• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

Rawatan Ozone dari Perspektif Perubatan Moden Konvensional

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD, MOG (UKM),FGO(S'pore),AM

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Hospital Sultanah Bahiyah

 

PENDAHULUAN

 

 

Oksigen adalah molekul yang terdiri daripada 2 atom Oksigen ataupun singkatannya O2 . Semua orang tahu apakah gas Oksigen yang merupakan salah satu keperluan hidup semua haiwan. Walau bagaimanapun tidak semua orang tahu apakah Ozone, berbanding dengan Oksigen, Ozone adalah molekul yang terdiri dari tiga atom Oksigen ataupun singkatan O3 . Perkataan OZONE berasal dari perkataan Greek, “OZEIN” bermaksud bau. Gas Ozone adalah gas yang berbau dan wujud di dalam kuantiti yang sedikit di dalam udara atmosfera.  Ia ditemui dengan banyak di lapisan atas atmosfera (pada ketinggian 50 ribu hingga 100 ribu kaki dari permukaan bumi) sebagai lapisan yang melindungi hidupan di bumi dari pancaran ultra unggu. Di dalam bentuk gas, Ozone adalah toksik kepada manusia. Ia boleh turun ke bumi kerana mempunyai jisim yang lebih berat sambil membersihkan udara dari pencemaran. Ozone dikatakan kaedah semulajadi bumi membersihkan udaranya. Secara semulajadi, sinar UV dari cahaya matahari memecahkan molekul oksigen dan menyebabkan terbentuknya atom oksigen yang bebas yang teraktif, atom-atom ini akan bergabung dengan molekul oksigen dan membentuk Ozone. Ozone juga boleh dihasilkan dengan mengenakan aliran elektrik ke atas gas Oxygen. Ozone boleh membentuk hydrogen trioxide (HO3) apabila ia bergabung dengan proton atom hidrogen, kemudiannya hydrogen trioxide ini akan dipecahkan kepada bahan pengoksidan yang kuat dikenali sebagai radikal hydroxyl (OH). Gas Ozone mempunyai potensi pengoksidan yang kuat iaitu 1.5 kali lebih kuat dari klorida jika digunakan sebagai agen pembunuh kuman. Berbeza dengan Oksigen, Ozone jauh lebih larut di dalam air dan ini menyebabkan ia mudah bertindakbalas dengan bahan yang larut air ataupun biomolekul di dalam cecair biologi.

 

 

Gas Ozone mula digunakan sebagai terapi semenjak kurun ke 19 dan melalui maklumat sejarah, gas ozone pertama kali dihasilkan oleh seorang Pakar Fizik Belanda bernama Martin van Marun pada tahun 1785. Walau bagaimanapun, hanya Pakar Kimia  German bernama Christian Friedrich Schonbein yang mendemonstrasikan kewujudan dan ciri-ciri gas Ozone, beliau dianggap Bapa kepada terapi Ozone.  Kegunaan pertama Ozone adalah sebagai disinfeksi (membunuh bakteria) bilik bedah pada tahun 1856 dan kemudiannya untuk merawat air pada tahun 1860. Tentera German menggunakan ozone untuk merawat tenteranya yang tercedera semasa perang dunia pertama. Generator gas Ozone pertama untuk tujuan perubatan dicipta oleh Pakar Fizik German yang bernama Joachim Hansler dan rakannya seorang Pakar perubatan bernama Hans Wolff pada tahun 1857. Terapi Ozone pada asalnya digunakan untuk tujuan rawatan jangkitan di dalam bidang pembedahan, kulit, kosmetik dan pergigian. Kepekatan gas ozone yang digunakan adalah berbeza dari 0.05% hingga 5% (kombinasi dengan gas oksigen) bergantung kepada kegunaan dan keadaan pesakit. Terdapat tiga sistem yang berbeza bagaimana gas Ozone dihasilkan iaitu (1) Menggunakan sistem ultra unggu, menghasilkan Ozone berpekatan rendah, digunakan di dalam bidang kecantikan dan penulinan udara, (2) Sistem Cold Plasma, digunakan di dalam penulinan air dan udara dan (3) Sistem Corona Discharge, menghasilkan Ozone berpekatan tinggi, digunakan terutamanya di dalam bidang perubatan dan pergigian. Kaedah pemberian Ozone yang disyorkan adalah di dalam 3 bentuk iaitu (1) Gas Ozone, (2) Air Ozone dan (3) Minyak Ozone. Kaedah pemberian Ozone ke dalam aliran darah tidak disyorkan oleh pertubuhan perubatan Ozone Eropah kerana kemungkinan risiko embolisma udara (“air embolism”). Pengamal dan penyokong penggunaan Ozone percaya bahawa Ozone adalah pembunuh bakteria, kulat, protozoa dan virus yang berkesan.  Mereka juga mendakwa bahawa Ozone juga dapat meransang sistem imun, anti-keradangan (antiinflamatori), ubat sakit (analgesic), tindakan anti-hypoxic, memperbaiki aliran darah serta bekalan oksigen, meransang sistem neuroendokrin, mengawal metabolism badan, mengawal sistem imun dan lain-lain. Mengikut Europe based Medical Society for Ozone dan National Centre for Scientific Research di Cuba, ahli perubatan menggunakan Ozone untuk merawat penyakit-penyakit berikut iaitu abses, jerawat, AIDs, alahan, radang sendi, asma, kanser, cerebral sclerosis, gangrene, ulcer, glaucoma, Rheumatoid arthritis, hepatitis, jangkitan herpes dan zoster (kayap). Senarai penyakit yang didakwa dapat dirawat dengan ozone mungkin lebih panjang. Penulis akan meneliti dan mencari fakta-fakta yang berkaitan dengan rawatan ozone dan melihat sejauh mana benarnya dakwaan golongan-golongan yang mempelopori dan mengamalkan terapi Ozone.

 

BAGAIMANA TERAPI OZONE DIBERIKAN DI DALAM AMALAN PENGUBATAN

 

Apabila Ozone digunakan untuk tujuan rawatan perubatan, ianya dikenali sebagai Medical Ozone. Apabila disebut rawatan ataupun terapi Ozone, ia sebenarnya menggunakan campuran gas Oksigen dan gas Ozone, kandungan gas Ozone di dalam campuran ini adalah sangat kecil iaitu di antara 0.05-5% sahaja. Untuk tujuan rawatan, Ozone dihasilkan dengan mengwujudkan percikan arus elektrik di dalam tangki yang mengandungi gas Oksigen. Medical Ozone mula diperkenalkan semenjak tahun 1932  apabila air yang diozonkan untuk tujuan disinfeksi oleh doctor gigi German yang bernama Dr. E.A Fisch. Pesakit beliau yang juga seorang Pakar Perubatan telah melihat potensi Ozone untuk rawatan perubatan dan mula menggunakannya untuk merawat radang usus besar dan fistula dengan mengepam gas ozone ke dalam usus melalui reKtum. Bermula dari saat itu, Ozone telah dicuba untuk mengubati pelbagai jenis penyakit dan pelbagai bentuk Ozone digunakan untuk tujuan tersebut. Berikut adalah beberapa kaedah pemberian Ozone yang pernah diamalkan:

  1. Pemberian campuran Ozone dan Oksigen melalui suntikan ke dalam salur vena ataupun salur arteri. Digunakan untuk  merawat masalah aliran darah arteri. Disebabkan oleh kesan sampingan yang dikenali sebagai gas embolisma, kaedah ini jarang digunakan.

  2. Mengepam masuk ke dalam usus campuran Ozone dan Oksigen pada nisbah tertentu melalui rectum dengan harapan gas ini akan menyerap masuk ke dalam badan melalui usus. Kaedah ini dianggap antara yang paling selamat. Digunakan untuk merawat radang usus yang dikenali sebagai ulcerative colitis. Kegunaannya ditingkatkan kepada untuk merawat kanser, komplikasi penyakit yang berkaitan dengan HIV dan lain-lain.

  3. Suntikan ke dalam otot. Campuran gas Ozone dan Oksigen yang berkuantiti rendah (sehingga 10 ml) disuntik ke dalam otot bontot. Kaedah ini digunakan untuk merawat alahan dan juga penyakit keradangan. Terdapat juga pengamal rawatan Ozone yang menggunakan kaedah ini untuk merawat sakit belakang dengan menyuntik ozone ke dalam otot  di sebelah kiri dan kanan tulang belakang.

  4. Autohematoterapi major dan minor. Autohematoterapi minor adalah mengeluarkan sedikit darah pesakit (tidak lebih dari 10 mls) dari saluran vena kemudian darah itu dirawat dengan ozone dan oksigen, kemudiannya diberikan semula kepada pesakit melalui suntikan dalam otot. Pengamal kaedah ini mendakwa darah yang dirawat dan diberikan semula kepada pesakit boleh bertindak seperti vaksin. Autohematoterapi major pula adalah pengambilan darah vena pesakit yang lebih banyak di antara 50-100 mls dan kemudian dirawat dengan campuran Ozone dan Oksigen untuk beberapa minit, darah yang dirawat itu (dinamakan “ozonated blood”) dikembalikan kepada pesakit melalui suntikan saluran vena. Apabila Ozone dimasukkan ke dalam darah, ia akan bertindak dengan air di dalam sel darah merah dan menghasilkan  hydrogen peroksida yang mempunyai aktiviti membunuh kuman dan juga menghasilkan radikal bebas yang boleh memusnahkan selaput sel. Mekanisma bagaimana darah yang dirawat dengan gas ozone ini masih menjadi perdebatan kerana proses  melawan jangkitan bakteria adalah kompleks dan kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa pendedahan bahan ini kepada darah yang dicemari bakteria dan organisma lain tidak memberi kesan ke atas bakteria tersebut. Hanya dalam kepekatan tinggi sahaja kesan penghapusan bakteria dan lain-lain organisma ini boleh berlaku tetapi pada waktu yang sama kesan hydrogen peroksida yang tinggi ini juga akan merosakkan tisu lain di dalam badan pesakit tersebut. Kaedah autohematoterapi ini telah cuba digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti herpes, radang sendi, kanser , penyakit jantung dan jangkitan HIV. Kaedah ini mungkin kaedah rawatan ozone yang paling kerap diamalkan hari ini.

  5. Air yang diozonkan (Ozonated water). Air dirawat dengan gas Ozone (melalui pembuihan ataupun “bubbling method”) dan air ini digunakan pada bahagian luar badan untuk tujuan rawatan luka, kebakaran dan jangkitan kulit yang lambat sembuh. “Ozonated water” ini juga digunakan di dalam banyak kes bedah dan ginekologi seperti radang usus besar, ulcer duodenum, gastritis,  cirit dan vulvovaginitis.

  6. Suntikan terus ke dalam sendi (“intraarticular injection”) iaitu air yang dirawat dengan gas ozone disuntik terus ke sendi untuk tujuan merawat radang sendi,  rheumatism dan lain-lain penyakit sendi. Sering diamalkan oleh Pakar Perubatan di negeri German, Rusia dan Cuba.

  7. “Ozone bagging” iaitu kaedah menggunakan beg plastic yang diletakkan pada kawasan yang hendak dirawat. Kemudian gas campuran Ozone dan Oksigen akan dipam ke dalam beg tersebut supaya gas ini dapat masuk ke dalam badan pesakit melalui kulit. Kaedah ini digunakan untuk merawat ulcer, gangrene, jangkitan kulat, terbakar dan jangkitan kulit yang lambat sembuh.

  8. Minyak yang diozonekan (”Ozonated oil”) di mana gas ozone dicampur dengan minyak zaitun dan disapu seperti pada bahagian yang dirawat seperti penggunaan minyak urut.

  9. Campuran gas Oksigen-Gas ozone disedut (inhalational) ke dalam paru-paru. Kaedah ini adalah sangat merbahaya kerana gas ozone yang masuk ke dalam paru-paru boleh merosakkan tisu paru-paru dan mengakibatkan penyakit emphysema.

  10. Memasukkan campuran gas Oksigen dan Ozone kedalam rongga badan seperti ke dalam rongga peritoneum, rongga pleural dan juga faraj.

                                                         Suntikan ke dalam  sendi

 

                                                         "Ozone bagging"

 

                                                            Kaedah Autohematoterapi

 

TERAPI OZONE DARI PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

 

Sehingga ke hari ini perubatan moden konventional masih belum dapat menerima terapi ozone sebagai satu kaedah rawatan yang boleh menggantikannya. Rawatan ozone  masih dianggap salah satu kaedah rawatan komplimentari yang kontroversial dan walaupun ada pengamal-pengamal perubatan moden sendiri yang menggunakannya, ianya dianggap sebagai pendirian individu yang tidak berasaskan kepada bukti kajian saintifik yang kukuh dan ianya tidak termasuk di dalam senarai kaedah rawatan standard untuk merawat penyakit. Pakar perubatan masih tertanya-tanya bagaimana satu jenis gas yang diketahui toksik kepada manusia boleh digunakan untuk mengubati penyakit, konsep yang nampaknya paradoksikal.

 

Walaupun Ozone digunakan untuk tujuan merawat pelbagai jenis penyakit, keberkesanan ozone ini belum cukup meyakinkan pakar-pakar perubatan moden untuk menjadikannya sebagai kaedah rawatan utama. Ozone diketahui sebagai  pengoksidan yang paling poten di dalam alam semulajadi, tetapi mekanisma bagaimana ia bertindak sebagai bahan pengubatan masih belum diketahui dengan muktamat. Pelbagai teori dan pendapat telah diutarakan oleh pengamal dan ahli sains Ozone tetapi pandangan mereka itu tidak dapat disahkan. Di antara teori yang dikemukakan adalah merosakan selaput luar organisma pathogen, meningkatkan glikolisis sel darah merah, mengaktifkan kitaran Kreb, meningkatkan penghasilan ATP, meransang penghasilan enzim-enzim seperti glutathione peroxidase, catalase dan superoxide dismutase, penghasilan prostacyclin, pengaktifan system imun seperti penghasilan interferon, tumor necrosis factor dan interleukin 2. Banyak lagi teori yang dikemukakan oleh ahli sains Ozone dan Pengamal rawatan Ozone tapi penulis tidak berminat untuk membincangkannya dengan panjang lebar kerana apa yang lebih penting adalah samada Ozone ini berkesan merawat penyakit-penyakit yang disenaraikan. Penulis akan menumpukan kepada dua aspek penting rawatan Ozone iaitu dari segi keselamatan dan keberkesanan.

 

KESELAMATAN RAWATAN OZONE

 

Isu keselamatan adalah penting kerana terdapat rawatan ozone yang memerlukan penyediaan dan suntikan ke tubuh badan pesakit. Penggunaan alat tajam dan pengeluaran darah serta pemindahan darah masuk ke dalam badan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi medium untuk jangkitan penyakit seperti jangkitan bacteria, hepatitis, HIV dan lain-lain. Pengendalian yang tidak betul oleh pengamal yang tidak terlatih boleh menjadi punca jangkitan penyakit ini. Terdapat lapuran kematian akibat dari embolisma gas ke atas seorang pesakit yang dirawat untuk penyakit psoriasis (1).Jangkitan Hepatitis C dan HIV juga pernah dilapurkan selepas pesakit menerima rawatan Ozone yang diberikan dengan kaedah Ozone Autohemoterapi (2,3). Jangkitan hepatitis C juga pernah dilapurkan berlaku ke atas pesakit yang menjalani rawatan Ozone autohemoterapi dan Ozone yang disuntik ke dalam otot (4). Lain-lain kesan sampingan yang pernah dilapurkan adalah kebutaan dan stroke (angin ahmar) selepas disuntik ke tulang belakang untuk rawatan prolapse intervertebral disc. Kesan sampingan rawatan Ozone juga bergantung kepada bagaimana ianya diberikan, contohnya jika disedut ke dalam paru-paru ia boleh menyebabkan sesak nafas, kerosakan tisu paru-paru, penyakit emphysema dan kebengkakan paru-paru (pulmonary oedema) (5). Jika dipam ke dalam telinga boleh menyebabkan pecah gegendang telinga dan jika dipam ke dalam usus boleh menyebabkan komplikasi usus (6). Suntikan ozone yang diberikan kadangkala boleh menyebabkan kesakitan sehingga boleh meransang saraf vagus dan pesakit mengalami pergerakan jantung yang perlahan, tekanan darah rendah, berpeluh, tidak sedar diri dan boleh menyebabkan kematian. Ini dinyatakan sendiri oleh World Federation of Ozone Therapy (WFOT) sehingga pertubuhan ini sendiri mengesyorkan supaya Pengamal rawatan Ozone ini membuat persediaan dengan mempunyai peralatan resusitasi dan ubatan khusus sebagai persediaan sampingan semasa merawat pesakit dengan rawatan Ozone. Terdapat kes kematian akibat embolisma pulmonary (“pulmonary embolism”) selepas pesakit diberikan suntikan ozone secara intravena. Kaedah suntikan terus ke dalam salur vena dan arteri telah diarah dihentikan oleh pertubuhan rawatan Ozone antarabangsa disebabkan oleh potensi berlakunya embolisma gas dan kematian(7).Terdapat juga kebimbangan tentang kesan Ozone ke atas sel-sel dan juga DNA yang terdapat di tengah sel kerana Ozone adalah pengoksidan yang kuat dan kita ketahui pengoksidan boleh merosakkan sel dan mempercepatkan proses penuaan. Pengoksidan juga boleh merosakkan DNA dan adakah ini boleh menukarkan sel normal kepada sel kanser. Isu kebimbangan ini sebenarnya telah dinyatakan di dalam kenyataan resmi World Federation of Ozone Therapy sendiri. Di dalam kenyataan tersebut WFOT membuat kesimpulan berikut : ”Though ozone is potentially toxic and mutagenic, so far, our research data and clinical evidence have proven no risk at all” bermaksud dari segi teorinya ozone memang berpotensi sebagai bahan toksik dan boleh menyebabkan kelainan gen (mutagenik). Pada pandangan penulis, adalah sukar untuk mengesan kesan sampingan yang berkaitan dengan mutagenik ini kerana ianya berlaku di dalam dan jikapun berlaku adalah sukar untuk dibuktikan dan tidak pernah ada lapuran tidak bermakna perkara itu tidak pernah berlaku. Ozone juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan moden konvensional jika Pengamalnya tidak berhati-hati, terdapat kejadian tekanan darah rendah dialami oleh pesakit yang mengambil ubat darah tinggi dikenali sebagai ACE inhibitors selepas menerima darah yang telah diozonkan (ozonated blood) (7). Mungkin banyak lagi komplikasi rawatan Ozone yang tidak dilapurkan dan kita juga tidak tahu apakah kesan jangkapanjang rawatan Ozone ini kepada individu dan juga kepada alam sekitar. Kesan Ozone keatas ibu yang hamil juga tidak diketahui terutama kesan ke atas bayi yang dikandung. Pengamal Ozone memberi alasan bahawa kaedah rawatan moden konvensional pun boleh menyebabkan banyak komplikasi, bukan sahaja rawatan Ozone. Alasan tersebut boleh diterima tetapi kaedah rawatan moden konvensional telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah yang berkesan, di samping itu pengamal-pengamalnya dikehendaki melalui proses latihan dan pemantuan yang rapi sebelum dibenarkan untuk beramal sedangkan kita tidak pasti bagaimana latihan dan pemantauan ke atas pengamal rawatan Ozone dilakukan.

 

KONTRAINIDIKASI RAWATAN OZONE

 

World Federation of Ozone Therapy (WFOT) di dalam kenyataan yang mereka keluarkan pada tahun 2015 untuk menyemak keberkesanan dan kesan sampingan rawatan Ozone telah mencadangkan supaya terapi ozone tidak diberikan kepada golongan-golongan berikut:

  1. Pesakit kekurangan enzim G-6PD

  2. Pesakit yang hamil terutama di awal kehamilan kerana dikhuatiri boleh berlaku kesan mutagenic ke atas bayi di dalam kandungan

  3. Penyakit hipertiroidisma (kelebihan hormone tiroksin), trombositopenia (kekurangan sel pembeku darah), masalah pembekuan darah yang tidak terkawal (coagulation disorders) dan jantung yang tidak stabil.

  4. Lain-lain seperti penyakit autoimun, kekurangan darah, Myasthenia, intoksikasi alcohol, penyakit myocardial infaction dan alahan kepada ozone.

 

KEBERKESANAN RAWATAN OZONE

 

Isu keberkesanan rawatan Ozone adalah sangat penting kerana inilah yang menjadi titik tolak samada rawatan ozone ini bermanfaat ataupun tidak kepada manusia. Perlu diterangkan kepada pembaca bahawa rawatan gas ozone ini bukanlah sebenarnya rawatan pemberian gas ozone sahaja tetapi adalah campuran dengan gas oksigen, malah kandungan ozone di dalam campuran ini adalah terlalu rendah iaitu 0.05%-5% sahaja, manakala kandungan oksigen hendaklah melebihi 95%. Jadi persoalannya jika pun ada kesan positif daripada rawatan ozone ini bagaimanakah untuk kita katakan kesan tersebut disebabkan oleh gas Ozone ataupun oleh gas Oksigen. Di samping itu kita juga perlu mengambil pertimbangan tentang kesan placebo dan ini hanya dapat disahkan jika kajian prospektif “control trial” dapat dijalankan. Ini adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Untuk menentukan samada sesuatu kaedah pengubatan itu berkesan ataupun tidak, di dalam disiplin ilmu Perubatan moden, kajian saintifik perlu dilakukan dan kajian ini melalui beberapa fasa daripada fasa pra-klinikal, fasa 1 hinggalah fasa 4. Pembaca boleh membaca tulisan saya mengenai tajuk bagaimana membuktikan keberkesanan produk kesihatan di sini (Bagaimana menilai keberkesanan produk kesihatan ) . Memang terdapat banyak lapuran kesan positif dari pesakit yang menerima rawatan ozone tetapi dakwaan seumpama ini samada secara lisan ataupun disiarkan di dalam jurnal ataupun buku-buku dianggap sebagai testimony ataupun bukti anecdotal yang tidak boleh digunakan sebagai bukti keberkesanan yang mencukupi. Sila baca tulisan saya mengenai testimoni di link ini untuk menambah pemahaman pembaca .

 

Untuk tujuan mencari bukti keberkesanan rawatan Ozone ke atas penyakit-penyakit yang telah disenaraikan, saya ingin memaklumkan pembaca bahawa saya menggunakan beberapa rujukan seperti yang tersenarai di akhir rencana ini termasuk lapuran daripada Health Technology Assessment, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang pernah melakukan semakan dan kajian terperinci tentang rawatan Ozone dan lapuran tersebut boleh diperolehi di laman web ini (8) http://www.moh.gov.my/attachments/1009.pdf  .

 

Berikut adalah hasil semakan yang dilakukan oleh pihak HTA, KKM mengenai keberkesanan terapi ozone dan bolehkah ianya digunakan sebagai ganti rawatan Perubatan moden konvensional:

 

  1. Penyakit berjangkit dan jangkitan HIV. Tidak ada bukti kukuh keberkesanan rawatan ozone untuk pesakit HIV dan lain-lain penyakit berjangkit bawaan darah (”blood borne infectious disease”) kerana bukti-bukti yang ada hanya bukti anekdotal (testimoni) sahaja. Bukti yang ada pada hari ini tidak mencukupi untuk mengesyorkan rawatan ozone sebagai rawatan penyakit jangkitan HIV. Lapuran keberkesanan merawat jangkitan hepatitis A, B dan C sebagai contohnya hanya berdasarkan kepada ”non-randomized controlled study” melibatkan bilangan pesakit yang kecil.Kajian fasa 2 perbandingan kandungan darah pesakit HIV yang dirawat dengan ozone dan tidak dirawat dengan ozone mendapati tidak ada perbezaan dan ini mengesahkan bahawa rawatan ozone tidak mempunyai kesan positif ke atas virus HIV (9,10).

  2. Ischaemia ataupun kekurangan bekalan darah samada pada anggota badan, jantung ataupun otak. Tidak terdapat bukti tentang keberkesanan rawatan Ozone ke atas anggota badan yang kekurangan darah (”limb ischaemia”), stroke (angin ahmar) dan penyakit jantung koronari. Walaupun ada lapuran keberkesanan rawatan ozone ke atas kekurangan darah pada kaki dan tangan (gangren) tetapi kajian-kajian itu kecil dan bukan randomized control trial.

  3. Oftalmologi ataupun mata. Terdapat bukti pengurangan gejala penglihatan untuk sementara ke atas pesakit retinitis pigmentosa yang diberi rawatan Ozone. Rawatan Ozone ini diberikan melalui rektum. Tidak ada rawatan susulan yang panjang untuk melihat kesan jangkapanjang.

  4. Ortholaryngology (hidung, telinga dan tekak). Kajian keberkesanan rawatan Ozone yang disiarkan adalah kecil dan sukar untuk dibuat kesimpulan walaupun rawatan Ozone dikatakan dapat mengurangkan gejala jangkitan kuman di dalam telinga. Pihak HTA berpendapat bahawa tidak ada cukup bukti yang kukuh keberkesanan rawatan Ozone ke atas penyakit hidung, telinga dan tekak.

  5. Obstetrik dan Ginekologi (sakitpuan dan perbidanan). Tidak ada kajian besar dan terdapat beberapa lapuran yang tidak disiarkan (unpublished) di dalam jurnal mengaitkan rawatan Ozone dengan kadar jangkitan yang lebih kurang ke atas pesakit yang menjalani pembedahan caesarean section dan jangkitan di dalam rahim. Kajian ke atas kesuburan dan “endometritis“ adalah kecil dan tidak dapat memberi apa-apa maklumat keberkesanan. HTA berpendapat bahawa tidak ada cukup bukti bahawa rawatan Ozone mengurangkan jangiktan ke atas pesakit Obstetriks dan Ginekologi, begitu juga ke atas pesakit masalah kesuburan.

  6. Masalah Ortopedik (tulang dan sendi). Bilangan kajian klinikal mengenai keberkesanan rawatan Oksigen-Ozone ke atas masalah ortopedik sangat terhad dan pihak HTA berpendapat tidak ada sebarang kesimpulan yang boleh dibuat berkenaan dengan keberkesaan rawatan ozone untuk masalah ini. Kebanyakan kes yang dilapurkan adalah testimoni dan kajian kecil. Beberapa kajian fasa 2 sedang dijalankan bagi melihat keberkesanan rawatan ozone keatas pesakit radang sendi lutut yang diberi suntikan Ozone ke dalam sendi dan rawatan “Lumbar herniated disc” di mana Ozone disuntik ke dalam disk tulang belakang(11,12)). Sehingga ke hari ini keberkesanan rawatan Ozone belum dapat disahkan di dalam merawat masalah sakit belakang disebabkan oleh prolapse disk walaupun ada kajian retrospektif yang menyokong keberkesanan rawatan suntikan ozone kepada pesakit disc herniation, pengkaji masih mencadangkan supaya kajian prospektif yang lebih besar dijalankan (13). Terdapat kajian ke atas 98 orang pesakit sendi lutut yang dipecahkan kepada 2 kumpulan iaitu 63 orang menerima suntikan Ozone dan 35 orang menerima suntikan placebo, kajian ini menunjukkan pesakit yang menerima suntikan Ozone mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kajian ini walaubagaimanapun masih kecil dan bilangan sampel di dalam dua kumpulan tersebut tidak seimbang, American College of Rheumatology beranggapan bahawa kajian yang lebih besar perlu dijalankan untuk mendapat bukti yang lebih kukuh.

  7. Rawatan Kanser. Tidak ada bukti bahawa rawatan ozone dapat mencegah dan merawat kanser. Ini disokong oleh Pertubuhan Kanser Amerika. Ahli sains pengkaji kanser juga menafikan dakwaan pengamal rawatan ozone yang  mendakwa bahawa metabolisma anaerobik adalah penyebab kanser, sebaliknya agen yang boleh membunuh sel kanser bertindak ke atas DNA dan bukan ke atas metabolisma sel kanser.

  8. Masalah kulit. Semua bukti keberkesanan rawatan Ozone ke atas masalah kulit hanya testimoni ataupun bukti anekdotal dan tidak boleh digunakan untuk dijadikan kaedah rawatan utama.

  9. Dentistri ataupun Pergigian. Terdapat beberapa aplikasi rawatan ozone di dalam bidang pergigian kerana ozone diketahui mampu untuk membunuh organisma. Di antara potensi terapi ozone ke atas rawatan gigi adalah seperti pencegahan kerosakan gigi, mencabut gigi, mengurangkan kesakitan gigi, mengurangkan bau mulut, rawatan endodontik dan lain-lain. Ketiga bentuk Ozone digunakan untuk rawatan gigi seperti dalam bentuk gas, air dan minyak. Walau bagaimanapun kita masih lagi kekurangan bukti saintifik yang kukuh, lebih banyak kajian prospektif control trial perlu dilakukan tetapi potensi menggunakan rawatan ozone di dalam bidang pergigian memang nampak besar. Rawatan gigi dengan menggunakan ozone juga berpotensi menyebabkan pesakit tersedut gas ozone ke dalam paru-paru, jadi semasa rawatan diberikan, teknik dan arahan yang betul perlu diberikan kepada pesakit.

 

KESIMPULAN

 

Rawatan ozone telah lama diamalkan oleh ramai pengamal termasuk dalam kalangan pengamal perubatan moden yang konvensional sendiri. Berdasarkan kepada pencarian dan rujukan yang saya lakukan termasuk menggunakan lapuran Health Technology Assessment Kementerian Kesihatan Malaysia, hingga ke hari ini rawatan Ozone masih belum dapat menggantikan kaedah rawatan moden yang konvensional. Hampir semua dakwaan keberkesanan rawatan ozone yang dilapurkan adalah berasaskan kepada testimoni, lapuran anekdotal dan kajian ”non-randomized” dan/atau ”uncontrolled” yang kecil. Walau bagaimanapun potensi rawatan Ozone masih ada terutama jika ianya digunakan untuk rawatan setempat seperti membunuh organisma jangkitan kulit, menghilangkan organisma dari peralatan perubatan dan juga jangkitan mulut di dalam bidang pergigian. Terdapat juga potensi rawatan ozone di dalam mengurangkan kesakitan pada sendi dan sakit prolapse disc tetapi dengan syarat ianya diberikan oleh pengamal yang terlatih. Disebabkan oleh tidak ada kajian prospektif randomized control trial yang besar terhadap penggunaan rawatan Ozone ini, agak sukar untuk disahkan bahawa penyembuhan yang dialami oleh pesakit adalah kesan dari rawatan ozone ataupun gas oksigen yang terkandung di dalam campuran gas yang digunakan, kesan plasebo ataupun berkemungkinan pesakit akan sembuh tanpa menerima sebarang rawatan. Walaupun kehanyakan kaedah rawatan Ozone ini selamat diamalkan tetapi ianya sangat bergantung kepada kemahiran Pengamal dan juga bagaimana rawatan ozone itu diberikan. Rawatan di dalam bentuk suntikan terus ke dalam vena dan arteri boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk embolisma gas dan kematian. Begitu juga kaedah menghisap (inhalasi) yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru. Pemberian campuran gas ozone-oksigen melalui suntikan ataupun permindahan darah jika tidak dilakukan secara bersih boleh menjadi punca jangkitan penyakit bawaan darah seperti hepatitis A, B , C dan juga HIV. Kesan jangka panjang rawatan Ozone ke atas individu dan alam sekitar belum dapat disahkan kerana kajian dari aspek ini sukar dijalankan. Begitu juga kesan mutagenik dan kerosakan sel termasuk mempercepatkan proses penuaan juga perlu dipertimbangkan kerana sifat gas Ozone yang merupakan bahan pengoksidan yang kuat. Semua isu-isu ini belum ada jawapannya dan masa yang akan menentukan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan dan kita menunggu keputusan kajian-kajian fasa 2 yang sedang dijalankan. Pada pandangan peribadi penulis, jika rawatan Ozone hendak dicuba, di samping mendapat nasihat dari pakar perubatan moden dahulu, untuk mengurangkan risiko kesan sampingan yang serius, penulis mencadangkan pesakit hanya memilih kaedah sapuan topikal ataupun jenis suntikan ke bahagian yang sakit. Itupun jika kaedah moden sudah dicuba tetapi gagal dan rawatan ozone ini hendaklah diberikan oleh individu yang terlatih dan mahir, terbaik kalau doktor sendiri yang memberikannya. Rawatan ozone yang terpilih juga mungkin boleh dipertimbangkan untuk dijadikan rawatan sampingan bersama rawatan moden. Rawatan ozone yang melibatkan suntikan ke dalam salur vena, salur arteri, menghisap masuk ke dalam paru-paru dan pemindahan darah hendaklah dielakkan. Penulis berharap semoga rencana ini dapat memberi sedikit maklumat berkenaan dengan rawatan ozone dan keberkesanannya, jika ada yang masih berhajat untuk mencuba, dapatkan nasihat pakar penyakit yang dihidapi dan dapatkan rawatan ozone ini daripada pengamal yang benar-benar bertauliah dan mahir.

 

RUJUKAN

 

  1. Marchetti & Monaca, An unexpected death during oxygen-ozone therapy. Am J Forensic Med Pathol. 2000, 21(2):144-7

  2. Daschner FD. Hepatitis C and human immunodeficiency virus infection following ozone autohaemotherapy. Eur J Clin Microbiol Infect Dis, 1997; 16(8):620

  3. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe

  4. Faustini A, Capobianchi MR, Martinelli M, Abbate I, Cappiello G, Peruci CA (2005). A cluster of Heaptitis C virus infections associated with ozone- enriched transfusion of autologous blood in Rome,Italy. Infection Control and Hospital Epidemiology (Infect Control Epidemiol), Sep; 26(9):762-7

  5. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe

  6. Natural Standard/Harvard Medical School (2008). Ozone therapy. Available at: http://www.intelihealth.com/IH/ihtIH/WSIHW000/8513/34968/358849.html?d=dmt ContentAccessed: 20th August 2012

  7. World Federation of Ozone Therapy Review of Evidence Based Ozone Therapy, WFOT Scientific Advisory Committee, 2015, http://www.wfoot.org/wp-content/uploads/2016/01/WFOT-OZONE-2015-ENG.pdf

  8. http://www.moh.gov.my/attachments/1009.pdf  

  9. Garber G.E. Cameron DW, Hawley N. The use of ozone treated blood in the therapy of HIV infection and immune disease; a pilot study of safety and efficacy. AIDS, 1991;5:981-984

  10. http://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/Cancer/oxygen.html

  11. Intraarticular ozone therapy for pain control in osteoarthritis of the knee. [cited in 2010]. Available from: http://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT00832312?term=ozone+therapyandrank=2

  12. The Effect of Ozone Therapy for Lumbar Herniated Disc. [cited in 2010]. Available from: http://clinicaltrials.gov/ct2/show/NCT00566007?term=ozone+therapyandrank=1

  13. Buric J, Rigobello L, Hooper D. Five and Ten Year Follow up on Intradical Ozone Injection for disc herniation. Int J Spine Surg, 2014;8:17

  14. http://www.cam-cancer.org/The-Summaries/Other-CAM/Ozone-therapy/Is-it-safe

  15. https://en.wikipedia.org/wiki/Ozone_therapy

  16. Velio Alvaro Bocci. Review article. Scientific and Medical Aspects of Ozone Therapy. State of Art. Archieves of Medical Research, 2006;37:425-435

  17. Elvis AM, Ekta JS. Ozone therapy: A clinical review. J Nat Sci Biol Med, 2011; 2(1):66-70

  18. Saini R. Ozone therapy in dentistry: A Strategic review. J Nat Sci bio Med, 2011, 2(2): 151-153

  19. Pattanaik B, Jetwa D, Pattanaik S, et al. Ozone therapy in dentistry: A literature review. Journal of Interdisciplinary Dentistry, 2011;1(2):87-92

  20. Report Health Technology Assessment. Ozone Therapy. Health Technology Assessment Unit, Medical Development Division, Ministry of Health, MOH/P/PAK/110.06 (TR), 2005

  21. http://www.rheumatology.org/About-Us/Newsroom/Press-Releases/ID/711/Ozone-Gas-Injections-may-do-the-Trick-for-Knee-Osteoarthritis

 

 

 

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN. ISI KANDUNGAN RENCANA INI TIDAK BOLEH DIAMBIL, DISIARKAN DI MANA-MANA ATAUPUN DITUKARKAN KE DALAM APA-APA BENTUK TANPA KEBENARAN PENULIS.

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now