HERBA, JUS DAN PRODUK SUPLEMEN ANTI-KANSER ?? FAKTA ATAU AUTA


Selama hampir 15 tahun terlibat dengan rawatan penyakit kanser wanita, banyak suka duka yang telah dilalui. Paling mendukacitakan adalah apabila ada pesakit yang enggan dirawat dengan rawatan konvensional sebaliknya mencuba terlebih dahulu kaedah rawatan yang belum terbukti berkesan termasuk mengamalkan pengambilan herba, “makanan sunnah”, jus, produk suplemen, vitamin dan lain-lain. Ada yang datang kembali semata-mata untuk melakukan ujian darah dan pemeriksaan CT scan untuk melihat keberkesanan rawatan alternatif tersebut. Manakala yang lain pula kembali setelah puas mencuba dan berhabisan ribuan ringgit. Sehingga rencana ini ditulis, saya dan rakan setugas BELUM PERNAH lagi bertemu dengan pesakit yang membawa balik BERITA GEMBIRA selepas menjalani rawatan alternatif. Kes terbaru yang kami terima adalah seorang wanita yang kira-kira setahun dahulu disahkan menghidap kanser pangkal rahim peringkat 1B1 tetapi enggan untuk dirawat oleh kami sebaliknya ingin mencuba kaedah rawatan alternatif. Daripada pengalaman saya, peluang untuk sembuh sepenuhnya bagi peringkat 1B1 adalah hampir 80% jika dirawat dengan rawatan konvensional (moden). Selepas hampir satu tahun, beliau kembali kepada kami dan sangat menyedihkan kerana kanser tersebut sudah merebak dan berada pada peringkat 3B dengan tanda penyumbatan saluran kencing dan kerosakan buah pinggang. Apabila kanser sudah sampai ke peringkat 3B, peluang untuk sembuh sepenuhnya hanya tinggal 25-30% dan 70% daripada pesakit2 ini tidak dapat hidup lebih daripada 5 tahun. Beliau mencuba pelbagai kaedah rawatan alternatif seperti yang dinyatakan di atas termasuk yang kononnya berasaskan sel stem. Sebut apa sahaja jenis herba dan jus yang sering diwar-warkan, semuanya sudah dicuba. Menyaksikan fenomena ini berlaku berulangkali di depan mata adalah satu pengalaman yang pahit dan sgt menyedihkan.


Salah satu bentuk rawatan kanser adalah pembedahan. Semasa melakukan pembedahan kanser, kelainan tindakbalas badan pesakit boleh dikesan berdasarkan kepada bagaimana bahagian badan yang dibedah itu mengawal pendarahan. Kemampuan badan mengawal pendarahan adalah keupayaan semulajadi tetapi keupayaan ini boleh terganggu jika pesakit mengambil ubat pencair darah ataupun ubat2 herba yang mungkin mempunyai unsur-unsur yang menganggu proses pembekuan darah. Contohnya saya pernah melakukan pembedahan ke atas seorang pesakit kanser pangkal rahim dan saya dapati perdarahan yang berlaku di bahagian yang dibedah sukar dihentikan, keadaan ini di luar jangkaan melainkan jika sekiranya pesakit mengambil sesuatu di luar pengetahuan kami. Jangkamasa pembedahan terpaksa dipendekkan dan pembedahan tidak mencapai tahap yang sempurna. Keesokan harinya selepas pulih dari pembedahan, saya bertanya kepada beliau apa yang diambil sebelum pembedahan, beliau mengaku mengambil pelbagai jenis herba termasuk belalai gajah. Kes seumpama ini bukan lagi kes terpencil tetapi kerapkali ditemui. Terdapat juga lapuran daripada pakar kanser lain yang mendapati pengambilan herba-herba ini boleh meningkatkan kesan sampingan ubat antikanser terhadap sum-sum tulang dan bilangan sel darah jika kedua2nya diambil serentak.


SEHINGGA RENCANA INI DITULIS, BELUM ADA PRODUK-PRODUK HERBA, JUS ATAUPUN APA SAHAJA PRODUK SUPLEMEN (SELAIN DARIPADA KAEDAH RAWATAN MODEN) YANG SUDAH TERBUKTI BERKESAN MERAWAT KANSER MANUSIA BERDASARKAN KEPADA KAJIAN SAINTIFIK. Memang terdapat kajian makmal ataupun pra-klinikal terhadap beberapa jenis tumbuhan dan herba termasuk yang dilakukan oleh ahli sains tempatan tetapi kajian tersebut adalah kajian makmal yang terlalu awal dan sangat pra-matang untuk dijadikan bukti keberkesanan. Kajian-kajian ini dilakukan ke atas haiwan ataupun ke atas lapisan sel kanser ( “cancer cell line”) di luar tubuh badan manusia. Itupun ahli sains mendapatkan ekstrak ataupun pati daripada bahan mentah melalui kaedah penapisan, penurasan dan tindakbalas kimia yang dilakukan melalui beberapa peringkat di dalam makmal dan BUKAN direbus, dimakan mentah, dijadikan serbuk, kapsul, minuman ataupun jus. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa hampir 50% daripada ubat-ubat antikanser moden yang ada pada hari ini adalah diperolehi daripada ekstrak tumbuhan tetapi sudah menjalani kajian dan penilaian yang terperinci untuk digunakan kepada pesakit.


Mengambil produk2 herba dan suplemen ini secara senyap-senyap merupakan tindakan memudaratkan diri sendiri dan tidak membawa apa-apa manfaat di dalam merawat penyakit kanser yang dihidapi. Kemudaratan berganda akan dialami jika ianya diambil sebelum dan semasa rawatan kanser diberikan oleh pakar kanser tidak kira apapun jenis rawatan kanser tersebut. Ketahuilah bahawa di dalam herba dan bahan-bahan mentah ini terdapat beratus2 jenis bahan kimia yang banyak di antaranya tidak diketahui apakah kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang. Kita juga tidak tahu apakah kesannya apabila bahan-bahan kimia ini berinteraksi dengan ubat-ubat yang diambil di hospital.


Melalui rencana ini saya ingin menyeru dan merayu kepada semua pesakit kanser dan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan palsu produk antikanser oleh pengamal perubatan alternatif dan penjual-penjual produk kesihatan yang dikategorikan di bawah produk suplemen, herba dan komplementari. Kerana jikalah benar ianya berkesan merawat kanser, kami pakar-pakar kanser tentulah golongan yang pertama mengetahuinya dan menggunakannya untuk rawatan pesakit kami. Malahan tidak ada juga mana-mana produk ini yang terbukti berkesan untuk mencegah kanser ataupun meningkatkan keberkesanan rawatan kanser. Jadilah masyarakat yang celik ilmu, peka dan berhati-hati apabila menilai maklumat. Rajinlah membaca dan bertanya kepada pakar di dalam bidang yang berkenaan.


Kepada Ahli-Ahli Sains ataupun doktor-doktor yang diberikan kedudukan tinggi pada pandangan masyarakat jadilah penyampai ilmu yang benar dan tidak menambahkan kekeliruan masyarakat mengenai kanser dan rawatan kanser. Janganlah menggunakan gelaran dan kedudukan anda untuk tujuan meraih keuntungan dengan menjadi jurucakap kepada ahli-ahli perniagaan yang menjual produk kesihatan. Jika kajian yang anda jalankan itu masih pada peringkat makmal ataupun pra-klinikal tidak kira di mana ianya dijalankan, jelaskanlah kepada orang ramai hakikat sebenarnya apakah itu ujian pra-klinikal dan apakah nilai hasil kajian anda tersebut. Jangan pula dengan tersiarnya hasil kajian pra-klinikal anda tersebut di dada akhbar, berduyun-duyun ahli perniagaan mengeluarkan produk kesihatan dengan memproses sendiri bahan mentah dan mendakwa sudah berkesan merawat penyakit. Lebih mendukacitakan lagi jika anda sendiri yang membantu memproses bahan-bahan ini untuk digunakan sebagai ubat antikanser bagi kegunaan orang ramai sedangkan kajian klinikal fasa 1,2 dan 3 belumpun dilakukan.


Kepada penjual-penjual produk kesihatan alternatif dan komplementari, tolong bantu pesakit-pesakit kanser ini dengan menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan kanser daripada pakar kanser yang bertauliah. Hentikanlah penggunaan testimoni-testimoni untuk menarik kepercayaan orang ramai kerana kebanyakan testimoni-testimoni ini sebenarnya hanyalah setaraf dengan khabar angin. Kasihanilah mereka dan ikhlas lah di dalam mempromosi produk anda. Anda tidak pernah merasakan bagaimana perasaan mereka yang sedang tertekan akibat penyakit kanser dan apakah penderitaan fizikal yang mereka lalui. Jika anda membuat dakwaan palsu dan berjaya mempengaruhi mereka sehingga mereka lambat atau tidak mahu mendapatkan rawatan daripada pakar, anda sudah menjadi sebahagian daripada sebab musabab kemudaratan ataupun kematian ke atas mereka. Bayangkan lah jika pesakit2 ini sanak saudara anda sendiri dan orang yang anda sayangi. APALAH NILAI WANG RINGGIT YANG DIPEROLEHI ITU JIKA IANYA DIPEROLEHI MELALUI CARA YANG TIDAK BERETIKA DARIPADA ORANG YANG TERANIAYA.



Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG (UKM),FGO(S'PORE),AM

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Unit Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah

Alor Setar, Kedah

BACAAN TAMBAHAN

1. Laetrile - Amygdalin - Vitamin B17 dan Kanser: Mitos atau Realiti

2. Adakah Produk Semulajadi Tulin dan Bebas Kimia itu lebih baik ?

3. Testimoni, Testimoni, Testimoni

4. Menilai keberkesanan produk kesihatan

5. Apakah Perubatan Islam

Rencana ini adalah pendapat peribadi Penulis dan tidak mewakili mana-mana Institusi ataupun Pertubuhan. Tidak dibenar mengambil mana-mana bahagian daripada rencana ini tanpa kebenaran penulis.

                 Penulis

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

Recommanded Sites
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now