• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

GMF (GENETICALLY MODIFIED FOODS) – MAKANAN TERUBAH SUAI GENETIK

 

 

APAKAH GMO DAN GMF

 

GMF adalah makanan yang dihasilkan daripada tumbuhan dan haiwan yang telah melalui proses mengubahsuaian DNA. Perkataan GMO ataupun  “genetically modified organism”pula mewakili organisma (tumbuhan, haiwan ataupun mikroorganisma) yang melalui proses pengubahsuaian DNA. Jadi daripada GMO, kita akan memperolehi GMF. Proses pengubahsuaian DNA ini dilakukan melalui teknologi kejuruteraan genetic. DNA adalah molekul yang terdapat di dalam sel yang bertanggungjawab membawa gene/baka di mana ianya bertanggungjawab menentukan sifat sesuatu organisma. Jadi tujuan pengubahsuaian DNA ini adalah untuk mengubah sifat sesuatu organisma. Pengubahsuaian DNA ini melibatkan pertukaran ataupun pemindahan gene/baka supaya DNA lebih baik dan ini akan menyebabkan organisma yang dihasilkan itu juga bertambah baik.  

 

Proses pengubahsuaian DNA ini sebenarnya berlaku secara semulajadi tetapi pada kadar yang sangat perlahan, jadi ahli sains telah menemui kaedah bagaimana proses ini dapat dipercepatkan melalui teknologi GMO. Dengan perkataan lain, walaupun manusia tidak pencipta teknologi GMO, alam semulajadi akan tetap melakukannya. Matlamat utama menghasilkan GMO adalah untuk kebaikan pengeluar dan juga pengguna. Hasil daripada teknologi GMO ini adalah tumbuhan dan haiwan yang bermutu lebih tinggi. Contohnya tumbuhan yang lebih sihat, lebih subur, mempunyai ketahanan terhadap serangan makhluk perosak dan cuaca yang lebih tinggi. Organisma GMO ini juga mempunyai pertahanan yang lebih baik terhadap serangan penyakit akibat jangkitan. Ini tentu akan menguntungkan pengeluar dan juga pengguna. Walaupun terdapat proses pengubahsuaian DNA yang melibatkan pemindahan gene/baka daripada organisma lain untuk menghasilkan toksin tetapi toksin yang dihasilkan itu tidak memudaratkan manusia, sebaliknya ini dapat mengurangkan penggunaan racun serangga ke atas tumbuh-tumbuhan GMO kerana kemampuan GMO ini untuk melawan serangan perosak.

 

KESELAMATAN GMO DAN GMF

 

Memandangkan proses menghasilkan GMO ini melibatkan proses pengubahsuaian gene dan penggunaan gene organisma lain, maka terdapat beberapa perkara yang menjadi tumpuan WHO iaitu kesan produk GMO ini keatas kesihatan, potensi untuk menyebabkan alahan, kesan ke atas nilai nutrisi, kesan ke atas persekitaran dan lain-lain kesan akibat pengubahsuaian gene. Semua aspek yang saya sebutkan tadi telah menjadi asas penilaian produk GMO yang diterajui oleh WHO bagi memastikan ianya tidak berlaku. WHO juga mengenakan syarat2 tertentu ke atas proses penghasilan GMO supaya perkara tersebut di atas tidak berlaku. Pendek kata produk GMO menjalani proses penilaian keselamatan yang lebih ketat berbanding dengan produk konvensional yang tidak GMO. Ini sebenarnya memberi kelebihan kepada GMO kerana produk bukan GMO pun sebenarnya berpotensi memberi masalah yang sama. Makanan yang terhasil daripada GMO dan hendak dipasarkan ke pasaran antarabangsa perlu melalui proses penilaian keselamatan dan ia hanya dibenarkan untuk memasuki pasaran jika telah lulus penilaian ini. Badan yang bertanggungjawab memantau keselelamatan produk GMO dan mengeluarkan garispanduan adalah Codex Alimentarius Commission (Codex) yang merupakan gabungan dua pertubuhan besar iaitu FAO dan WHO. FAO ataupun Food and Algriculture Organization adalah badan di bawah Pertubuhan Bangsa2 Bersatu. Semua produk GMO yang dipasarkan di pasaran antarabangsa telah mendapat kelulusan daripada badan yang saya sebutkan di atas. Di samping itu terdapat juga kaedah mengesan produk GMO menggunakan teknik molecular seperti PCR untuk mengesan kehadiran marker tertentu contohnya p35S, tNos dan lain-lain yang dapat mengesahkan bahawa ia adalah produk GMO. Di Amerika, semua produk GMO perlu mematuhi peraturan yang dikenakan oleh FDA sebelum boleh dipasarkan.

 

Jika anda membaca pendapat masyarakat dunia tentang produk GMO ini anda pasti akan menemui pendapat yang menyokong dan pendapat yang tidak menyokong. Terdapat badan dan gerakan yang anti kepada produk GMO dan menjalankan aktiviti memberi gambaran buruk terhadap GMO, diantaranya adalah Center for Food Safety, The Better Health Store, Institute for Responsible Technology dan lain-lain. Jadi jika anda menerima berita yang negative terhadap GMO, maka berkemungkinan besar ianya datang dari individu ataupun wakil pertubuhan2 yang anti GMO. Keadaan ini sama sahaja dengan kebimbangan vaksin terhadap kehidupan manusia. Persoalannya adakah pendapat mereka ini mempunyai asas yang kukuh. Malangnya kebimbangan yang disiarkan tersebut lebih kepada persepsi dan kemungkinan semata-mata tanpa berasaskan kepada bukti yang kukuh. Sebagai orang awam, anda hendaklah mendapatkan pandangan daripada badan dan pertubuhan yang berwibawa sebelum membuat kesimpulan. Banyak badan saintifik yang berwibawa di dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia, American Association for the Advancement of Science, American Medical Association, United Nations Food & Algriculture Organization, US National Academy of Sciences, British Royal Society dan banyak lagi pertubuhan telah menilai keselamatan GMO dan GMF dan membuat kesimpulan bahawa mengambil makanan daripada produk GMO ini tidak lebih mudarat daripada produk yang bukan GMO. Badan-badan ini telah menganalisa beribu2 kajian saintifik dan membuat kesimpulan bahawa makanan daripada GMO tidak membawa mudarat yang lebih besar terhadap manusia, haiwan dan juga alam sekitar berbanding dengan makanan2 yang lain. Satu kajian meta-analisis telah mendapati teknologi GMO menghasilkan tumbuhan yang lebih kebal kepada serangan penyakit dan serangga perosak sehingga penggunaan racun serangga berkurangan hampir 40%. Setakat rencana ini ditulis, belum ada lagi kenyataan tegas dan pertubuhan-pertubuhan kesihatan antarabangsa mencegah masyarakat menjauhi produk GMO dan GMF. Produk GMO ini sudah berada di pasaran Amerika selama 30 tahun dan belum ada lapuran kesan negative produk ini sehingga perlu menghentikan penghasilan produk GMO.  Satu lapuran komprehensif telah dikeluarkan oleh National Academy of Sciences Amerika tentang keselamatan GMO di mana melalui penilaian terperinci, mereka membuat kesimpulan bahawa setakat ini GMF tidak lebih memudaratkan jika dibandingkan dengan makanan yang bukan GMF, tidak ada impak negatif kepada alam sekitar (kajian ke atas kualiti madu lebah yang dihasilkan dan lain-lain) dan ia telah mengurangkan penggunaan racun serangga. Walau bagaimanapun setakat ini teknologi GMO ini belum dapat meningkatkan penghasilan produk seperti yang diharapkan. Lapuran juga menyebut bahawa jawatankuasa mendapati tidak ada bukti bahawa pengambilan GMF meningkatkan alahan makanan, meningkatkan kesan sampingan saluran makanan ataupun sebarang risiko akibat pemindahan gene. Kadar penyakit autism, obesity, kanser dan penyakit buah pinggang juga tidak menunjukkan peningkatan semasa era makanan GMO. Walau bagaimana pun jawatankuasa menekankan bahawa masih terdapat keterbatasan daripada segi apa yang kita tahu terutama daipada segi kesan jangka-panjang. Kajian dan pemantauan perlu diperluaskan untuk memperbaiki teknologi dan mencegah berlakunya kesan negatif.  

 

 

POTENSI MASA DEPAN GMO DAN GMF

 

Potensi masa depan teknologi GMO adalah tidak terbatas dan sangat besar. Contohnya gene daripada labah-labah yang bertanggungjawab menghasilkan protein untuk membuat sutera boleh dimasukkan ke dalam DNA kambing yang kemudian protein yang sama dapat diekstrak keluar daripada susu kambing untuk menghasilkan sutera. Pakar genetic juga telah berjaya menghasilkan khinzir yang kelihatan bercahaya di dalam gelap dengan kaedah memasukkan gene yang bertanggungjawab menyebabkan ubur-ubur kelihatan bercahaya ke dalam khinzir. Buah tomato yang tahan beku telah dihasilkan dengan memindahkan gene antibeku daripada ikan air sejuk (cold water fish) ke dalamnya. Baru-baru ini FDA telah meluluskan penghasilan kentang yang tidak rosak/lebam dan apel yang tidak bertukar perang/lebam dengan menghasilkan kentang dan apel yang kurang mengeluarkan enzim bertanggungjawab menyebabkan lebam. Melalui teknologi kejuruteraan genetic ini juga dapat menghasilkan makanan yang rasanya lebih sedap, lebih berkhasiat, kurang menyebabkan alahan, kurang karbohidrat serta kolesterol  dan kualiti protein yang lebih tinggi. Saintis sudah berjaya menghasilkan nasi yang mengandungi lebih zat besi dan vitamin, buah pisang yang dapat menghasilkan vaksin melawan hepatitis B, ikan yang membesar dengan lebih cepat dan lain-lain lagi.

 

Setakat ini belum ada lagi peraturan yang mensyaratkan logo GMO ataupun GMF diletakkan pada produk yang dipasarkan sebaliknya FDA mengenakan peraturan supaya pihak pengeluar menyatakan perbezaan bahan yang terdapat di dalam produk tersebut. Contohnya GMF minyak kanola mengandungi lebih asid laurik ("lauric acid") berbanding dengan bukan GMF, jadi pengeluar akan melabelkan "Laurate Canola Oil", GMF minyak kacang soya mengandungi lebih tinggi asid oleic jadi ia akan menggunakan label "High Oleic Soybean Oil". Bermula pada Januari 2020, satu peraturan baru akan dikenakan mengikut National Bioengineered Food Disclosure Standard di mana produk GMO perlu meletakkan label "Derived from Bioengineering" atau "Bioengineered".

 

GMF DAN STATUS HALAL DI MALAYSIA

 

Di Malaysia, berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, makanan atau minuman yang diperoleh melalui kaedah bioteknologi moden ini perlu dinyatakan sumber genetiknya pada pelabelan pembungkusan. Selain daripada itu, pernyataan seperti “(nama ramuan) diubah suai secara genetik” perlu dinyatakan dengan jelas pada label bagi memberikan maklumat kepada pengguna. Peraturan ini mula dikuat kuasakan pada 9 Julai 2014.  

Dalam memahami GMF daripada perspektif Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan beberapa fatwa yang berkaitan. Fatwa tersebut adalah seperti berikut :

  1. Bioteknologi dalam makanan dan minuman (Muzakarah Khas, Julai 1991)

  2. Hukum memakan makanan terubah suai genetik (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 95, 17 Jun 2011)

  3. Penghasilan monosodium glutamate (MSG) menggunakan mikroorganisma terubah suai (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-105, Februari 2014)

Intipati utama daripada keputusan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan makanan terubah suai genetik adalah :

 

  1. Apa-apa sahaja sumber genetik yang diperoleh daripada sumber babi adalah HARAM.

  2. Penggunaan sumber genetic yang haram dan boleh memudaratkan manusia serta memberi kesan negative kepada alam sekitar adalah tidak dibenarkan.

  3. Sumber yang diperoleh daripada haiwan yang halal dimakan dan disembelih dengan mengikut syarak adalah dibenarkan.

  4. Sumber bakteria terubah suai genetik yang digunakan dalam penghasilan MSG diperoleh daripada usus orang dewasa dibenarkan kerana ia telah melalui proses pengasingan dan penyucian serta tidak menyalahi hukum syarak.

 

KESIMPULAN

 

Teknologi penghasilan GMO dan GMF adalah satu petunjuk kepada kemajuan teknologi untuk tujuan yang baik demi kepentingan pengeluar dan juga pengguna. Ia menggunakan teknologi kejuruteraan genetiK dengan memindahkan gene daripada satu organisma kepada organisma yang lain bertujuan untuk memperbaiki ciri organisma tersebut ataupun menambah ciri-ciri istimewanya. Semakin banyak negara menghasilkan GMO dan GMF dan memandangkan ianya membawa banyak manfaat seperti tumbuhan dan haiwan yang lebih produktif, kebal kepada jangkitan, kebal kepada racun, mempunyai khasiat yang lebih baik dan lain-lain manfaat kepada pengguna. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kaedah mengubahsuai gene dan penggunaan mikroorganisma lain, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap kesan negative yang mungkin boleh dibawa oleh teknologi ini khususnya kepada kesihatan dan juga kesan ke atas alam sekitar. Setakat ini hampir semua pertubuhan kesihatan antarabangsa dan badan-badan dunia yang berwibawa telah membuat kenyataan bahawa produk GMO dan GMF ini tidak membawa kemudaratan yang lebih besar daripada produk bukan GMO samada ke atas kesihatan manusia ataupun kesan buruk alam sekitar. Masyarakat perlu merujuk kepada badan-badan antarabangsa ini untuk mengambil pendirian kerana terdapat banyak badan-badan lain yang mempunyai pendirian anti produk GMO dan seringkali memberi imej yang negative kepadanya. Kebanyakan imej-imej negative yang diberikan ini adalah hanya berdasarkan kepada persepsi dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Sedangkan hakikatnya, produk GMO yang dipasarkan telah menjalani ujian keselamatan di semua peringkat berbanding dengan produk bukan GMO. Walau bagaimanapun, kajian dan pemantauan patut terus dijalankan oleh badan-badan berautoriti bagi memperbaiki teknologi GMO dan juga mengesan sebarang kesan negatif yang tidak diduga.

 

 

 

 

Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi

Hospital Sultanah Bahiyah

 

RUJUKAN

 

1.https://www.who.int/foodsafety/areas_work/food-technology/faq-genetically-modified-food/en/

2.https://www.livescience.com/40895-gmo-facts.html

3.Klümper W, Qaim M (2014) A Meta-Analysis of the Impacts of Genetically Modified Crops. PLoS ONE 9(11): e111629. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0111629

4. Genetically Engineered Crops, Consensus Study Report 2016. National Academy of Science.

5. https://www.nationalgeographic.com/people-and-culture/food/the-plate/2016/05/17/scientists-say-gmo-foods-are-safe-public-skepticism-remains/

6. http://www.myhealth.gov.my/makanan-terubah-suai-genetik-dan-status-halalnya/

7. Akta Makanan 1983 & Peraturan-peraturan Keselamatan Makanan 1985

8. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, JAKIM

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now