• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

KHASIAT BELALAI GAJAH DAN DAUN RERAMA : FAKTA ATAU AUTA

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah

 

PENDAHULUAN

 

 

 

WHO menganggarkan lebih kurang 80% daripada populasi negara2 membangun masih mengamalkan pengambilan produk2 kesihatan yang bersumberkan tumbuhan. Kos pengubatan yang tinggi ubat moden menyebabkan ramai yang beraleh kepada kaedah alternatif ini. Walau bagaimanapun fenomena ini membimbangkan pengamal perubatan moden yang melihat trend ini sebagai sesuatu yang menuju ke belakang kerana kebanyakan kaedah rawatan alternatif ini tidak pernah dibuktikan berkesan dan ianya digunakan sewenang-wenangnya tanpa kawalan.

 

Mengikut disiplin perubatan moden, sesuatu jenis ubat ataupun apa sahaja produk kesihatan perlu menjalani beberapa peringkat kajian ataupun penyelidikan sebelum ianya boleh didakwa berkesan dan digunakan oleh orang ramai. Terdapat 2 kategori besar kajian saintifik iaitu KAJIAN PRAKLINIKAL dan KAJIAN KLINIKAL. Kajian Klinikal adalah kajian ke atas manusia untuk melihat bagaimana tubuh badan manusia berinteraksi dan bertindakbalas dengan ubat tersebut. Sebelum kajian klinikal dijalankan, produk ataupun ubat-ubatan tersebut perlu menjalani ujian praklinikal terlebih dahulu supaya ianya selamat diuji ke atas manusia. Kajian di dalam makmal adalah salah satu contoh kajian praklinikal. Dikatakan kurang daripada 10% sahaja kajian praklinikal yang akan berjaya dipilih untuk memasuki kajian klinikal. Kajian klinikal pula dibahagikan kepada 4 fasa iaitu fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan fasa 4. Jangkamasa kajian ini mungkin boleh berlanjutan selama beberapa tahun dan hanya selepas berjaya di dalam fasa 3 kajian klinikal barulah permohonan untuk digunakan ke atas pengguna dilakukan. Fasa 4 pula adalah fasa pemantauan produk tersebut yang sudah digunakan oleh orang ramai ataupun pesakit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bab ini sila baca tulisan saya di pautan ini.

 

Tujuan saya menulis rencana ini adalah untuk menerangkan kepada pembaca mengenai kajian makmal keatas ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai kajian pra-klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan tersebut samada dari sumber alam semulajadi ataupun sintetik, sebelum kajian klinikal dijalankan. Seringkali hasil kajian makmal ini diwar-warkan kepada masyarakat sehingga wujud salah sangka sehingga ada ahli masyarakat yang terus membuat kesimpulan yang bahan ini berkesan kepada manusia sedangkan ianya baru sahaja dikaji pada peringkat praklinikal. Ahli-ahli perniagaan pula mengambil kesempatan untuk menghasilkan sendiri bahan-bahan ini dengan cara merebus, membuat seperti minuman teh, kapsul, jus dan lain-lain bentuk untuk tujuan komersial. Fenomena ini adalah sangat mendukacitakan kerana ianya bakal memudaratkan pengguna terutamanya pesakit-pesakit. Untuk tujuan memberi kefahaman mengenai kajian makmal ataupun kajian praklinikal ini, saya akan mengambil contoh DAUN BELALAI GAJAH yang sememangnya pernah menjalani kajian makmal. Saya juga akan menjelaskan kedudukan DAUN RERAMA yang juga didakwa boleh mengubati pelbagai jenis penyakit. Kedua-dua tumbuhan ini mempunyai latarbelakang penggunaan yang agak sama.

 

 

POKOK BELALAI GAJAH

 

Pokok belalai gajah ataupun Clinacanthus nutans adalah salah satu jenis tumbuhan yang dikatakan mempunyai unsur2 pengubatan. Pada awalnya ia digunakan untuk merawat gigitan ular berbisa, kemudiannya digunakan untuk merawat jangkitan virus pada kulit (herpes zoster ataupun kayap).Pokok Clinacanthus terletak di bawah keluarga Acanthaceae   dan terdapat dua sepsis Clinacanthus iaitu  Clinacanthus nutans dan Clinacanthus siamensis. Kedua2 sepsis ini didapati di Asia Tenggara. C. nutan ataupun belalai gajah ataupun Snake Grass adalah pokok belukar yang tumbuh menegak sehingga 1 meter, digunakan dengan meluas oleh penduduk Thailand, Malaysia dan China. Nama belalai gajah diambil daripada sifat batangnya yang melengkung bagi menampung berat daun. Di Thailand ianya dikenali sebagai Saled Pangpon Tua Mea ataupun Phaya Yor.

 

PENGGUNAAN TRADISIONAL POKOK BELALAI GAJAH

 

 

Secara tradisional, hanya bahagian daun belalai gajah sahaja digunakan untuk mengubati penyakit. Daun dimakan secara mentah, sebagai sayur ataupun jus yang dicampurkan bersama jus apel, teh hijau ataupun air tebu. Ia juga kadangkala disediakan dalam bentuk minuman teh. Daun yang kering digunakan untuk disapu pada bahagian kulit yang dijangkiti virus kayap manakala daun segar digunakan untuk merawat patukan ular tedung senduk. Ianya juga digunakan untuk merawat gigitan serangga dan ruam di kulit. Kebelakangan ini daun belalai gajah ini digunakan oleh rakyat Malaysia kononnya untuk merawat kanser. Walau bagaimanapun keberkesanan daun belalai gajah ini ke atas penyakit kanser  manusia masih belum lagi dibuktikan oleh kajian klinikal. Lain2 dakwaan keberkesanan daun belalai gajah adalah di dalam rawatan penyakit diabetes, sakit sendi, ubat sakit, anti-keradangan dan juga antioksidan.

 

Akibat daripada dakwaan kemujaraban daun belalai gajah, ianya telah dikomersialkan dan dihasilkan di dalam bentuk teh herba, kapsul, pil , krim dan pati. Walaupun ahli sains telah berjaya mengesan banyak bahan kimia mungkin melebihi 20 jenis daripada daun pokok belalai gajah ini, kajian keberkesanan pengambilan daun belalai gajah ini belum lagi meyakinkan dan banyak kesan positif yang dilapurkan adalah berasaskan kepada testimoni semata2.

 

Kesan positif yang boleh diyakini adalah untuk tujuan merawat penyakit kulit jangkitan virus herpes jika dibandingkan dengan placebo. Tetapi jika dibandingkan dengan kaedah rawatan moden, kaedah rawatan moden menggunakan krim acyclovir didapati lebih berkesan. Kesan keracunan telah dikesan ke atas haiwan tetapi tidak ada kajian ke atas manusia. Kesan antioksidan dari daun belalai gajah juga telah dibuktikan tetapi kesan pengambilan antioksidan di dalam bentuk suplemen telah menujukkan keputusan yang tidak memberangsangkan, malahan amalan ini boleh memudaratkan kesihatan manusia.

 

Ujian kesan antipembiakan sel juga telah dijalankan tetapi adalah ujian makmal dan ujian makmal itu menunjukkan ekstrak daun belalai gajah yang diproses dengan clorofom dan methanol  mempunyai kesan antipembiakan sel ataupun antiproliferatif. Ini bermaksud terdapat tanda-tanda ianya boleh mematikan sel-sel yang membiak termasuk sel-ssel kanser, meskipun hanya ditemui di dalam kajian makmal.

 

Kesan antivenom (penawar bisa patukan) yang didakwa dimiliki daripada ekstrak daun belalai gajah ini tidak pernah dibuktikan di dalam kajian makmal jadi ianya sangat meragukan.

 

Manakala kesan klinikal antikeradangan, anti diabetic dan antikanser tidak pernah dibuktikan melalui kajian klinikal kerana setakat ini hanya kajian makmal ataupun praklinikal sahaja yang dijalankan. Manakala kajian klinikal ke atas manusia masih sangat kecil dan tidak dapat digunakan untuk mengesahkan apa2 keberkesanan daun belalai gajah selain daripada untuk tujuan rawatan jangkitan virus herpes ke atas kulit.

 

 

BAGAIMANA EKSTRAK (PATI) POKOK BELALAI GAJAH DIPEROLEHI UNTUK TUJUAN KAJIAN MAKMAL

 

 

Kajian makmal yang dilakukan oleh ahli sains ke atas tumbuhan dan herba bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ianya memerlukan kepakaran dan teknologi makmal yang canggih untuk mengekstrak bahan aktif daripada sumber-sumber semulajadi ini dan kemudiannya barulah ujian keberkesanan dapat dilakukan. Makmal yang menjalankan kajian tersebut pula perlu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ubatan contohnya FDA. Makmal tersebut perlu memperolehi taraf GLP singkatan kepada “Good Laboratory Practices” yang menetapkan piawaian yang sangat ketat. Syarat-syarat untuk mendapat taraf GLP boleh diperolehi dari laman web ini (http://www.accessdata.fda.gov/scripts/cdrh/cfdocs/cfcfr/CFRSearch.cfm?CFRPart=58)

 

Bab ini akan menerangkan proses yang perlu dijalankan sebelum pati daripada sumber tumbuhan dan herba dapat dipisahkan dan diuji di dalam makmal. Ramai dalam kalangan ahli perniagaan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan hanya dengan merebus, menjadikannya serbuk, jus ataupun kapsul melalui cara mudah.

 

Bahan2 kimia yang diperlukan untuk tujuan ekstraksi dan pemprosesan belalai gajah adalah seperti senarai berikut:

1,1-diphenyl-2-picrylhydrazyl (DPPH) radical, galvinoxyl radical, 6-hydroxy-2,5,7,8-tetramethylchroman-2-carboxylic acid (Trolox), phosphate buffer saline (PBS), trypan blue, 3-(4,5-Dimethylthiazol-2-yl)-2,5-diphenyltetrazolium bromide (MTT),10x trypsin-EDTA solution , Hydrogen peroxide and sodium nitroprusside (SNP), hydrogen peroksida dan Sodium nitroprusside.

 

BAHAN UJIKAJI

 

Sebagai mewakili sel dan organ badan manusia, haiwan seperti tikus digunakan terlebih dahulu kerana adalah sesuatu yang tidak beretika jika bahan-bahan ini diuji terus keatas manusia kerana dikhuatiri kesan sampingan yang serius akan dialami. Di samping itu memberi ubat yang belum disahkan berkesan adalah sesuatu yang melanggar etika perubatan kerana sudah ada ubat yang berkesan merawat penyakit tersebut.

 

Jika sekiranya ahli Sains ingin menguji keberkesanan sesuatu bahan kimia yang diektrak dari tumbuhan ke atas penyakit kanser umpamanya, mereka boleh menggunakan lapisan sel-sel kanser (“cancer cell lines”) yang diperolehi daripada bank sel-sel kanser yang disimpan. Di Malaysia, belum lagi terdapat bank sel-sel kanser seumpama ini jadi kita perlu membelinya dari luar negara seperti dari bank sel-sel kanser di Amerika. Bank sel-sel kanser ini menyimpan sel-sel kanser sebenar yang dihidapi oleh manusia untuk tujuan kajian. Ianya diperolehi dari pesakit-pesakit kanser yang memberi kebenaran supaya sebahagian daripada sample sel-sel kanser mereka disimpan untuk tujuan kajian. Makmal bank sel-sel ini juga menyimpan sel-sel haiwan yang dibiak untuk tujuan penyelidikan.

 

Ahli-ahli sains juga boleh meransang penyakit kanser ke atas haiwan yang diuji dan ubat ataupun ekstrak bahan aktif dari sumber asal boleh digunakan ke atas haiwan ini dan melihat keberkesanannya. Sel-sel kanser juga dapat disuntik kepada haiwan dan kemudian ubat yang hendak diuji akan diberikan kepada haiwan ini untuk melihat keberkesanannya. Haiwan yang sering digunakan untuk ujian praklinikal ini adalah tikus.

 

Di antara jenis-jenis lapisan sel-sel kanser yang terdapat di bank sel kanser di Amerika (American Type Culture Collection, ATCC, Rockville,MD) adalah seperti berikut:

 

Human liver hepatocellular carcinoma (HepG2), human neuroblastoma cell line (IMR-32), human lung cancer cell line (NCI-H23), human gastric cancer cell line (SNU-1), human colon adenocarcinoma cell line (LS-174T), human erythroleukemia cell line (K-562), human cervical cancer cell line (HeLa), and human Burkitt's lymphoma cell line (Raji)

 

Walaupun sel-sel ini adalah sel-sel kanser sebenar tetapi ianya tidak boleh dianggap seratus peratus mewakili sel yang ada di dalam tubuh badan manusia kerana sel di dalam tubuh badan manusia mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dan banyak factor yang mempengaruhi sifat dan fungsinya. Sebab itulah hasil kajian ke atas sel-sel yang dilakukan di dalam makmal tidak boleh dibuat andaian mudah yang ianya sama jika dilakukan di dalam tubuh manusia. Inilah sebabnya kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan dahulu sebelum keberkesanan dapat dibuktikan.

 

PEMPROSESAN POKOK BELALAI GAJAH UNTUK KAJIAN MAKMAL

 

Berikut adalah peringkat-peringkat pokok belalai gajah diproses untuk mendapatkan ektrak daripadanya:

 

  1. Pokok belalai gajah (C.nutans) dikenalpasti dahulu, kerana terdapat banyak sepsis belalai gajah. Spesis belalai gajah yang dikaji adalah Clinacanthus nutans

  2. Daun belalai gajah yang segar dipetik dan dikeringkan di dalam oven di bawah suhu 40-45 darjah Celsius

  3. Daun kering kemudian dijadikan serbuk

  4. Serbuk daun kering ini kemudiannya direndam di dalam chloroform, methanol dan air pada suhu bilik. Bahan-bahan ini adalah pelarut dan 3 larutan akan dihasilkan dengan setiap satunya menggunakan pelarut yang berbeza.

  5. Ektrak dari setiap larutan ini akan diasingkan dan dimasukkan ke dalam botol gelas yang bersih. Ianya akan ditapis dengan menggunakan kertas Whatman No 1.

  6. Hasil turasan dari 3 larutan ini akan dikeringkan dengan menggunakan mesin perawapan ataupun pengering beku.

  7. Semua ektraks ini akan disimpan di bawah suhu 20 darjah Celsius.

  8. Selepas itu barulah ektrak ini digunakan untuk menguji kesan ataupun sifatnya sebagai antioksidan dan juga antikanser/antiproliferatif.

 

UJIAN ANTIPROLIFERATIF ATAUPUN ANTI KANSER

 

Ektrak yang telah diperolehi daripada proses yang dinyatakan di atas akan digunakan untuk menguji samada ianya mempunyai kesan ke atas sel-sel kanser. Untuk tujuan tersebut, ekstrak ini akan dicampurkan dengan lapisan sel-sel kanser (cancer cell line) tertentu untuk melihat tindakbalas sel-sel kanser tersebut. Berikut adalah beberapa peringkat ujian makmal yang dilakukan ke atas sel-sel kanser:

 

  1. Ektrak yang terhasil akan disediakan di dalam beberapa konsentrasi/kepekatan bagi mewakili dos yang digunakan.

  2. Hasil ektraksi tadi akan digunakan untuk menguji aktiviti antiproliferatif dengan menggunalan MTT assay.

  3. Sel-sel kanser (6000 sel dalam setiap 1 ml) akan dimasukkan ke dalam 96 bekas plate yang mempunyai tapak yang rata

  4. Ekstrak yg mempunyai konsentrasi berbeza tadi akan dicampurkan dengan lapisan sel kanser dan dibiarkan selama 76 jam.

  5.  Bekas plate tersebut akan di sentrifuj (diputar) selama 10 minit dan mendakannya akan dibuang.

  6. Sel-sel yang hidup dan mati akan dikesan dan dibandingkan dengan control iaitu sel-sel yang tidak didedahkan kepada ektrak.

  7. Kadar perencatan pembiakan sel-sel kanser akan ditentukan untuk melihat keberkesanannya, di samping menentukan kepekatan ektrak yang optima untuk memberi kesan yang maksima.

 

Ujian makmal ke atas ektrak daun belalai gajah ini menunjukkan ianya hanya berkesan ke atas lapisan sel HeLa (human cervical cancer cell line) dan K-562(human elektroleukemia cells) sahaja. Ianya tidak berkesan ke atas lapisan sel-sel kanser yang lain. Pada kepekatan ekstrak sebanyak 100ug/mL ia mampu merencat 80-90% daripada pembiakan sel-sel kanser tadi.

 

Ujian kesan membunuh sel-sel dapat juga dilakukan ke atas sel-sel manusia yang normal di dalam makmal. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan lapisan sel-sel manusia yang diperolehi daripada sel-sel lapisan dinding saluran darah vena talipusat bayi.

 

 

Ektrak daripada belalai gajah yang diperolehi ini akan dianalisa untuk menentukan apakah bahan aktif yang terdapat di dalamnya. Kajian makmal telah mendapati terdapat  14 jenis bahan kimia aktif yang terkandung di dalamnya dan bahan kimia yang paling utama adalah 1, 2-benzenedicarboxylic acid, mono (2-ethylhexyl) ester. Bahan kimia ini dipercayai mempunyai aktiviti antimicrobial, antioksidan dan antiproliferatif. Masih lagi kajian praklinikal, ahli sains akan memperolehi bahan-bahan kimia aktif tersebut pula untuk melakukan ujian yang sama sehingga memperolehi maklumat yang dikehendaki iaitu kadar keberkesanan, dos yang diperlukan, kaedah pemberian dan kesan sampingan. Selepas peringkat ini barulah ahli sains akan menguji bahan ini ke atas manusia di dalam kajian klinikal bermula dengan kajian klinikal fasa 1.

 

Begitulah terperincinya kajian makmal yang dilakukan untuk melihat kesan ekstrak daripada sesatu sumber samada sumber tersebut daripada tumbuhan, herba ataupun bahan kimia yang dihasilkan secara sintetik di dalam makmal. Ujian-ujian di atas adalah ujian makmal dan jika didapati mempunyai kesan positif barulah ujian fasa 1 akan dilakukan iaitu ujian ke atas sekumpulan kecil manusia. Selepas kejayaan fasa 1 barulah dilanjutkan kepada fasa 2 kajian klinikal sehinggalah ujian klinikal fasa 3 yang akan menggunakan ramai manusia untuk melihat keberkesanan sebenar bahan-bahan ini di dalam menyembuhkan penyakit. Setelah lengkap ujian klinikal fasa 3 dan didapati berkesan serta selamat diambil oleh pesakit barulah syarikat farmaseutikal ataupun institusi yang menjalankan kajian ini memohon kebenaran daripada Penguatkuasa Ubatan untuk dipasarkan dan digunakan oleh manusia. Hasil-hasil kajian ini akan disiarkan di dalam jurnal-jurnal perubatan antarabangsa untuk dikongsi oleh ahli-ahli sains dan pakar-pakar perubatan di seluruh dunia. Kajian-kajian klinikal ini boleh memakan masa bertahun-tahun melihatkan beratus-ratus , malahan mungkin sehingga beribu-ribu orang manusia sebelum disahkan berkesan dan selamat digunakan.

Lapisan sel kanser payudara ("breast cancer cell line) yang sudah diuji dengan agen

 

DAUN RERAMA DAN DAKWAAN KHASIAT

 

 

Daun rerama (Red Butterfly Wing) ataupun nama saintifiknya Christia Vespertilionis mempunyai sejarah dan kajian yang sama seperti belalai gajah. Pokok daun rerama banyak didapati di negara Asia seperti Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan lain-lain. Ia boleh tumbuh hingga kepada ketinggian 60-120 cm, daun muda bewarna unggu, manakala daun matang bewarna hijau pekat dengan garis-garis hijau muda. IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources) telah mengkategorikan tumbuhan ini sebagai sepsis yang terancam. Dilapurkan bahawa bahan kimia yang terdapat dari pokok rerama adalah alkaloid, triterpenes, asid lemak, phenols, rantai panjang alkohol, palmitine, corynoxidine, pheophorbid-a, ursolic acid, flavonoid glycosides, steroid dan banyak lagi. Pheophorbid-a yang terkandung di dalamnya pernah dikesan mempunyai ciri-ciri antiproliferatif dalam kajian makmal.  Daun rerama pernah menjalani kajian makmal oleh ahli sains Universiti Putra Malaysia dan kenyataan resmi pihak university tentang hasil kajian ini ada disiarkan dan jelas menyatakan bahawa ianya baru sahaja menjalani kajian makmal menggunakan lapisan sel-sel kanser dan baru hendak melangkah kepada ujian ke atas haiwan (http://www.upm.edu.my/berita/details/daunreramabm). Ini bermaksud daun rerama belum lagi menjalani kajian klinikal untuk menguji keberkesanannya kepada penyakit yang dihidapi oleh manusia. Mengikut dakwaan orang ramai, daun rerama ini boleh mengubati kanser, penyakit SLE, denggi, malaria,gigitan ular, merawat kepatahan tulang, penyakit tibi, angin ahmar, kencing manis, masalah usus, campak dan lain-lain, tetapi tidak satupun dakwaan ini adalah berasaskan kepada bukti kajian klinikal. Ianya hanya berasaskan kepada testimoni atau bukti anekdotal semata-mata. Kajian makmal yang dijalankan ada menunjukkan kesan antiproliferatif dan anti keradangan tetapi kajian makmal ini adalah kajian praklinikal. Kajian makmal ke atas sel-sel kanser adalah ke atas kanser kelenjar tiroid dan neuroendocrine tumour. Kaedah mengekstrak pati daun rerama untuk tujuan kajian makmal adalah sama seperti daun belalai gajah walaupun menggunakan bahan kimia dan pelarut yang berbeza. Malahan Ahli Sains yang menerajui kajian di UPM ini sendiri iaitu A.Prof Dr.Latifah Saiful Yazan ada membuat kenyataan “Pihak UPM tidak bertanggungjawab dengan dakwaan beberapa pengusaha produk berasaskan daun rerama yang mengaitkan produk mereka amat berkesan untuk pelbagai penyakit. Masih terlalu awal untuk membuat satu rumusan sehinggalah penyelidikan ke atas manusia dapat dijalankan”.

 

 

                                                 Daun rerama yang dikeringakan

                                                Teh daun rerama

 

MENGAPA HASIL KAJIAN MAKMAL / PRA-KLINIKAL TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI ALASAN UNTUK MERAWAT PESAKIT

 

Berikut adalah beberapa alasan mengapa hasil kajian Praklinikal TIDAK boleh digunakan sebagai alasan untuk digunakan oleh pesakit dan orang ramai:

 

  1. Ujian praklinikal adalah ujian yang dijalankan di luar badan manusia dan ada yang dilakukan ke atas haiwan. Persekitaran dalam badan manusia adalah jauh lebih kompleks.

  2. Peringkat awal kajian praklinikal adalah hanya menguji ekstrak secara kasar dan belum mengenalpasti apakah bahan kimia atau unsure-unsur spesifik yang berkesan kerana terdapat banyak bahan kimia daripada ekstrak tumbuhan.tersebut.

  3. Ujian Praklinikal belum mendapatkan maklumat tepat mengenai apakah dos ataupun kuantiti ubat yang berkesan dan selamat diambil oleh manusia. Ia hanya berasaskan kepada kajian ke atas haiwan.

  4. Ujian praklinikal belum lagi ujian yang membuktikan keberkesanan dan selamat jika diambil oleh manusia. Ianya mungkin selamat diambil oleh haiwan.

  5. Ujian praklinikal belum lagi membandingkan keberkesanannya dengan kaedah rawatan standard yang sedang diamalkan, jadi kita belum lagi mengetahui samada ianya lebih berkesan ataupun kurang berkesan.

  6. Ujian praklinikal belum lagi memberi kepastian terhadap kaedah pemberian yang terbaik kepada manusia. Tidak semua ubatan boleh diambil melalui makan ataupun minum disebabkan oleh faktor asid perut, enzim penghadaman dan sistem penyerapan di dalam usus. Contohnya majoriti ubat-ubat anti-kanser hanya berkesan diberikan melalui suntikan.

  7. Ujian praklinikal belum lagi dapat menentukan kesan sampingan jika diambil oleh manusia, ianya mungkin hanya selamat digunakan ke atas haiwan.

  8. Ujian praklinikal belum dapat mengesahkan kesan sampingan jangka panjang ke atas manusia serta kesan mudarat ke atas anak di dalam kandungan.

  9. Menggunakan hasil kajian praklinikal untuk terus merawat pesakit adalah tindakan yang tidak beretika dan bakal memudaratkan pesakit.

 

KESIMPULAN

 

Ahli Sains dan Pakar Perubatan sangat teliti sebelum mendakwa sesuatu produk kesihatan samada di dalam bentuk sintetik ataupun yang diperolehi daripada tumbuhan dan herba berkesan merawat sesuatu jenis penyakit. Ini bagi memastikan bahawa pesakit-pesakit tidak mendapat kesan buruk daripada mengamalkan sesuatu kaedah rawatan yang belum terbukti berkesan. Di samping itu dakwaan palsu ini juga seringkali menyebabkan pesakit lambat untuk mendapatkan rawatan yang terbukti berkesan. Bagi menentukan keberkesanan produk-produk kesihatan ini, kajian klinikal perlu dijalankan. Peringkat yang paling awal kajian klinikal dinamakan kajian praklinikal iaitu kajian makmal yang dilakukan samada ke atas haiwan (in-vivo) ataupun ke atas lapisan-lapisan sel di luar tubuh badan manusia (in-vitro). Proses mengektrak bahan-bahan aktif yang terdapat di dalam sumber asli sesuatu produk kesihatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kajian makmal dilakukan supaya hanya bahan aktif tersebut sahaja yang dapat diambil dan diuji. Ini disebabkan kerana di dalam sumber asli produk kesihatan tersebut terdapat banyak jenis bahan-bahan kimia yang mempunyak kesan yang berbeza ke atas sel-sel ataupun badan manusia. Ahli sains juga perlu menentukan apakah kuantiti ataupun dos bahan aktif yang yang diperlukan untuk memberi kesan yang bermakna, di samping kesan sampingan yang boleh timbul pada dos tertentu. Walaupun kajian makmal menunjukkan kesan positif terhadap sel-sel di luar badan manusia ataupun haiwan yang diuji, ianya masih belum dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan ke atas manusia kerana kajian klinikal perlu dilakukan dahulu. Kajian-Kajian klinikal yang lebih lanjut adalah kajian fasa 1, 2, 3 da 4. Kajian-kajian klinikal ini akan menentukan dos, tahap keberkesanan, kaedah pemberian dan juga kesan sampingan yang boleh berlaku ke atas manusia. Kesan-kesan ini akan dibandingkan dengan control ataupun golongan-golongan yang tidak mengambil produk ujikaji tersebut. Setelah kajian fasa 3 berjaya membuktikan keberkesanan serta keselamatan ubat atau bahan kimia tersebut barulah permohonan untuk kelulusan penggunaannya ke atas pesakit diperolehi. Begitulah proses penghasilan produk kesihatan daripada peringkat kajian sehinggalah kepada peringkat pemasaran dan penggunaan pesakit. Kajian fasa 4 pula adalah pemantauan ke atas penggunaan produk oleh pesakit dan orang ramai. Kajian keatas keberkesanan pokok belalai gajah dan daun rerama menunjukkan bahawa ianya masih berada pada peringkat kajian makmal ataupun praklinikal. Sehingga hari ini sepatutnya tidak ada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa kedua-dua tumbuhan ini dapat merawat penyakit seperti yang didakwa iaitu kanser, jangkitan, diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Tidak dinafikan terdapat tanda-tanda awal bahawa terdapat bahan di dalam kedua-dua tumbuhan ini yang mempunyai kesan merencat pembahagian sel dan keradangan, tetapi kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengenalpasti apakah bahan tersebut, kuantiti yang perlu digunakan serta kaedah pemberian serta kesan sampingannya sebelum ianya disahkan berkesan dan selamat digunakan oleh orang ramai. Semua pesakit-pesakit yang sudah disahkan menghidapi penyakit hendaklah mendapatkan rawatan daripada doctor serta pakar-pakar perubatan moden yang terlatih di dalam bidang penyakit berkenaan. Rawatan awal akan mencegah anda daripada mendapat komplikasi serius jadi anda akan memperolehi kembali kesihatan badan, jika tidak anda boleh merana sepanjang hayat.

 

RUJUKAN

 

Yong YK, Tan JJ, The SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med, 2013; 462751. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)

 

Alam A, Ferdosh S, Ghafoor K, et al. Clinacanthus nutans: A review of the medicinal uses, pharmacology and phytochemistry Asian Pacific Journal of Tropical Medicine Volume 9, Issue 4, April 2016, Pages 402–409

 

Yong YK, Tan JJ, The SS, et al. Clinacanthus nutans Extracts are antioxidant with antiproliferative effect on cultured human cancer cell lines. Evid Based Complement Alternat Med, 2013; 462751. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3600186/)

 

Yahaya R, Dash GK, Abdullah Syafiq M, Mathews A. Clinacanthus nutans Lindau: An Useful Medicinal Plant of South East Asia. Inter J of Pharmacognosy and Phytochemical Research, 2015; 7(6):1244-1250

 

Mai CW, Yap KSI, Kho MT, et al. Mechanisms Underlying the Anti-Inflammatory effects of Clinacanthus nutans Lindau Extracts: Inhibition of cytokine production and toll-like receptors-4 Activation. Front. Pharmacol., 02 February 2016 | http://dx.doi.org/10.3389/fphar.2016.00007

 

Bunawan H, Bunawan SN, Baharum SN. The red butterfly wing (christia vespertilionis): A Promising cancer cure in Malaysia. Inter J of Pharm and Pharmaceutical Sc, 2015;7(8)

 

Dash GK. An Appraisal of Christia vespertilionis (L.F.) Bakh. F: A Promising Medicinal Plant. Int J of Pharmacognosy and Phytochem Research, 2016; 8(6): 1037-1039

 

http://alt.medicine.com.my/2013/07/sabah-snake-grass-warning/

 

http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1995764516300116

 

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUTISI ATAUPUN PERTUBUHAN. TIDAK DIBENARKAN SESIAPA UNTUK MENGAMBIL RENCANA INI UNTUK DISIARKAN SEMULA TANPA KEBENARAN PENULIS

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now