifik. Ia bukan semata-mata pendapat ataupun falsafah yang tidak disokong oleh bukti yang nyata. Perubatan moden menerima sesuatu fakta perubatan hanya apabila ianya terbukti benar dan selagi ianya tidak dibuktikan benar, perkara itu dianggap hanya andaian ataupun persepsi sahaja. Merawat penyakit berdasarkan falsafah ataupun pendapat sahaja dianggap tidak beretika oleh perubatan moden. Contohnya jangkitan paru oleh bakteria, pengamal perlu mengesahkan jangkitan dan jenis bakteria yang terlibat melalui ujian. Apabila merawat pesakit dengan antibiotik katakan, keberkesanan rawatan hanya disahkan apabila gejala sudah berkurangan dan perlu ada bukti yang bakteria sudah dihapuskan serta tanda2 pada X-ray dada sudah tiada. Sebelum merawat pesakit, pengamal perlu memastikan kaedah tersebut adalah piawaian yang dinyatakan di dalam protokol dan CPG. Protocol dan CPG ini dihasilkan oleh permuafakatan pakar2 yang menggunakan prinsip "evidence based medicine". Pesakit tidak sepatutnya dirawat hanya berasaskan kepada kepercayaan yang bersifat umum sedangkan penyakit tersebut boleh disebabkan oleh banyak faktor yang dapat dikesan dan bersifat spesifik.  

 

Rawatan-rawatan yang digunakan oleh pengamal perubatan moden adalah seperti ubat antibiotik, ubat sitotoksik, radioterapi, pembedahan dan lain-lain lagi.Semua kaedah-kaedah ini sudah menjalani kajian klinikal dan terbukti berkesan. Keberkesanan rawatan moden disokong oleh pencapaian tahap kesihatan manusia hari ini berbanding dengan masa lalu. Kadar kematian sakit jantung telah menurun sebanyak 60% dan kadar kematian akibat angin ahmar menurun sebanyak 70% semenjak tahun 1970, kematian akibat HIV/AIDs juga telah menurun lebih daripada 75% semenjak tahun 1995. Kadar kematian akibat kanser juga menurun sebanyak 16% semenjak tahun 1990. Banyak penyakit berjangkit telah dapat dihapuskan oleh vaksin. Purata jangkahayat manusia hari ini juga jauh lebih panjang berbanding dengan 40-50 tahun yang lalu. Apabila rawatan lebih berkesan, walaupun kos rawatan itu lebih tinggi namun kesan akhir daripada rawatan yang berkesan ini adalah kurangnya komplikasi penyakit, memanjangkan hayat dan mengembalikan produktiviti pesakit. Kesan akhir daripada ini adalah penjimatan kos ataupun “health gain” yang diperolehi oleh negara. Contohnya untuk setiap 1 USD wang yang digunakan untuk ubat statin ke atas pesakit jantung, sebanyak 9.44 USD dihasilkan melalui “health gain”. Setiap 1 USD dibelanjakan untuk kawalan gula ke atas pesakit diabetes jenis II, sebanyak 3.77 USD dihasilkan sebagai “health gain”ini. Penggunaan inhaler corticosteroid ke atas pesakit asma selama 1 tahun mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 50%, bilangan kedatangan pesakit luar menurun sebanyak 26% dan kos kesihatan dalam sebulan dapat dikurangkan sebanyak 24% untuk setiap pesakit.

 

KAEDAH RAWATAN KOMPLEMENTARI DAN ALTERNATIF

 

Saya menggabungkan kedua-dua  rawatan komplementari dan alternatif di bawah satu tajuk kerana banyak di antaranya digunakan untuk tujuan yang sama walaupun definasinya berbeza. Singkatan untuk mewakili perubatan komplementari dan alternative ini adalah CAM (“Complementary and Alternative Medicine). Berdasarkan tinjauan kebangsaan pengguna Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dijalankan di seluruh negara, pada tahun 2004, 69.4%(67.6% -71.2%) rakyat Malaysia pernah menggunakan perubatan traditional dan komplementari (PTK) semasa hayat. 

 

Perubatan komplementari adalah sekumpulan kaedah pengesanan dan rawatan yang digunakan bersama dengan perubatan moden. Pendek kata perubatan komplementari yang terpilih digabungkan dengan perubatan moden untuk merawat penyakit. Tidak semua kaedah rawatan komplementari ini diterima oleh perubatan moden sebaliknya hanya yang mempunyai bukti keselamatan sahaja yang akan dipilih. Apabila menggabungkan kaedah rawatan moden dengan komplementari maka ianya dikenali sebagai Perubatan Integratif (“Integrative Medicine”).Contoh Perubatan Intergrasi adalah pesakit yang telah melahirkan anak dan selepas pantang dirujuk untuk menjalani rawatan urutan bagi mengurangkan tekanan dan kesakitan. Kaedah-kaedah lain yang dibenarkan adalah akupuntur, shirodhara, terapi basti luaran, terapi varman dan lain-lain. Walaupun perubatan komplementari digabungkan, namun kaedah perubatan moden masih kekal sebagai kaedah rawatan yang utama.

 

Perubatan Alternatif pula adalah kaedah pengesanan dan rawatan yang dijadikan pilihan utama dan bukan perubatan moden. Jadi pesakit memilih samada untuk dirawat dengan kaedah perubatan moden ataupun kaedah perubatan alternatif, kedua-duanya tidak boleh bergabung. Senarai-senarai kaedah rawatan alternatif ini juga panjang dan banyak  yang   bertindihan dengan perubatan komplementari. Perbezaan di antara perubatan komplementari dan alternatif terletak kepada tujuan ianya digunakan. Jika tujuannya sebagai kaedah sampingan dengan perubatan moden, maka ia dikenali sebagai perubatan komplementari. Jika pesakit memilih rawatan tersebut dan bukan rawatan moden, maka ia dikenali sebagai perubatan alternatif. Contoh rawatan alternatif adalah menggunakan kaedah diet ketogenic, vitamin dan suplemen untuk merawat kanser dan bukan kemoterapi, radioterapi ataupun pembedahan. Rata-rata pengamal perubatan moden tidak menerima kaedah lain sebagai rawatan utama untuk merawat penyakit. Dengan perkataan lain, tidak ada istilah perubatan alternatif untuk merawat penyakit-penyakit kerana hanya kaedah rawatan moden sahaja yang disokong oleh bukti kajian saintifik yang kukuh. Kesemua kaedah rawatan alternatif belum pernah dibuktikan berkesan berdasarkan kepada prinsip “Evidence based Medicine”.

 

Teknik rawatan yang digunakan oleh pengamal perubatan komplementari dan alternatif adalah berasaskan kepada salah satu ataupun kombinasi daripada 5 konsep iaitu:

  1. Produk kesihatan yang kelihatan serupa dengan ubat moden seperti ubat homeopati tetapi menggunakan konsep yang berbeza

  2. Intervensi tubuh dan minda (“mind-body intervention”) seperti meditasi, music, seni,yoga dan lain-lain

  3. Terapi berasaskan biologi yakni menggunakan bahan yang bersumberkan alam sekitar seperti herba, makanan dan vitamin.

  4. Kaedah berasaskan struktur dan manipulasi anggota badan seperti membetulkan tulang belakang dan sendi di dalam rawatan urutan, chiropractic ataupun osteopathic. Pengamal chiropractic mendakwa penyakit berasal daripada masalah kedudukan tulang belakang yang tidak betul.

  5. Kaedah terapi tenaga di mana pengamal mendakwa mereka boleh menggunakan medan tenaga untuk merawat penyakit. Terdapat 2 kaedah di bawah kategori terapi tenaga iaitu Biofield therapies (mengubahsuai tenaga yang masuk ke dalam badan manusia) dan Bioelectromagnetic therapies yang menggunakan medan magnet. Contoh Biofield therapies adalah qi gong dan Reiki. Walaupun pengamalnya mendakwa mampu untuk menggunakan kaedah tenaga ini, kewujudannya tidak pernah dibuktikan.

 

Di antara kaedah-kaedah rawatan yang tergolong di dalam perubatan komplementari dan alternative adalah akupuntur, aromaterapi, Ayurveda, biofeedback, chiropractic, terapi diet, herba, homeopati, hypnosis, urutan, meditasi, naturopati, terapi nutrisi, osteopathic manipulative therapy, Qi gong, refleksologi, reiki, spiritual healing, tai chi, perubatan traditional Cina, perubatan traditional melayu, yoga dan lain-lain lagi.

 

Pengamal perubatan komplementari dan alternatif tidak perlu mempunyai latarbelakang sains kerana mereka lebih banyak menggunakan konsep ataupun pendapat yang diajar turun menurun yang lebih mudah untuk difahami. Mereka mempunyai institusi pengajian yang menyediakan tempat untuk belajar dan memperolehi sijil ataupun ijazah. Ada diantaranya mempunyai silibus asas yang hampir sama dengan pelajar perubatan walaupun tidak mendalam.  Konsep rawatan penyakit yang mereka percayai itu tidak dapat dibuktikan secara objektif. Kaedah rawatan yang mereka amalkan juga selari dengan kefahaman mereka tentang penyakit. Dengan konsep dan kefahaman yang berbeza tentang penyakit mereka cuba mengaplikasinya ke atas penyakit yang dikesan oleh perubatan moden. Tidak hairanlah mengapa kaedah rawatan mereka berbeza dan dalam banyak keadaan satu kaedah rawatan boleh digunakan untuk merawat banyak jenis penyakit. Walau bagaimana pun amalan perubatan mereka tidak mempunyai cukup bukti keberkesanan kerana kekurangan kajian klinikal yang besar ataupun kajian hanya di peringkat praklinikal. Mereka juga seringkali menggunakan hujah2 lemah untuk meyakinkan orang ramai seperti testimoni dan kajian2 kecil ke atas haiwan.

 

AKTA 775 TRADITIONAL & COMPLEMENTARY MEDICINE (TCM)

 

Perubatan moden yang diamalkan oleh petugas perubatan dipantau oleh MMC ataupun Malaysian Medical Council (Majlis Perubatan Malaysia). Ianya ditubuhkan bagi menguatkuasa Akta Perubatan 1971 (pindaan 2012). MMC akan memastikan bahawa pegawai perubatan yang bertugas merawat pesakit mempunyai kelayakan dan amalan perubatan yang dilakukan mengikut peraturan serta etika yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pegawai Perubatan yang ingin berkhidmat perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri mereka dengan MMC dan untuk tujuan pendaftaran tersebut, mereka perlu mengisi borang serta menunjukkan bukti bahawa mereka layak. Doktor yang tidak mendaftar dengan MMC dan tidak memiliki Sijil Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate) tidak boleh merawat pesakit. Sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun. Ini bagi memastikan bahawa tidak wujud doktor bogus ataupun doktor yang tidak  layak memberi rawatan kepada pesakit. Peraturan-peraturan ini dibuat bagi menjaga kebajikan rakyat khususnya pesakit-pesakit di negara kita.

 

Bagaimanakah pula dengan amalan perubatan alternatif seperti rawatan tradisional dan komplementari. Hari ini kita dapati amalan ini sangat meluas diamalkan di negara kita sehingga ada ahli masyarakat yang lebih mempercayai TCM melebihi daripada perubatan moden. Sedangkan banyak kaedah rawatan alternatif dan komplementari ini tidak berasaskan kepada bukti kajian saintifik dan terlalu banyak dakwaan palsu yang dibuat oleh pengamal rawatan alternatif. Terdapat ramai pengamal TCM ini yang sebenarnya tidak berkelayakan tetapi mengaku pakar dengan pelbagai gelaran. Menyedari keadaan ini kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan Akta 775 yang fungsinya sama seperti Akta Perubatan 1971 di atas.

 

Terdapat beberapa maklumat penting tentang Akta 775:

 

1. Traditional & Complementary Medicine (TCM) meliputi Perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, amalan perubatan Islam, homeopati dan terapi komplementari yang digunakan untuk tujuan kesihatan meliputi mencegah, merawat, mengendalikan masalah kesihatan ataupun memelihara kesihatan mental dan fizikal seseorang (tidak termasuk perubatan konvensional moden dan pergigian).

 

2. Akta 775 diwartakan pada 10hb Mei 2016 dan dikuatkuasakan pada 1hb Ogos 2016.

 

3. Badan yang meregulasikan Akta 775 adalah dikenali sebagai Traditional & Complementary Medicine Council (TCMC*) sama seperti Malaysian Medical Council (MMC)

 

4. TCMC diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan terdiri daripada 10 ahli, 3 orang wakil KKM, 2 daripada Universiti dan 5 daripada Industri. Mesyuarat pertama telah dijalankan dan ahlinya telah dilantik.

 

5. Dengan adanya TCMC dan Akta 775 ini maka semua Pengamal TCM perlu mendaftarkan diri dengan TCMC dan mematuhi Akta 775 seperti mana doktor perubatan dan dentistry berdaftar dengan MMC sebelum boleh beramal dan mematuhi Akta yang ditetapkan oleh MMC.

 

6. Di bawah Akta 775, seseorang yang tidak berdaftar dengan TCMC, TIDAK BOLEH mengamalkan TCM dan jika melanggar akta ini boleh didenda tidak melebihi RM30,000 ataupun dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-dua sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau tidak lebih daripada 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

 

7. Pengamal TCM yang memiliki sijil amalan TCMC hanya boleh mengamalkan TCM yang diluluskan dan tidak boleh mengamal TCM yang lain. Sijil amalan hanya untuk tempoh 12 bulan dan perlu diperbaharui setelah tamat tempoh.

 

8. Dengan adanya TCMC dan Akta 775 ini bermaksud hanya amalan TCM yang diperakui oleh KKM sahaja yang akan dibenarkan dan dilakukan oleh pengamal yang benar-benar terlatih dan memiliki sijil amalan.

 

PENDIRIAN PENGAMAL PERUBATAN MODEN TERHADAP PERUBATAN KOMPLEMENTARI DAN ALTERNATIF

 

Semua pengamal perubatan moden yang berprinsip akan beramal berdasarkan kepada kaedah Perubatan Berasaskan Bukti ataupun Evidence based Medicine (EBM). Tajuk EBM ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana yang lain, sila rujuk blog saya di www.faktasains.com dalam seksyen rencana. Maka jika amalan dilakukan atas prinsip EMB maka kaedah rawatan penyakit yang terbaik setakat ini adalah kaedah perubatan moden. Jadi kami berpendirian bahawa pesakit sepatutnya bertemu dengan doktor perubatan yang berpegang kepada prinsip EBM ini untuk menjalani pemeriksaan, ujian dan rawatan. Jika penyakit yang dihidapi itu memerlukan rawatan sampingan ataupun rawatan komplementari, maka pengamal perubatan moden akan menilai dan memilih kaedah-kaedah yang terbukti selamat digunakan dan mempunyai keberkesanan yang munasabah. Di dalam memilih kaedah rawatan komplementari, isu keselamatan (“safety”) adalah factor yang paling utama. Rawatan komplementari yang terpilih itu pula hanya menjadi kaedah sampingan dan bukan rawatan utama di mana doktor perubatan yang merawat akan menjadi perawat utama yang mempunyai autoriti rawatan ke atas pesakit. Kaedah rawatan komplementari yang digabungkan adalah bertujuan untuk mengurangkan sakit (melalui power of suggestion), mengurangkan stress dan meningkatkan motivasi pesakit. Ia bukan bertindak untuk merawat punca penyakit.

 

Setakat rencana ini ditulis, belum ada lagi kaedah rawatan yang tergolong di dalam amalan perubatan alternatif yang diterima oleh pengamal perubatan moden sebagai kaedah rawatan utama. Ini disebabkan kaedah-kaedah rawatan perubatan moden yang sedia ada sudah menjalani kajian klinikal dan terbukti berkesan serta selamat digunakan. Berbeza dengan kaedah rawatan alternatif yang rata-rata tidak menjalani proses pembuktian yang sama. Di samping itu FDA dan pihak berkuasa ubatan tidak memantau produk-produk di bawah perubatan alternatif sebagaimana pemantauan yang dilakukan ke atas produk perubatan moden. Salah satu sebabnya adalah kerana produk perubatan alternatif bukan di bawah kategori ubat ataupun produk terkawal. Banyak di antaranya diletakkan di bawah kategori makanan tambahan dan rawatan tradisional yang lebih mudah menerima kelulusan untuk dipasarkan. Malangnya ramai yang memilih perubatan alternatif sebagai kaedah utama rawatan penyakit sehingga mereka lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan dengan perubatan moden. Di Amerika, 40% daripada rakyatnya pernah mencuba kaedah rawatan alternative di dalam hidup mereka dan sebanyak 30 bilion USD dibelanjakan oleh mereka untuk kaedah rawatan alternative. Sebab itu kaedah ini terus berkembang kerana ia memberi pulangan yang sangat besar kepada industri.

 

Apabila seseorang mengalami gejala seperti sakit dan lenguh, mereka akan bertemu dengan pengamal perubatan alternatif. Melalui konsep rawatan yang disebutkan di atas, pesakit berkemungkinan akan merasa lega. Sakit dan lenguh badan mereka mungkin berkurangan tetapi adakah ini petunjuk yang penyakit mereka sudah sembuh? Sebenarnya perasaan lega itu hanya bersifat sementara dan mainan minda semata-mata. Punca penyakit masih tidak dirawat dan pesakit ini perlu terus bertemu dengan pengamal rawatan alternatif apabila gejalanya datang kembali. Rawatan alternatif nampak berkesan hasil daripada kesan komunikasi di antara pengamal dengan pesakit, kesan kelegaan seumpama ini dikenali sebagai kesan plasebo. Sakit dan lenguh adalah gejala utama seseorang yang stres dan kemurungan, mereka tidak mempunyai penyakit fizikal. Pengamal perubatan moden tidak memandang rendah ke atas kesan plasebo dan inilah yang menyebabkan sebahagian kaedah rawatan alternatif dan komplementari ini tidak ditolak sebaliknya boleh diintegrasikan bersama untuk meningkatkan kepuasan pesakit. Kaedah rawatan alternatif menjadi mudarat jika ianya belum terbukti selamat diamalkan dan akibat daripada memilih rawatan ini pesakit lewat mendapatkan rawatan utama daripada hospital.

 

ADAKAH PERUBATAN MODEN MENGAMALKAN KAEDAH HOLISTIK

 

Perkataan holistik seringkali digunakan oleh pengamal perubatan komplementari dan alternatif untuk mewakili mereka. Jika perkataan itu digunakan bagi mewakili kaedah rawatan mereka maka seolah-olah perubatan moden ini bukan holistik. Apakah definasi rawatan holistik yang sebenarnya.

 

Perkataan perubatan holistik merujuk kepada kaedah rawatan yang melibatkan rawatan ke atas semua komponen yang membentuk tubuh manusia yakni fizikal, emosi, mental, sosial dan juga spiritual. Jadi pendekatan yang digunakan hendaklah menangani kesemua komponen ini. Adalah tidak benar jika ada dakwaan yang mengatakan perubatan moden bukan pendekatan yang holistik sedangkan di dalam bidang perubatan moden terdapat banyak bidang kepakaran dan subkepakaran samada untuk tujuan merawat penyakit fizikal, psikologikal dan mental. Konsep menganggap pesakit itu adalah seorang manusia dan bukan penyakit (“the patient is a person, not a disease”) sememangnya menjadi salah satu prinsip yang dipegang oleh doctor perubatan, persoalannya cuma samada ianya dilaksanakan ataupun tidak.

 

Di dalam merawat pesakit kami tidak mengenepikan isu yang berkaitan dengan sosial pesakit sebab itu kami sangat menekankan pentingnya kemahiran berkomunikasi, merawat pesakit dengan perasaan empati dan perihatin tentang latarbelakang sosial serta ekonomi mereka.  Di setiap hospital juga mempunyai unit pekerja sosial yang dijadikan tempat rujukan jika pesakit mengalami masalah kewangan dan sosial. Begitu juga daripada aspek spiritual, di setiap hospital terdapat petugas agama memberi sumbangan daripada segi spiritual. Bagi penganut agama Islam, terdapat petugas agama di setiap hospital dan pesakit diberikan panduan bagaimana untuk bersembahyang ketika sakit dan sebagainya. Di setiap pagi, bacaan doa beramai-ramai dilakukan untuk memohon kelegaan daripada Tuhan. Kesemua langkah-langkah ini tidak lain adalah untuk memberi rawatan yang holistik kepada pesakit.

 

Sekarang ini kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mempromosikan kaedah rawatan perubatan integratif (“Intergrative Medicine”) menggabungkan perubatan moden dengan perubatan komplementari. Banyak hospital telah dilengkapi dengan kemudahan ini melalui Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK). Kaedah perubatan komplementari yang digabungkan ini adalah untuk tujuan mengurangkan kesakitan, mengurangkan stress dan meningkatkan semangat pesakit. Kesimpulannya kaedah perubatan moden yang diamalkan oleh pengamal perubatan moden pada hari ini sememangnya sudah boleh dikira sebagai perubatan yang holistik mengambilkira keseluruhan komponen tubuh badan pesakit.

 

Menggunakan kaedah rawatan perubatan moden tidak semestinya akan melibatkan suntikan, pembedahan dan lain-lain bentuk rawatan yang invasif. Pengamal perubatan moden percaya akan pentingnya penjagaan pemakanan, senaman dan gaya hidup sihat di dalam menguatkan tubuh badan untuk melawan penyakit. Terdapat keadaan tertentu di mana pesakit tidak diberikan rawatan khusus sebaliknya hanya dipantau kerana perawat berpendapat jika rawatan diberikan, pesakit akan mengalami lebih mudarat daripada manfaat. Di samping itu masalah kesihatan tersebut boleh hilang dengan sendirinya. Jadi perubatan moden tidak menolak kepentingan sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit secara semulajadi. Walau bagaimanapun berbeza dengan perubatan alternatif, kami percaya ada ketikanya sistem pertahanan ataupun tenaga semulajadi yang ada pada manusia tidak mampu untuk menyembuhkan penyakit tanpa bantuan tambahan. Pada ketika ini satu bentuk intervensi ataupun bantuan tambahan perlu dilakukan ke atas pesakit. Jika intervensi itu tidak diberikan, pesakit boleh mendapat komplikasi yang serius ataupun mati. Merawat penyakit seperti ini adalah umpama memberi senjata tambahan kepada pejuang-pejuang yang hampir tewas di dalam peperangan. Dengan senjata tambahan tersebut, peperangan tersebut dapat mereka kuasai dan ini dapat mencegah kecederaan dan kematian yang lebih ramai.

 

Dakwaan pengamal perubatan alternatif bahawa kaedah rawatan mereka lebih holistik, lebih semulajadi dan tidak memerlukan suntikan serta pembedahan merupakan helah untuk merendah-rendahkan perubatan moden. Mereka ingin menutup kelemahan kaedah rawatan alternatif yang kekurangan daripada segi bukti keberkesanan kerana kurang kajian yang berwibawa. Malahan ada yang telah didapati memudaratkan pesakit, contohnya produk-produk herba dan jamu yang dikesan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Itu belum lagi mengambil kira produk-produk yang dimasukkan ubat-ubat terlarang seperti steroid, antihistamin dan lain-lain lagi. Perkataan semulajadi dan bebas kimia juga seringkali digunakan untuk menarik penyokong sedangkan apa sahaja yang ada di dunia ini adalah berasaskan kepada sebatian kimia. Tambahan pula 25-50% ubat-ubat moden yang ada pada hari ini adalah sebenarnya bersumberkan bahan semulajadi daripada tumbuhan.

 

KESIMPULAN

 

Terdapat berbezaan ketara di antara perubatan moden, komplementari dan alternative. Jika masyarakat memahami ketiga-tiga jenis rawatan perubatan ini secara terperinci maka tidak ada sebab mengapa mereka  tidak memilih perubatan moden sebagai kaedah utama untuk merawat penyakit. Kaedah perubatan komplementari boleh digabungkan dengan perubatan moden di dalam apa yang dikatakan Perubatan Integratif. Walaupun kaedah perubatan komplementari ini digabungkan namun ianya bukan kaedah utama sebaliknya berperanan untuk menjadi kaedah sampingan bari meningkatkan mutu perkhidmatan dan mencapai apa yang dikatakan rawatan holistik. Tidak semua kaedah perubatan komplementari ini diluluskan untuk berintegrasi dengan perubatan moden, ianya hanya terhad kepada beberapa kaedah yang didapati selamat digunakan. Satu lagi kaedah rawatan adalah perubatan alternatif. Setakat rencana ini ditulis, belum ada kaedah alternatif yang boleh menggantikan perubatan moden sebagai kaedah utama rawatan penyakit. Kedua-dua kaedah perubatan komplementari dan alternative walaupun digunakan dengan meluas namun keberkesanan kaedah-kaedah ini masih belum disahkan kerana kekurangan kajian klinikal ke atas manusia. Banyak daripada kaedah-kaedah ini menggunakan prinsip yang berbeza daripada perubatan moden. Hampir semua prinsip tersebut berdasarkan kepada kepercayaan yang melibatkan tenaga, medan magnet dan factor minda yang tidak dapat dibuktikan secara objektif.

 

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan O&G

Hospital Sultanah Bahiyah

Alor Setar, Kedah

 

 

RUJUKAN

 

  1. Mandel I.S. Understanding Differences Between Holistic, Alternative and Complementary Medicine. 2009, Inquiries Journal/Student Pulse, 1(10)

  2. Sullivan T. Modern Medicine versus Alternative Medicine: Different Levels of Evidence. Media, May 6, 2018.

  3. What Is Holistic Medicine? WebMD, https://www.webmd.com

  4. Holistic health care? Br J GenPract, 2007, Feb 1;57(535):162-163

  5. Ostermeyer K. Pros and Cons of Alternative Medicine, Modern Medicine and Traditional Medicine,July 2018

  6. http://tcm.moh.gov.my/en/index.php/policy/national

 

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now