FISIOLOGI TIDUR

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Hospital Sultanah Bahiyah

Tidur adalah keadaan di mana anda menjadi kurang sedar dan tidak bertindakbalas dengan ransangan sekitar anda. Terdapat dua fasa tidur iaitu 1. Fasa REM (Rapid Eye Movement) dan 2. Fasa Non-REM ataupun tidur gelombang perlahan (slow wave sleep).


Fasa tidur REM


Semasa fasa REM, pergerakan mata anda adalah cepat. Semasa fasa ini anda kurang berehat berbanding dengan fasa Non-REM. Pada fasa REM inilah anda bermimpi dan otot badan anda berkontraksi. Walau bagaimanapun ketika fasa ini anda lebih sukar dikejutkan. Kadar denyut jantung dan pernafasan anda menjadi tidak tetap. Otak anda sangat aktif ketika fasa ini dan jika elektroenkefalogram dijalankan ia akan menunjukkan corak yang sama dengan seseorang yang sedar. Sebab itulah tidur REM ini juga dinamakan tidur paradoksikal.


Fasa tidur Non-REM


Berbeza dengan fasa tidur REM, fasa tidur Non-REM adalah tidur yang nyenyak. Seseorang yang letih akan mengalami tidur Non-REM yang panjang ketika mula masuk tidur. Setelah badan anda rehat, jangkamasa tidur REM akan mengurang. Tekanan darah, pernafasan dan kadar metabolism akan tertekan menurun. Tidak ada pergerakan badan ketika tidur Non-REM. Gelombang otak adalah kuat tetapi pada frekuensi yang perlahan. Walaupun selalunya pada fasa tidur ini, tidak ada mimpi, kadangkala ianya boleh berlaku termasuk mimpi ngeri. Tiada pergerakan anggota badan pada fasa ini dan anda tidak akan ingat apa yang berlaku.


Kitaran tidur


Kitaran Tidur


Kitaran tidur ataupun “sleep cycle” adalah kitaran di antara fasa REM dan Non-REM. Fasa tidur REM berlaku setiap 90 minit dan setiap malam akan terdapat 4-6 kitaran fasa tidur REM dan fasa tidur Non-REM yang berlaku secara bergilir. Pada ketika tiba waktu tengah malam, episode fasa tidur REM akan bertambah panjang manakala fasa tidur Non-REM pula akan menjadi bertambah pendek dan ringan. Fasa tidur Non-REM terdiri daripada 4 peringkat iaitu peringkat 1, 2,3 ataupun 4. Fasa 1 dan 2 dianggap tidur yang ringan, manakala fasa 3 dan 4 pula adalah tidur nyenyak (“deep sleep”).


Keperluan tidur meningkat apabila anda semakin jauh dari masa terakhir tidur Non-REM. Ianya sama seperti tidak makan dan lapar, lagi lama tidak makan, anda akan merasa lebih lapar. Lagi lama jarak masa anda dengan ketika anda tidur Non-REM, lagi tinggi keinginan anda untuk tidur.


Corak gelombang elektrik dari otak yang direkodkan oleh alat EEG



CIRCADIAN RHYTHM (CR)


Circadian rhythm (CR) adalah kitaran waktu tidur dan jaga dalam masa 24 jam. CR pada prinsipnya menjadikan malam sebagai waktu tidur dan sedikit masa pada waktu siang iaitu daripada pukul 2 hingga 4 petang. Selalunya tidur, suhu dan juga kitaran hormon berlaku secara sinkroni supaya tindakbalas faktor2 ini akan menentukan waktu tidur dan jaga seseorang. CR diwujudkan oleh apa yang dikenali oleh jam biologi (“Biological clock”) yang dipengaruhi oleh beberapa peransang luar bagi memastikan jam biologi ini akan sinkroni dengan persekitaran luar.Cahaya mempunyai pengaruh ke atas CR melalui tindak balas cahaya ke atas retina yang menghantar maklumat kepada bahagian otak yang dinamakan SCN (“suprachiasmatic nuclei”). SCN pula mempengaruhi kelenjar pineal yang menghasilkan melatonin. Melatonin dihasilkan daripada amino asid yang bernama tryptophan. Peningkatan penghasilan melatonin menyebabkan rasa mengantuk. Melatonin juga boleh diransang dengan mengambil tryptophan dan vitamin B6 yg boleh diperolehi daripada makanan seperti susu, pisang, kacang dan buah ara. Sebahagian ubat seperti ubat anti-depressant dan anti-psikotik juga boleh meransang penghasilan melatonin. Manakala kafein, beta-blockers, benzodiazepines dan NSAIDs boleh merencat penghasilan melatonin.


MENGAPA PERLU KEPADA TIDUR


Seperti yang dinyatakan di awal rencana ini, tidur adalah keperluan hidup manusia sama seperti nutrin. Fungsi sebenar tidur ke atas fungsi tubuh badan manusia masih belum diketahui sepenuhnya walaupun ahli sains ketahui bahawa proses biokimia, fisiologi, neurologi dan psikologi yang berlaku di dalam badan manusia berbeza semasa tidur jika dibandingkan ketika sedar.


Perubahan Biokimia


Hormon yang berbeza dikeluarkan semasa tidur dan jaga. Contohnya semasa hormone tumbesaran dikeluarkan semasa tidur, manakala hormone kortisol dikeluarkan semasa jaga. Kadar metabolisma badan menurun, tenaga disimpan dan suhu badan menurun ketika tidur Non-REM. Dikatakan pada ketika ini juga penghasilan protin dan molekul yang kompleks meningkat di dalam badan. Semasa jaga otak menggunakan simpanan glikogen untuk tenaga, manakala ketika tidur proses ini terbalik dan supaya ada cukup glukos yang boleh digunakan apabila seseorang itu terjaga.


Perubahan Fisiologi


Tidur dikatakan sebagai fasa rehat dan pemulihan badan untuk membuat persediaan apabila terjaga dan menjalankan aktiviti fizikal seterusnya. Pembahagian sel dikatakan lebih cepat ketika tidur Non-REM dan tidur juga dikatakan penting untuk fungsi sistem pertahanan.


Perubahan Neurologi (Saraf)


Tidur dikatakan mempunyai pengaruh keatas proses kematangan system saraf ketika awal perkembangan. Ianya juga penting untuk proses pembentukan jaringan saraf yang baru yang berkaitan dengan tabiat seseorang manusia. Ketika tidur REM, bahagian cerebral cortex otak membuka peluang komunikasi dengan ransangan luar yang tidak boleh berlaku ketika sedar.


Perubahan Psikologi


Tidur ketika fasa Non-REM dan juga REM merupakan masa di mana segala informasi dan ingatan terhadap apa yang berlaku ketika sedar dikonsolidasikan. Ketika ini juga ingatan-ingatan tersebut dapat disimpan untuk jangkamasa yang lebih panjang. Kekurangan tidur yang mencukupi boleh mengganggu proses penyimpanan maklumat. Penyimpanan maklumat paling berkesan jika seseorang berada pada peringkat 3 dan 4 tidur Non-REM semasa 2 jam pertama tidur dan jika 25% terakhir tidur adalah pada fasa tidur REM. Pendek kata jenis-jenis ingatan yang boleh disimpan dengan baik bergantung kepada peringkat tidur dan juga jenis tidur yang berlaku pada waktu-waktu tertentu seseorang itu sedang tidur.


BERAPA BANYAK TIDUR YANG ANDA PERLUKAN


Tidur yang tidak mencukupi dan tidur yang terlalu panjang boleh memudaratkan. Jadi jangkamasa tidur hendaklah cukup dan dalam julat masa yang disyorkan. Jangka masa tidur yang diperlukan juga bergantung kepada usia seseorang di mana bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur yang lebih panjang berbanding dengan seorang dewasa. Kira-kira 60% daripada populasi orang dewasa tidur dalam jangkamasa 7-8 jam pada waktu malam. Manakala 8% orang dewasa tidur kurang daripada 5 jam. Di sebaliknya pula, 2% daripada orang dewasa tidur lebih daripada 10 jam. Dikatakan bahawa ketiadaan tidur Non-REM terutamanya pada peringkat 3 dan 4 boleh menyebabkan seseorang itu merasa letih ketika siang hari berbanding dengan ketiadaan tidur jenis REM. Tidur yang kurang daripada 5-6 jam pada waktu malam selalunya dikaitnan dengan gejala-gejala kekurangan tidur. Untuk mengetahui keperluan tidur seseorang sila rajah di bawah yang merupakan cadangan yang disyorkan melalui kajian tidur oleh pakar-pakar.



                 Penulis

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

Recommanded Sites
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now