• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

Produk Pencerah Kulit: Mitos dan Realiti

 

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

 

PENDAHULUAN

 

Kulit terbahagi kepada lapisan epidermis di bahagian atas dan dermis di bahagian bawah. Epidermis diperbuat dari lapisan sel-sel yang mempunyai peringkat kematangan yang berbeza dan sel-sel ini dikenali sebagai keratosit (keratocyte). Lapisan paling bawah mengandungi sel kurang matang dikenali sebagai sel basal. Sel-sel di bahagian epidermis sentiasa aktif menjalani proses kematangan dari bawah (sel basal) naik ke atas sehingga kepada lapisan paling atas yang terdiri dari sel-sel mati dikenali sebagai lapisan stratum korneum. Lapisan ini akan bertukar setiap  28-50 hari. Di samping sel keratosit, terdapat juga beberapa jenis sel-sel khusus di dalam epidermis. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kulit sila pergi ke rencana ini 

 

Epidermis terdiri dari 5 lapisan sel-sel iaitu stratum basale (paling bawah), stratum spinosum, stratum granulosum, stratum lucidum dan stratum korneum (paling atas). (Rajah 1) Sel-sel di epidermis ini juga dikenali sebagai keratinocytes. Epidermis tidak mengandungi saluran darah dan bergantung sepenuhnya daripada lapisan dermis untuk bekalan nutrin dan pembuangan bahan kumuh. Lapisan stratum korneum adalah lapisan sel-sel mati yang anda dapat lihat pada permukaan kulit anda. Ia berfungsi memberi perlindungan kepada lapisan bawah kulit. Di samping keratocytes, epidermis juga mengandungi beberapa jenis sel-sel khusus seperti Melanocyte (menghasilkan melanin), sel Langerhan (sel yang berinteraksi dengan antigen) dan Sel Merkel (sel saraf yang dapat mengesan sentuhan lembut ataupun “soft touch”).

 

Rajah 1: Lapisan epidermis kulit

 

Dermis adalah lapisan yang lebih kompleks, mengandungi tisu penghubung (“connective tissue”), sel2 (fibroblast, mast cells), hujung saraf, saluran limfatik, folikel rambut, kelenjar minyak, kolagen (70% dari dermis) dan elastin (1% dari berat dermis). Sel fibroblast bertanggungjawab menghasilkan kolagen dan elastin. Kolagen penting untuk memberi ketegangan dan keremajaan kulit, manakala elastin pula memberi sifat keanjalan kepada kulit.

 

 

Manusia mempunyai warna kulit yang berbeza dan warna kulit ini sebenarnya ditentukan oleh kandungan sejenis pigmen yang dikenali sebagai melanin. Melanin juga menentukan warna rambut anda. Melanin dihasilkan oleh sejenis sel yang dikenali sebagai melanosit (melanocyte). Melanosit adalah sejenis sel khusus yang terletak di lapisan epidermis iaitu di bahagian bawah bersama dengan sel-sel basal (Rajah 2 dan 3). Terdapat tiga jenis melanin iaitu eumelanin, pheomelanin dan neuromelanin. Eumelanin adalah jenis yang paling utama terdiri dari eumelanin perang (brown eumelanin) dan eumelanin hitam (black eumelanin). Pheomelanin pula bertanggungjawab menjadikan kulit kemerahan atau merahjambu (pink) serta mewarnakan rambut menjadi kemerahan dan tompok kemerahan pada kulit yang dikenali sebagai “speckle”. Manakala neuromelanin pula terdapat di dalam otak. Pheomelanin banyak berkumpul di bahagian bibir, puting payudara,hujung penis dan faraj. Kepada individu yang berkulit cerah (bilangan melanin mereka lebih rendah), warna kulit mereka juga ditentukan oleh warna tisu penghubung di bawah lapisan dermis yang bewarna putih kebiruan dan juga aliran darah (kandungan haemoglobin) di lapisan dermis kulit.

 

Melanin dihasilkan dari asid amino yang dikenali sebagai tyrosine dan memerlukan tindakan enzim tyrosinase. Proses penghasilan melanin ini dikenali sebagai melanogenesis. Tyrosine terdapat di dalam sel melanosit. Di dalam melanosit ini terdapat melanosome dan di dalam melanosome inilah melanin dihasilkan dan disimpan (Rajah 2).Sel melanosit mengangungi banyak reseptor yang sentitif pada cahaya terutamanya kepada sinaran UV (ultraviolet/ultraunggu) dari matahari. Pendedahan kulit kepada cahaya sinaran UV akan meransang sel melanosit untuk menghasilkan melanin dalam masa beberapa jam sahaja. Jadi kulit akan kelihatan lebih gelap apabila terdedah kepada sinaran UV hasil dari ransangan sel melanosit untuk meningkatkan penghasilan melanin. UV juga penting di dalam penghasilan vitamin D oleh kulit.

 

Penghasilan melanin bergantung kepada faktor genetik dan juga kedudukan seseorang di benua-benua tertentu di dunia yang menerima sinaran UV yang berbeza. Sinaran UV adalah paling tinggi di kawasan khatulistiwa (Afrika, India, beberapa negara asia dan lain-lain), manakala kurang di bahagian benua Amerika, Eropah, kutub utara dan kutub selatan. Malahan ada yang berpendapat bahawa kulit manusia menjalani proses evolusi dari asalnya berwarna gelap samasa menghuni di benua Africa tetapi apabila mereka bermigrasi ke kawasan yang kurang pendedahan kepada sinaran UV di luar garis khatulistiwa, kulit mereka mengandungi kurang kandungan melanin dan kelihatan cerah. Begitu juga apabila migrasi berlaku dari kawasan kurang sinaran UV ke kawasan berdekatan dengan khatulistiwa, warna kulit mereka berubah menjadi lebih gelap dan proses ini dikatakan berlaku dalam masa yang panjang iaitu sekurang-kurangnya 100 generasi (2,500 tahun). Mempunyai kandungan melanin yang tinggi adalah salah satu proses pertahanan semulajadi badan dari kesan negatif akibat dari sinaran UV kerana melanin boleh menyerap sinaran UV.

 

 

Rajah 2: Sel melanosit

 

Rajah 3 : Sel Melanosit dan epidermis

 

Di samping itu daripada pemerhatian juga kita dapati wanita mempunyai kulit yang lebih cerah dari kaum lelaki secara amnya. Ini mungkin dikaitkan dengan keperluan vitamin D yang lebih oleh kaum wanita berbanding dengan kaum lelaki. Wanita kehilangan kalsium lebih dari kaum lelaki terutamanya wanita-wanita yang telah menopaus. Salah satu fungsi vitamin D adalah membantu proses penyerapan kalsium. Jadi warna kulit mempunyai kaitan dengan adaptasi tubuh badan bukan sahaja sebagai pelindung tetapi juga sebagai kaedah menangani masalah kekurangan vitamin D dan penyerapan kalsium.

 

BIOSINTESIS (PROSES PENGHASILAN) MELANIN

 

Penghasilan melanin (sintesis) berlaku di dalam sel melanosit dan ianya melibatkan beberapa peringkat. Asid amino tyrosin adalah bahan asas penghasilan melanin.

 

Peringkat pertama: Tirosin ditukarkan kepada DOPA dan kemudian DOPA ditukarkan kepada Dopaquinone. Enzim yang bertanggungjawab di dalam peringkat pertama ini adalah tirosinase (tyrosinase).

 

Peringkat kedua: Dopaquinone bergabung dengan cysteine dan melalui beberapa peringkat lagi sehingga membentuk pheomelanin. Untuk membentuk eumelanin, dopaquinone bertukar kepada leucodopachrome dan melalui dua lagi langkah sehingga membentuk quinone dan akhirnya eumelanin. Pembentukan eumelanin tidak memerlukan cysteine.

Jadi bahan kimia yang dapat merencat mana-mana peringkat dan enzim yang terlibat di dalam penghasilan melanin di atas akan dapat mengurangkan penghasilan melanin oleh kulit.

 

KEPENTINGAN MELANOSIT DAN MELANIN

 

Daripada penerangan di atas jelas menunjukkan bahawa melanin adalah penting kepada manusia sebagai pigmen semulajadi yang wujud di dalam sel-sel kulit untuk tujuan melindungi kulit dari kesan sinaran UV. Pendedahan sinaran UV yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan DNA sel-sel kulit dan menyebabkan kerosakan, mengganggu sistem pertahanan, mempercepatkan proses penuaan kulit dan juga untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan berlakunya kanser kulit. Setiap individu mempunyai bilangan sel melanosit yang hampir sama, apa yang membezakan mereka adalah berapa banyak melanin dihasilkan.Terdapat 4 faktor yang menentukan penghasilan melanin oleh melanosit iaitu:

  1. Pendedahan kepada sinaran UV. Semakin lama pendedahan semakin tinggi kandungan melanin.

  2. Faktor genetik. Kumpulan etnik tertentu mempunyai genetic yang berbeza dari segi kemampuan menghasilkan melanin dan jenis melanin yang dihasilkan.

  3. Saiz sel melanosit. Kajian menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai saiz melanosit yang berbeza. Melanosit yang lebih besar dapat menghasilkan melanin yang lebih banyak.

  4. Penyakit. Beberapa jenis penyakit boleh mempengaruhi penghasilan melanin contohnya Albinism (masalah genetic di mana sel melanosit tidak dapat menghasilkan melanin dan individu ini berkulit dan berambut putih), melasma (tompokan kehitaman pada kulit akibat penghasilan melanin yang tinggi pada kawasan tertentu selalunya di muka, sering berlaku ke atas wanita hamil dan yang mengambil pil perancang), acanthosis nigricans (tompok kehitaman di bahagian ketiak, leher dan celah peha, berlaku samada disebabkan oleh obesity, masalah hormon, diabetes dan ada juga dikaitkan dengan kanser perut).

Kesimpulannya, setiap individu telah ditentukan berapa banyak bilangan sel menanosit dan berapa banyak melanin yang dihasilkan berdasarkan kepada faktor-faktor yang disebutkan di atas. Jika anda tidak mengalami penyakit tertentu yang berkaitan dengan melanin, maka boleh dikatakan melanosit dan penghasilan melanin adalah kaedah semulajadi kulit melindungi anda dari kesan negatif alam sekitar kepada kulit dan tubuh badan.

 

BAGAIMANA KULIT MENJADI PUTIH

 

 

 

Setelah anda memahami mengenai peranan melanosit dan melanin di dalam menentukan warna kulit anda maka jelaslah sekarang bahawa untuk memutihkan kulit dengan ertikata yang sebenarnya anda perlu melakukan sesuatu yang dapat mengurangkan penghasilan melanin oleh kulit anda. Kaedah kedua adalah dengan cara mengeluarkan lapisan kulit teratas dan membiarkan ianya diganti oleh lapisan sel-sel baru, kaedah ini dinamakan pengelupasan (peeling). Walau bagaimanapun kulit yang agak gelap mungkin juga disebabkan oleh kekotoran yang melekat pada permukaan kulit anda dan jika anda menggunakan sebarang krim yang boleh membuang kekotoran tersebut, tentu kulit anda nampak lebih cerah pada ketika selepas dibuang kekotoran tersebut. Walau bagaimanapun kaedah ini bukanlah dianggap kaedah mencerahkan ataupun memutihkan kulit dalam erti kata yang sebenarnya sebaliknya ia hanya menyerlahkan warna kulit asal anda. Selalunya penjual-penjual produk pemutihan kulit ini menggunakan kaedah membersihkan kekotoran untuk menunjukkan bukti keberkesanan produk memutihkan kulit, sebenarnya ini hanyalah gimik semata-mata. Kaedah memutihkan kulit dalam erti kata yang sebenar memerlukan masa dan tidak berlaku sekelip mata.

 

Bagi mendapatkan kulit yang lebih putih, seragam dan cerah dalam erti kata yang sebenarnya, produk tersebut hendaklah terbukti dapat mengurangkan penghasilan melanin oleh melanosit. Terdapat 3 kaedah di mana ini dapat dicapai iaitu dengan menggunakan bahan kimia dan jenis-jenis bahan kimia ini dapat melakukan 3 perkara di bawah iaitu:

  1. Mencerahkan kulit (Skin lightening)

  2. Memutihkan kulit (Skin whitening)

  3. Pelunturan kulit (Skin bleaching)

Ketiga-tiga kesan di atas bergantung kepada sejauhmana agresifnya rawatan yang dilakukan dan ada yang hingga perlu menggunakan lebih dari satu kaedah. Terdapat satu lagi istilah yang dinamakan mencahayakan kulit (skin brightening), pada pandangan saya mencahayakan kulit tidak menggunakan bahan-bahan kimia untuk menurunkan penghasilan melanin tetapi menggunakan kaedah yang disebuktkan di atas iaitu mengeluarkan lapisan-lapisan sel mati di permukaan kulit dan kadangkala digunakan istilah exfoliative (pengelupasan). Apabila lapisan sel-sel mati ini dinipiskan, sel-sel baru akan menggantikannya. Kesan pencahayaan kulit mungkin hampir sama dengan kesan mencerahkan kulit tetapi kaedah pengelupasn tidak mengganggu proses penghasilan  melanin, jadi ianya mungkin lebih selamat, walaupun kesan pemutihannya kurang.

 

 

Ramai yang menjalani rawatan kulit ini untuk tujuan kosmetik, tetapi ada keadaan tertentu di mana bahan-bahan kimia ini perlu digunakan untuk tujuan yang munasabah contohnya meratakan warna kulit disebabkan oleh adanya tanda lahir (tanda lahir) atau tahi lalat yang menghitamkan kawasan kulit tertentu. Tanda lahir yang kehitaman ini boleh dilunturkan warnanya supaya ianya seragam dengan warna kulit yang lain. Bahan-bahan kimia pencerah ataupun peluntur kulit ini juga kadangkalanya digunakan ke atas individu yang mengalami vitiligo iaitu kehilangan pigmen melanin samada semenjak dilahirkan ataupun mengalaminya kemudian sehingga kulit yang terlibat menjadi sangat putih. Bagi penghidap vitiligo, bahan kimia peluntur warna kulit ini digunakan pada bahagian kulit yang normal supaya lebih putih dan seragam dengan bahagian kulit yang telah kehilangan melanin. Penggunaan bahan kimia pemutih tanpa alasan yang munasabah untuk jangkamasa panjang sebenarnya boleh membawa banyak kemudaratan dan saya akan membincangkannya nanti. Amalan ini sepatutnya dikendalikan oleh Pakar Kulit. Malangnya industri produk pemutihan dan pencerahan kulit ini telah berkembang dengan pesat dan digunakan oleh ramai orang di seluruh dunia sehingga dikatakan projeksi pasaran global produk-produk ini sehingga tahun 2018 mencecah 19.8 juta dollar Amerika.

 

PRODUK UNTUK MENGURANGKAN PENGHASILAN MELANIN DAN PENGELUPASAN KULIT (SKIN PEELING)

 

 

Seperti yang telah dinyatakan tadi, terdapat dua kaedah utama di mana kulit seseorang dapat dirawat sehingga kelihatan rata dan lebih cerah iaitu (1) Kaedah Pemutihan kulit dengan menggunakan bahan kimia yang merencat penghasilan melanin dan (2) Kaedah Pengelupasan (Peeling/Exfoliating). Kadangkala kedua-dua kaedah ini digunakan bersama untuk merawat kulit pesakit. Tujuan kaedah-kaedah ini digunakan adalah samada untuk tujuan rawatan (terapeutik), kosmetik(kecantikan) ataupun kedua-duanya sekali.

 

Pada asasnya kaedah rawatan kulit yang menggunakan bahan kimia hanya semata-mata untuk tujuan kosmetik tidak digalakkan oleh Pakar Dermatologi kerana melanin mempunyai peranan yang penting kepada kulit dan kesihatan tubuh badan manusia.

 

Kumpulan kedua bahan kimia untuk tujuan mencerahkan kulit dikenali sebagai bahan pengelupas (peeling agent), digunakan untuk mengeluarkan lapisan atas kulit bagi digantikan dengan lapisan kulit baru yang mengandungi melanin yang lebih serata.

 

Apabila proses penghasilan melanin direncat, sel-sel keratosit di lapisan epidermis kulit mempunyai kurang kandungan melanin dan apabila menggantikan sel-sel di lapisan teratas kulit, kulit akan kelihatan lebih cerah dan putih. Terdapat juga bahan-bahan kimia yang digunakan mempunyai kedua-dua  tindakan mengurangkan penghasilan melanin dan juga agen pengelupas. Berikut adalah senarai sebahagian dari bahan-bahan kimia yang digunakan untuk tujuan memutihkan kulit.

 

Hidroquinon (Hydroquinone)  

 

Hidroquinon juga dikenali sebagai quinol merupakan kompoun aromatic organic yang dihasilkan dari benzene. Serbuknya berwarna putih. Sebenarnya hidroquinon mempunyai banyak kegunaan lain tetapi untuk tujuan memutihkan kulit ianya digunakan dalam bentuk topikal ataupun krim dalam kepekatan 2-4%. Pada tahun 2006 FDA telah menarik balik kelulusan penggunaan hidroquinon untuk tujuan ini dan mengeluarkan kenyataan bahawa hidroquinon mungkin mempunyai potensi menjadi bahan penyebab kanser (karsinogenik). Kajian keatas haiwan menunjukkan kaitannya dengan penyakit leukaemia.  Hidroquinon telah dilarang penggunaannya oleh semua negara Eropah. Kebanyakan hidroquinon yang digunakan adalah dihasilkan secara sintetik, tetapi terdapat juga dakwaan yang ianya juga adalah komponen toksin dari kulat yang dinamakan Agaricus hondensis. Hidroquinon juga dikatakan boleh diekstrak dari propolis yang diperolehi dari sarang lebah. Di samping kesan samping yang berkaitan dengan karsinogenik, penggunaan hidroquinon juga akan menyebabkan pengamalnya mengalami masalah yang berkaitan dengan pengurangan melanin di dalam kulit. Reaksi kegatalan kulit (kesan jangka pendek) dan kesan kehitaman pada kulit muka (“ochronosis”, kesan penggunaan jangka panjang) boleh berlaku akibat penggunaan hidroquinon.  Hidroquinon sering digabungkan dengan bahan kimia yang lain seperti  tretinoin.

 

Arbutin

 

Arbutin dikatakan sumber semulajadi hydroquinone yang diperolehi dari ekstrak daun pokokk bearberry, mulberry, cranberry, blueberry dan buah pear. Kajian makmal menunjukkan yang ianya mempunyai ciri-ciri anti-melanin.

 

Alpha-Mangostin (Ekstraks kulit manggis)

 

Ekstrak kulit buah manggis mengandungi Alpha-Mangostin, melalui kajian in-vitro (luar badan manusia) menunjukkan kesan pemutihan kulit 2 kali lebih berkesan dari Arbutin. Kajian ini dilakukan di makmal Korea dengan kerjasama Universiti Teknology Malaysia.Alpha-mangostin dikatakan dapat merencat penghasilan melanin (merencat enzim tyrosinase). Bahan ini tidak boleh diperolehi dengan cara mudah memproses kulit manggis sebaliknya memerlukan teknologi makmal untuk mengekstrak alpha-mangostin (kerana di dalam kulit manggis terdapat bahan-bahan kimia lain yang tidak sesuai untuk tujuan memutihkan kulit) serta kaedah yang berkesan untuk meningkatkan penyerapannya ke dalam kulit, .

 

Asid Kojic (Kojic acid)

 

Asid Kojic adalah hasil fermentasi beras yang digunakan untuk  menghasilkan arak Jepun. Setengah kajian makmal menunjukkan bahawa ia boleh merencat penghasilan melanin dan mempunyai ciri-ciri antioksidan. Walau bagaimanapun ianya tidak stabil jika digunakan di dalam produk kosmetik, jikapun ada bentuk yang lebih stabil, keberkesanannya tidak disahkan, sebaliknya ia boleh menyebabkan alahan dan ada kajian ke atas haiwan yang menunjukkan ia boleh menjadi bahan karsinogenik di dalam dos yang tinggi.

 

Asid Azelaik (Azelaic Acid)

 

Asid Azelaik adalah salah satu komponen di dalam bijirin seperti gandum, barli dan rye. Digunakan dalam konsentrasi 10% dalam merawat jerawat dan melasma. Ada digunakan di dalam bentuk gel dan krim. Ia mempunyai ciri-ciri antibakteria, melunturkan lapisan keratin (pengelupasan) dan juga anti-keradangan.

 

Vitamin C (Asid Askorbik, Ascorbic acid)

 

Vitamin C adalah vitamin yang dapat merencat enzim tyrosinase yang diperlukan di dalam proses penghasilan melanin. Vitamin C adalah juga antioksidan dan penting untuk penghasilan kolagen dan elastin. Ada juga kajian yang menunjukkan vitamin C meningkatkan kandungan Glutathione di dalam sel darah merah. Untuk mendapat manfaat pada kulit, kuantiti vitamin C yang perlu diambil adalah tinggi. Di samping itu vitamin C juga tidak stabil apabila terdedah kepada udara, ia mudah dioksidakan dan hilang keberkesanannya. Ianya dihasilkan di dalam bentuk makan, krim dan suntikan. Walau bagaimanapun vitamin C di dalam bentuk suntikan tidak boleh diambil oleh orang awam melainkan dengan nasihat dan diberikan oleh ahli professional. Vitamin C di dalam bentuk suntikan adalah di dalam dos yang tinggi dan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Setakat ini tidak ada produk suntikan vitamin C yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Menurut pakar dermatologi, pengambilan vitamin C melalui pil ataupun sirap tidak berkesan memberi sebarang kesan ke atas kulit kerana cahaya matahari dan pencemaran dengan mudah mengurangkan kandungan vitamin C. Syarikat-syarikat pengeluar produk kosmetik mendakwa dapat menghasilkan vitamin C yang lebih stabil. Seperti yang dinyatakan tadi Vitamin C adalah juga antioksidan dan di dalam dos yang mencukupi ianya boleh mengurangkan kesan negatif cahaya matahari ke atas kulit dan dari radikal bebas. Walau bagaimanapun kebanyakan antioksidan cream yang terdapat di dalam pasaran tidak diserap dengan secukupnya untuk memberi kesan positif kepada kulit. Di samping isu penyerapan, satu lagi isu adalah kesan manfaat vitamin C ke atas kulit akan dikurangkan oleh kesan mudarat vitamin C yang mengurangkan penghasilan melanin.

 

Glutathione

 

Glutathione adalah molekul yang terbina dari 3 rantaian protin (peptide) ditemui secara semulajadi di dalam tubuh badan mamalia termasuk manusia. Glutathhione terdapat di dalam sel. Ia adalah antioksidan dan kajian double blind placebo control mendapati glutathione yang diberi sebanyak 500mg sehari melalui oral (di dalam 2 dos) selama 4 minggu dapat memutihkan kulit dengan mengurangkan penghasilan melanin. (rujukan : Arjinpathana N, Asawanonda P. Glutathione as an oral whitening agent: a randomized double-blind, placebo controlled study, Journal of Dermatological treatment, 2012;23(2):DOI 10.3109/09546631003801619). Walau bagaimanapun bilangan subjek yang terlibat adalah kecil dan kesan jangkapanjang belum dapat disahkan. Di dalam pasaran, glutathione dihasilkan di dalam pelbagai bentuk seperti krim, sabun, losen, semburan hidung, tempelan kulit (skin patches) dan suntikan. Glutathione yang disapu pada kulit tidak akan diserap dengan sempurna kerana ianya tidak stabil, manakala jika diambil melalui makan, ia akan akan menjalani hidrolisis oleh enzim yang terdapat di dalam usus dan mengurangkan keberkesanannya. Suntikan glutathione adalah tidak digalakkan disebabkan oleh potensi kesan sampingan. Disebabkan Glutathione dihasilkan oleh badan kita dan faktor penyerapan jika diambil melalui makanan ataupun krim, ramai pakar-pakar berpendapat bahawa pengambilan suplemen Glutathione tidak akan memberi manfaat kepada manusia termasuk untuk kesihatan dan pemutihan kulit. Satu kajian double blind placebo controlled trial ke atas 40 orang sukarelawan yang diberi oral Glutathione (GSH) sebanyak 500mg dua kali sehari selama 4 minggu telah menunjukkan bahawa pengambilan GSH tidak memberi apa-apa kesan perubahan ke atas kandungan biomarker untuk oxidative stress dan juga status glutathione di dalam badan subjek yang normal. Ini menguatkan lagi dakwaan yang pengambilan suplemen Glutathione adalah meragukan. (Allen J, Bradley RD. Effects of Oral Glutathione Supplementation on Systemic Oxidative Stress Biomarkers in Human Volunteers. Journal of Alternative and Complementary Medicine, 2011;17(9):827-833). Walaupun terdapat beberapa bentuk baru oral Glutathione seperti Lipososomal glutathione dan S-acetyl glutathione, belum ada cukup bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong keberkesanannya kepada kesihatan tubuh badan manusia termasuklah kesihatan kulit. (Rujukan). Satu semakan terhadap bukti keberkesanan Glutathione sebagai bahan pemutih kulit telah disiarkan di dalam Indian J Dermatol Venereol Leprol mendapati terdapat 3 kajian “randomized controlled trial” yang menyokong kesan pencerahan kulit dengan penggunaan topikal dan oral Glutathione tetapi masih ada banya soalan yang belum terjawab iaitu (1) Jangka masa rawatan, (2) Berapa lama kesan pencerahan yang diberikan dan (3)Apakah regim ataupun dos yang perlu diambil untuk mengekalkan kesan pencerahan ini (Sonthalia S, Daulatabad D, Sarkar R. Glutathione as a skin whitening agent: Facts, myths, evidence and controversies. Indian J Dermatol Venereol Leprol, 2016,doi:10.4103/0378-6323). Di samping itu, pengambilan antioksidan secara berlebihan juga tidak akan memanfaatkan badan manusia, antioksidan diperlukan oleh badan tetapi pada waktu yang sama antioksidan juga boleh memudaratkan badan, apa yang perlu disedari adalah badan manusia dijadikan di dalam keadaan keseimbangan kandungan antioksidan sesuai dengan fungsi dan keperluannya mengikut keadaan.

 

Alpha dan Beta hydroxyl acids (AHAs dan BHAs)

 

Hydroxyl acids (AHAs) adalah satu kumpulan asid (asid lemah) semulajadi yang boleh ditemui dari makanan, kadangkala ianya juga dikenali sebagai asid buah (fruit acids). Terdapat dua jneis Hydroxil acids iaitu Alpha Hydroxyl dan Beta Hydroxil Acid. Alpha Hydroxyl Acid lebih sering digunakan untuk tujuan pengelupasan kulit. Ianya boleh wujud secara semulajadi ataupun dihasilkan secara sintetik. Sering digunakan di dalam produk kosmetik untuk mengurangkan kedutan, mengeluarkan lapisan kulit mati, melembapkan dan meratakan kulit. Juga digunakan sebagai bahan kimia pelunturan atau pengelupasan yang digunakan oleh pakar dermatologi, selalunya di dalam konsentrasi 4% (tidak lebih dari 10%). Beberapa AHAs yang terdapat dari makanan adalah asid glikolik (glycolic acid) daripada gula tebu, asid laktik dari susu masam, asid malik dari  apel, asid sitrik dari buah limau dan asid tartaric dari arak anggur. Asid glikolik adalah yang paling kecil dan dikatakan boleh menembusi kulit sebab itulah ianya paling popular. Ia dikatakan bertindak dengan mengeluarkan lapisan kulit mati yang tidak sihat dipermukaan atas epidermis jadi ia mempunyai ciri-ciri pengelupasan (exfoliant). Asid glikolik juga digunakan untuk merawat jerawat dan hiperpigmentasi (disebabkan oleh postinflamatori dan melasma). Di samping bertindak sebagai exfoliant, ada yang mendakwa AHAs juga boleh dapat merencatkan penghasilan melanin tetapi dakwaan ini tidak dapat disahkan. Tindakannya ke atas dermis pula adalah meningkatkan penghasilan kolagen. Kesan AHAs ini bergantung kepada kuantiti dan kepekatan yang digunakan. AHAs bertindak lebih kepada agen pengelupasan ataupun skin peeler. Asid salicylic adalah beta hydroxyl acid dan digunakan untuk tujuan yang sama.

 

Niacinamide

 

Niacinamide adalah vitamin B3 yang digunakan di dalam krim rawatan kulit. Kajian kecil yang melibatkan 50 orang pengguna dan krim Niacinamide 5% ini disapukan di sebelah kulit muka telah menunjukkan bahawa ianya berkesan mengurangkan kedutan, garis kulit (skin lines), tompok kehitaman dan kekuningan kulit (skin sallowness). (Bissett DL, Oblong JeE, Berge CA. Niacinamide: A B vitamin that improves aging facial appearance. Dermatol Surg,2005;31(7 Pt 2):860-5.). Selalunya Niacinamide dicampurkan dengan bahan-bahan kimia lain di dalam produk kosmetik. Salah satu contoh campuran antipenuaan yang menggunakan Niacinamide adalah mencampurkannya dengan sunscreen,peptide, retinyl propionate 0.3%, vitamin C dan Vitamin E (antioksidan). Kajian randomized controlled menggunakan regim yang sama telah menunjukkan yang ianya lebih berkesan jika dibandingkan dengan hanya tretinoin 0.02% dan sunscreen sahaja.(Hillebrand GG, Raleigh , Marmor MJ, et al. A randomized controlled comparative study of the wrinkle reduction benefits of a cosmetic niacinamide/peptide/retinyl tretinoin product regimen. British Journal of Dermatology, 2010;162:647-654).

 

Mercury (raksa)

 

Mercury adalah sejenis elemen yang termasuk di dalam kategori logam tetapi di dalam bentuk cecair apabila wujud pada suhu bilik. Ianya berwarna putih keperakkan. Mercury boleh ditemui secara semulajadi dan ianya wujud di dalam sekurang-kurangnya tiga bentuk iaitu (1) mercury yang tulin (tidak bergabung, jarang ditemui di dalam alam semulajadi, jika ada ianya akan menjalani perwapan, digunakan di dalam jangkasuhu dan peralatan perubatan yang lain), (2) Garam mercury (mercury salts) ataupun kompoun inorganic mercury, contohnya: Mercuric sulphide, mercuric chloride dan lain-lain. Bentuk mercury seperti ini adalah larut air dan (3) Organic mercury, dibentuk apabila mercury bergabung dengan karbon dan elemen lain. Contoh organic mercury adalah dimethylmercury, phenylmercuric acetate dan methylmercuric chloride.Bentuk mercury yang paling banyak ditemui di dalam alam sekitar adalah methylmercury. Mercury seringkali ditemui di dalam produk-produk pencerahan kulit samada dalam bentuk sabun ataupun krim. Ianya juga ditemui di dalam lain-lain produk kosmetik seperti pencuci makeup dan mascara. Garam mercury boleh merencatkan penghasilan melanin dan mencerahkan kulit. Manakala organic mercury pula seperti thiomersal, garam phenyl mercuric digunakan sebagai bahan pengawet di dalam produk pembersih makeup dan mascara. Ramai orang menggunakan sabun ataupun krim pemutih yang mengandungi mercury tanpa mereka sedari dan tidak kurang yang mengamalkannya bertahun-tahun. Sabun yang mengandungi mercury ini kadangkalanya digunakan kepada seluruh badan dan kajian telah mendapati adakalanya kandungan mercury di dalamnya sangat tinggi. Produk yang mengandungi tinggi kandungan mercury kelihatan bewarna kelabu ataupun krim. Terdapat banyak nama yang digunakan untuk memberi maksud terdapatnya kandungan mercury di dalam produk berkenaan yang di antaranya adalah mercury, Hg,mercuric iodide,mercurous chloride, ammoniated mercury, amide chloride of mercury, quicksilver, cinnabaris (mercuric sulphide), hydrargyri oxydum rubrum (mercury oxide), dan lain-lain. Malangnya banyak syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk-produk ini tidak memasukkan nama ingredien tersebut di dalam maklumat produk mereka. Bentuk mercury yang bahaya kepada kesihatan adalah mercury inorganic (garam mercury) dan inilah bentuk yang digunakan untuk memutihkan kulit kerana ianya dapat merencatkan penghasilan melanin. Inorganik mercury boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, ruam-ruam kulit, perubahan warna kulit, parut pada kulit dan boleh menyebabkan sistem pertahanan kulit terhadap jangkitan bakteria dan kulat menjadi lemah. Lain-lain kesan sampingan adalah kesan sistemik seperti tekanan perasaan, kerisauan, sakit jiwa dan kebas kaki tangan akibat kerosakan saraf. Mercury yang disapu pada permukaan kulit ini boleh masuk ke dalam aliran darah dan memberi kesan sistemik. Mercury ini juga apabila digunakan oleh manusia akan kembali ke alam sekitar dan sampai ke jaringan makanan manusia, seterusnya bakal memudaratkan orang lain termasuk anak di dalam kandungan apabila ibu mengambil makanan yang tinggi kandungan mercury. Inilah sebabkan banyak negara-negara termasuk Malaysia, negara Eropah dan Afrika mengharamkan penggunaan mercury di dalam produk kecantikan. Di Amerika Syarikat, FDA hanya membenarkan mercury digunakan pada produk yang digunakan pada sekeliling mata pada kepekatan di bawah 65mg/kg mercury ataupun 100mg/kg jika dinyatakan sebagai phenylmercuric acetate ataupun nitrat. Lain-lain produk kosmetik hendaklah mengandungi mercury kurang dari 1mg/kg. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa: 1) Produk pencerahan kulit yang mengandungi mercury adalah merbahaya kepada kesihatan, 2) Orang ramai perlu diberi pengetahuan mengenai adanya produk kecantikan yang mengandungi mercury dan tahu apakah kesan sampingan mercury, 3) Maklumat juga perlu diberikan tentang bahaya bahan-bahan kimia lain selain dari mercury untuk tujuan memutihkan kulit.

 

Tretinoin

 

Tretinoin seringkali digunakan untuk merawat jerawat. Tretinoin (retinoic acid) adalah sejenis bahan kimia yang tergolong di dalam kategori retinoid ataupun vitamin A. Krim tretinoin 1% juga digunakan untuk merawat kedutan ringan, tompok kehitaman dan kulit yang kasar akibat dari kesan pancaran cahaya matahari. Ia dikatakan dapat mencerahkan kulit dengan menggalakkan penggantian sel-sel kulit di permukaan. Walau bagaimanapun ia tidak dapat mengurangkan kesan kehitaman kulit yang serius dan jika pun ianya berkesan, hanya untuk sementara waktu. Untuk mendapat kesan yang lebih baik, ia hendaklah digunakan bersama bahan-bahan yang melindungi kulit dari kesan negatif sinaran ultra unggu. Krim tretinon hanya boleh dipreskripsi oleh doktor.

 

Tranexamic acid

 

Tranexamic acid adalah sejenis ubat yang pada asalnya digunakan untuk merawat dan mencegah pendarahan samada disebabkan oleh kecederaan, pembedahan dan juga digunakan untuk mengurangkan pendarahan haid. Ia adalah sejenis ubat anti-fibrinolitik. Ubat tranexamic asid diberikan di dalam bentuk kapsul di ambil melalui mulut. Ia juga boleh diberikan di dalam bentuk suntikan intravena. Kini tranexamic acid mula digunakan untuk merawat hiperpigmentasi kulit ataupun kulit kehitaman disebabkan oleh penghasilan melanin yang berlebihan. Ia dikatakan dapat merencat enzim tyrosinase yang diperlukan untuk penghasilan melanin dan juga di dalam metabolism penghasilan prostaglandin (PGE2). Prostaglandin E2 diketahui boleh meransang penghasilan dendrit sel melanosit dan meransang enzim tyrosinase. Untuk merawat masalah kulit ini, tranexamic acid di dalam bentuk krim digunakan. Salah satu keadaan di mana ianya digunakan adalah untuk merawat melasma iaitu sejenis penyakit kulit akibat dari kesan radangan kulit yang terdedah kepada pancaran cahaya matahari. Masalah kulit ini dihadapi terutamanya oleh kaum wanita. Satu kajian randomized control trial telah dijalankan membandingkan krim tranexamic acid 3% dengan krim hydroquinone 3% untuk merawat melasma, kajian ini melibatkan 50 orang wanita yang mengalami melasma. Hydriquinone dianggap sebagai krim standard untuk merawat melasma. Di dalam kajian ini didapati bahawa, krim tranexamic acid mempunyai keberkesanan yang sama dengan krim hydroquinone(dan 0.01% dexamethasone) (Ebrahimi B, Naeini FF,. Topical tranexamic acid as a promising treatment for melasma J Res Med Sci, 2014;19(8):753-757). Terdapat juga kajian yang menggunakan suntukan tranexamic acid ke atas melasma. Walaubagaimanapun Tranexamic acid hanya boleh digunakan oleh doktor dan tidak boleh digunakan oleh orang awam ataupun pengamal produk kecantikan kerana kesan sampingan yang boleh berlaku. Individu yang mengalami masalah jantung, darah beku, alahan, buta warna, yang menggunakan pil hormone dan penyakit-penyakit yang memudahkan berlakukan kejadian darah beku tidak boleh mengambil ataupun menggunakan Tranexamid Acid. Ubat seperti pil perancang, tretinoin dan ubat pencair darah (warfarin) boleh berinteraksi dengan Tranexamic Acid dan tidak boleh diambil bersama. Pendek kata Tranexamic Acid adalah ubat yang memerlukan nasihat doktor dan juga  tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan mencerahkan kulit. Tranexamic acid boleh menyebabkan masalah usus, pening, berlaku darah beku (risiko sakit jantung dan angin ahmar; risiko lebih tinggi jika anda gemuk, merokok dan mengambil pil hormone), letih, kejang otot dan bahaya kepada ibu hamil serta yang menyusukan anak.

 

PENGELUPASAN KULIT (SKIN EXFOLIATION/PEELING)

 

Pengelupasan kulit adalah kaedah alternatif kepada bahan perencat melanin untuk tujuan menjadikan kulit kelihatan lebih rata dan cerah. Kaedah ini tidak menyebabkan kulit menjadi putih dengan erti kata sebenarnya kerana ia tidak melibatkan tindakan terhadap proses penghasilan melanin. Pengelupasan kulit adalah proses membuang lapisan sel-sel mati yang paling atas di permukaan kulit anda supaya kulit kelihatan lebih cerah. Kulit yang pengelupas ini seolah-olah seperti kulit yang terbakar tetapi tidak cukup  untuk menyebabkan parut, di dalam istilah perubatan ia seolah-olah peringkat 1 dan 2 kesan terbakar. Selepas rawatan, pesakit perlu menjalani proses pemulihan serta terpaksa menjauhkan diri dari terkena pancaran matahari untuk beberapa ketika. Pengelupasan kulit dapat dilakukan dengan kaedah kemikal (menggunakan bahan kimia seperti asid lemah) ataupun secara mekanikal seperti menggunakan berus, skrab ataupun secara fizikal untuk mengeluarkan sel-sel yang mati tersebut. Pengelupasan juga dapat dilakukan dengan kaedah laser, microdermabrasion dan cryotherapy. Jadi kaedah-kaedah pengelupasan kulit boleh dibahagikan kepada:

          1. Kaedah Kemikal (menggunakan bahan kimia)

          2. Kaedah mekanikal (mengunakan mesin berus,sponge dan bahan-bahan terpilih)

          3. Kaedah Laser

          4. Kaedah Cryotherapy

          5. Lain-lain, contoh: Microdermabrasion

Proses pengelupasan ini dikendalikan oleh Pakar Dermatologi dan di dalam bidang perubatan ianya digunakan untuk tujuan merawat dan ada juga untuk tujuan kosmetik.Di antara tujuan-tujuan menjalani rawatan pengelupasan ini adalah untuk mengembalikan keremajaan kulit, merawat parut, merawat jerawat, mengurangkan kedutan, merawat kesan kerosakan kulit akibat pancaran matahari, merawat masalah kulit dan juga tompokan hitam akibat hiperpigmentasi. Rawatan pengelupasan ini memerlukan nasihat dan penyeliaan Pakar Dermatologi supaya dapat mengurangkan komplikasi. Di antara komplikasi yang boleh berlaku adalah perubahan warna kulit yang tidak sekata terutama pengguna yang berkulit gelap, kemerahan kulit, kesan sampingan yang dikaitkan dengan bahan kimia yang digunakan dan jika pengelupasan berlaku pada tahap yang lebih dalam sehingga wujudnya parut.

 

KAEDAH KEMIKAL (BAHAN KIMIA)

 

Terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis bahan kimia yang digunakan untuk proses pengelupasan iaitu (1) Asid Hydroxy (contoh: Asid Lactic, Asid Salicylic, Asid Glycolic), (2) Retinol (Vitamin A) dan (3) Enzim (contoh: Papain, Bromelain dan enzim Protease dari mikrob Bacillus). Kesan pengelupasan dengan bahan kimia ini diperolehi dalam masa yang singkat dan pengelupasan ini juga dapat meningkatkan keberkesanan rawatan topikal kerana ubat topikal yang disapu dapat masuk ke dalam kulit dengan lebih mudah dan cepat. Menurut pakar dermatologi, individu-individu yang boleh memanfaatkan kaedah ini adalah mereka-mereka yang mempunyai kulit yang mengalami penuaan pramatang akibat pendedahan cahaya matahari dan juga selepas mengalami jerawat jenis “blackhead” dan “whitehead” dengan syarat tidak ada keradangan. Jerawat yang mengalami keradangan (inflamatori) tidak sesuai menjalani proses pengelupasan. Rawatan pengelupasan tidak sesuai dilakukan dalam keadaan tertentu seperti kulit selepas mengalami keradangan, penyakit rosacea ataupun penggunaan bahan kimia tambahan yang kuat boleh menyebabkan kerosakan kulit dan berlaku hiperpigmentasi. Proses pengelupasan juga boleh menjadikan penyakit kulit tertentu merebak lebih cepat contohnya jangkitan herpes simplex, molluscum contagiosum dan juga kutil (HPV). Sebelum menjalani rawatan pengelupasan ini, perlu mendapat nasihat pakar dermatologi.  Di dalam melakukan rawatan ini, pakar dermatologi akan menentukan jenis kulit anda, kulit yang kering lebih sesuai menggunakan bahan kimia yang ringan seperti asid lactic and asid glycolic, manakala kulit yang lebih berminyak mungkin perlu menggunakan bahan exfoliant yang lebih kuat seperti asid salicylic 2%, retinol, phenol ataupun kaedah mekanikal. Kulit yang sensitif mungkin perlu menggunakan bahan pengelupas yang lembut seperti krim asid alpha hydroxyl/asid beta hydroxyl berkepekatan rendah. Kekerapan melakukan rawatan juga bergantung kepada jenis kulit, ia mungkin perlu dilakukan sekali setiap hari ataupun 2-3 kali seminggu, kebanyakan wanita memerlukan hanya sekali seminggu ataupun sekali di dalam satu bulan. Membeli produk pengelupas tanpa nasihat pakar adalah merbahaya kerana banyak produk yang dijual di kedai ataupun farmasi mengandungi bahan-bahan kimia terlarang ataupun kuat. Pakar dermatologi mengesyorkan penggunaan asid glycolic dengan kepekatan tidak lebih dari 10% ataupun asid salicylic tidak lebih dari 2%. (https://www.aad.org/media/news-releases/evaluate-before-you-exfoliate). Asid-asid Hydroxy ini berfungsi meransang pemulihan lapisan sel kulit dan pengelupasan lapisan stratum korneum (lapisan sel-sel mati di permukaan kulit), pH yang rendah juga dikatakan akan meleraikan ikatan keratin kulit dan melarutkan protin pengikat lapisan kulit sehingga menyebabkan lapisan sel-sel teratas ini terpisah.Apabila lapisan teratas sel-sel mati yang tebal ini dikeluarkan, lapisan ini menjadi lebih nipis dan membenarkan lebih banyak cahaya masuk sehingga kulit kelihatan lebih bercahaya. Asid Glycolic juga mempunyai ciri-ciri tambahan iaitu memperbaiki sifat kalis air kulit dan melembapkan kulit apabila ia meningkatkan penghasilan Glycosaminoglycan (GAGs). Asid Glycolic juga mempunyai kesan anti-inflamatori melalui tindakan pembunuh kuman Proprionibacterium acnes. Asid Salicylic pula mempunyai kelebihan (larut lemak) di dalam menembusi kelenjar minyak di dalam folikel rambut dan mengelupaskan lapisan sel-sel di dalam liang kelenjar minyak. Jadi Asid Salicylic lebih berkesan merawat jerawat di samping memiliki ciri-ciri anti-inflamatori. Kombinasi Asid salicylic dan Asid Mandelic dikatakan di antara kombinasi bahan pengelupas yang paling berkesan untuk merawat jerawat.Terdapat juga formulasi bahan kimia pengelupas yang terdiri dari lebih satu jenis bahan seperti di dalam Jessner’s solution yang mengandungi resorcinol (14%), Asid Salicylic (14%), Asid Lactic (14%) dan ethanol. Asid Trichloroacetic (TCA) juga salah satu agent pengelupasan yang pernah digunakan, tidak ada penyerapan sistemik sebab TCA menjalani peneutralan sendiri (self neutralizing). Phenol adalah salah satu bahan kimia pengelupas yang kuat dan memberi kesan jangkapanjang tetapi ia boleh meresap masuk ke aliran darah dan menyebabkan komplikasi seperti komplikasi jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru. Ia jarang digunakan. Kesemua bahan kimia pengelupas ini seringkali digunakan untuk merawat kulit akibat dari jerawat (rawatan jerawat ataupun parut akibat dari jerawat) dan juga hiperpigmentasi seperti melasma dan postinflamatori pigmentasi. Di dalam rawatan ke atas masalah jerawat, bahan-bahan ini digunakan sebagai kaedah tambahan dengan rawatan utama merawat jerawat. (Rujukan: Handog EB, Datuin MSL, Singzon IA. Chemical Peels for Acne and Acne Scars in Asians: Evidence Based Review. J Cutan Aesthet Surg, 2012;5(4):239-246). Pengelupasan kemikal boleh juga dilakukan dengan menggunakan bahan semulajadi seperti limau yang mengandungi asid sitrik dan cuka (apple cider vinegar) yang mengandungi asid acetic (telah dicairkan). Masalah dengan bahan semulajadi ini adalah anda tidak mengetahui banyak mana yang perlu diaplikasikan dan jangkamasa rawatan (kerana anda tidak mengetahui kekuatan asid sitrik ataupun asid acetic), anda berkemungkinan melakukan rawatan untuk jangkamasa yang panjang dan boleh merosakkan kulit. Di sebaliknya pula, bahan kimia pengelupas yang sudah diketahui kepekatannya, walaupun lebih kuat, cara penggunaannya sudah diketahui dan ini mengurangkan kesan sampingan. Pakar dermatologi tidak menggalakkan orang ramai menggunakan bahan semulajadi untuk tujuan pengelupasan kulit.

 

                              Kesan penggunaan Phenol sebagai agen pengelupasan

 

 

 Kesan menggunakan Alpha Arbutin

 

KAEDAH MEKANIKAL

 

Di samping menggunakan bahan kimia, proses pengelupasan kulit juga boleh menggunakan kaedah mekanikal. Kaedah mekanikal menggunakan alat seperti berus ataupun sponge yang disambungkan kepada mesin elektronik yang memutarkan berus/sponge tersebut. Selepas proses pengelupasan dijalankan, lapisan luar kulit mati yang dihapuskan akan digantikan dengan lapisan sel yang baru di dalam masa 10 hari. Ada juga kaedah mekanikal yang menggunakan bahan seperti kulit biji beras, serbik biji kurma, oatmeal dan lain-lain. Berhati-hati menggunakan kaedah mekanikal ini kerana gosokan yang keterlaluan boleh menyebabkan kecederaan lapisan kulit. Orang Jepun suka menggunakan kaedah traditional merawat dan mencerahkan kulit menggunakan kulit beras (rice bran) dan mereka mendakwa ianya berkesan untuk membersihkan kulit dan menjadikan kulit lebih bercahaya. Kajian kimia ke atas kulit beras ini menunjukkan ianya mengandungi agen biologi yang bermanfaat kepada kulit, ini termasuk asid Phytic, Gamma Oryzanol (dari vitamin B), antioksidan dan lain-lain. Asid Phytic dikatakan boleh bertindak ke atas copper dan merencatkan enzim tyrosinase di dalam proses penghasilan melanin. Walau bagaimanapun, Pakar dermatologi tidak menggalakkan penggunaan bahan-bahan ini untuk tujuan pengelupasan kerana sukar untuk menentukan kaedah, kekerapan dan kuantiti/dos bahan yang hendak digunakan. (www.dermalinstitute.com/us/library/20_article_Methods_of_Exfoliation.html)

                                             Kaedah mekanikal

KAEDAH LASER

 

Rawatan laser adalah kaedah yang semakin popular menggantikan kaedah mekanikal. Sinar laser adalah gelombang cahaya yang terletak di dalam spektrum sinar infrared. Kelebihan sinar laser adalah kemampuannya untuk merawat sasaran dengan lebih tepat dan kedalaman serta kawasan yang dirawat dapat dikawal. Laser menyebabkan lapisan atas sel-sel kulit kulit dimusnahkan melalui kesan perwapan (vaporaization), kemudian sel-sel itu akan digantikan dengan sel-sel yang baru dan akibat dari kesan laser ini juga, penghasilan kolagen dan elastin akan diransang dan dapat meratakan kulit yang ada parut dan kedutan halus. Kesan rawatan laser ini adalah kekal, tetapi kulit itu tetap akan melalui proses penuaan dan terdedah kepada kecederaan cahaya matahari. Kedutan disebabkan oleh proses penuaan akan muncul di tempat lain, rawatan susulan perlu dilakukan selepas beberapa tahun bergantung kepada usia dan sejauh mana kulit anda terdedah kepada pencemaran dan punca kerosakan. Jika laser ini dilakukan oleh pakar yang terlatih, kulit seseorang itu akan kelihatan lebih remaja dari usia dan kesan positifnya mungkin akan bertahan lebih lama.

 

Di samping itu berbeza dengan kaedah kemikal, rawatan menggunakan laser dipantau dengan rapi oleh FDA dan FDA tidak akan meluluskan penggunaannya jika tidak terbukti berkesan. Walau bagaimanapun, mesin laser adalah canggih, mahal dan pengamal perlu terlebih dahulu menjalani latihan serta mendapat tauliah sebelum boleh melakukan prosedur ini. Rawatan laser sepatutnya dilakukan oleh pakar dermatologi ataupun pakar bedah plastik. Rawatan laser digunakan samada untuk tujuan kosmetik ataupun rawatan kulit. Ianya digunakan untuk tujuan memperbaiki tona serta tektur kulit, mengurangkan kedutan dan juga pigmentasi. Ianya juga dapat digunakan untuk rawatan parut. Ada juga yang menggunakan laser untuk membuang tattoo. Istilah yang digunakan untuk rawatan ini dikenali sebagai “Laser Skin Resurfacing”. Rawatan ini memerlukan bius setempat samada dalam bentuk topikal ataupun suntikan dan jika rawatannya lebih extensive, bius umum perlu digunakan. Terdapat dua jenis rawatan laser iaitu ablative dan non-ablative. Laser non-ablative memberi kesan yang lebih dalam tetapi dapat merawat kulit dengan lebih berkesan walaupun kesan sampingannya lebih serius. Laser non-ablative tidak merosakkan seluruh lapisan epidermis dan ianya mungkin sesuai untuk rawatan mengurangkan kedutan halus dan ketidakserataan kulit.

 

Laser jenis ablative akan memanaskan molekul air di dalam tisu kulit dan apabila ianya merewap, sel-sel epidermis akan tertanggal ataupun mengelupas. Ia akan meransang pembentukan kolagen dan penghasilan semula sel-sel epidermis yang baru. Ia sesuai untuk rawatan parut dan kerosakan kulit akibat cahaya matahari. Terdapat beberapa jenis laser ablative yang digunakan termasuk laser CO2 , Erbium-doped yttrium aluminium garnet (Er:YAG) laser dan gabungan CO2-Er:YAG Laser. Di antara kesan sampingan CO2 laser adalah tompok putih (hypopigmentation) yang kekal, tompok kehitaman kekal (hyperpigmentation), jerawat dan jangkitan kuman. Dikatakan CO2 laser lebih berkesan dari Er:YAG laser tetapi kesan sampingan Er:YAG lebih kurang dari CO2 laser kerana kedalaman rawatannya lebih rendah.

Laser non-ablative pula memberi kesan yang lebih rendah ke atas kulit dan kecederaan kulit lebih minima berbanding dengan laser ablative. Ia mengenakan rawatan ke atas kedalaman tertentu lapisan kulit dengan tidak menjejaskan permukaan teratas kulit. Jadi dengan kaedah ini pesakit pulih lebih cepat dan kesan sampingan lebih jarang berlaku. Terdapat banyak jenis laser di bawah kategori non-ablative dan saya tidak akan membincangkannya di sini. Hasil rawatan laser berbeza-beza mengikut jenis kulit, warna kulit dan juga faktor pengguna. Pengguna yang merokok akan mengalami masalah pemulihan dari rawatan laser kerana rokok menyebabkan bekalan darah tidak lancer dan melambatkan proses penyembuhan. Keberkesanan juga bergantung kepada kepakaran pakar yang melakukannya dengan alat serta jenis laser yang sesuai. Gambar-gambar bawah adalah kesan rawatan laser.

 

 

 

Video bagaimana rawatan laser pada kulit muka (https://www.youtube.com/watch?v=0p61ECQ5mxY)

Contoh selepas rawatan laser peeling video

https://www.youtube.com/watch?v=qXFRtV4oxn0

https://www.youtube.com/watch?v=3VS9JMoc9WQ

 

RADIOFREQUENCY

 

Radiofrequency menggunakan kaedah yang berbeza tetapi untuk tujuan yang sama. Sistem ini menggunakan kaedah pemanasan seperti mesin gelombang mikro, dikatakan ia meransang pembentukan kolagen yang baru menyebabkan kulit menjadi lebih tegang. (Rujukan: Preissig J, Hamilton K, Markus R. Current Laser Resurfacing Techniques: A Review that Delves Beneath the Surface. Semin Plast Surg, 2012;26(3):109-116

 

MICRODERMABRASION

 

Prinsip penggunaan kaedah microdermabrasion adalah sama seperti agen-agen pengelupasan kulit yang lain. Ia mengeluarkan lapisan sel-sel mati teratas di permukaan kulit ataupun stratum korneum. Rawatan microdermabrasion menggunakan alat yang dapat menembak aliran kristal/pasir yang halus diperbuat dari serbuk berlian, aluminium oksida, natriam klorida ataupun natriam bikarbonat ke permukaan kulit dan memecahkan lapisan kulit mati. Kemudian cebisan kulit-kulit mati dan bahan-bahan tadi akan disedut oleh mesin melalui hujung probe yang sama. Kaedah ini digunakan untuk tujuan meratakan tona kulit, merawat kerosakan kulit akibat cahaya matahari, tompok kulit kehitaman, kulit yang kusam, kedutan/garisan kulit, kesan regangan kulit (stretch mark) dan tompok penuaan (age spots). Mesin microdermabrasion ini ada dijual dan ada yang dikatakan boleh digunakan sendiri di rumah. Kaedah ini dikatakan tidak menyakitkan dan kadar komplikasi yang lebih rendah berbanding dengan kaedah kemikal dan laser.

Video microdermabrasion: https://www.youtube.com/watch?v=bFjN1V5BBUM (tonton video di akhir rencana ini)

 

 Alat microdermabrasion

 

MASALAH DENGAN RAWATAN PENCERAH KULIT

 

Seperti yang dinyatakan di dalam tulisan di atas, kebanyakan bahan-bahan yang digunakan untuk tujuan memutihkan kulit dengan berkesan adalah bahan kimia yang dapat merencat penghasilan melanin samada secara topikal mahupun secara makan. Terdapat produk-produk yang hanyak memberi kesan pengeluarkan lapisan sel mati yang terletak di permukaan teratas kulit untuk tujuan supaya lapisan sel-sel baru dapat menggantikannya dan kaedah ini dinamakan peeling ataupun pengelupasan. Kaedah ini tidak memberi kesan kepada proses penghasilan melanin. Kaedah memutihkan kulit ini sepatutnya adalah di bawah penyeliaan dan pengendalian pakar dermatologi kerana mereka sudah terlatih dan berpengetahuan tinggi memandangkan proses pemutihan kulit ini boleh membawa kemudaratan. Pakar kulit menggunakan kaedah pemutihan kulit untuk tujuan meratakan warna kulit akibat dari penghasilan melanin yang tidak serata di tempat-tempat tertentu akibat dari penyakit, hormone ataupun di tempat selepas berlakunya keradangan(inflamatori) contohnya akibat dari jerawat. Pakar dermatologi juga menggunakannya untuk kes melasma. Terdapat beberapa masalah yang bakal dihadapi oleh pengguna jika menjalani rawatan pemutihan ini, di antaranya adalah kesan sampingan yang boleh terjadi samada pada kulit tempat rawatan ataupun jika ubat pemutih tersebut masuk ke aliran darah dan mengakibatkan kesan sistemik. Kesan setempat terhadap penggunaan krim pemutih adalah kesan alahan, kegatalan serta kesan pengurangan melanin yang berfungsi melindungi kulit dari kecederaan sinar UV dan juga mencegah terjadinya kanser kulit. Rawatan kulit yang agresif juga boleh mencederakan kulit dan menyebabkan fungsi kulit di dalam sistem pertahanan badan terjejas sehingga boleh berlaku jangkitan dan sebagainya. Penggunaan produk pemutih kulit jika diamalkan berpanjangan boleh menyebabkan komplikasi yang dinamakan ochronosis iaitu kesan paradok di mana kulit menjadi hitam dan kekal. Kulit kehitaman juga boleh berlaku pada jari tangan, jari kaki, telinga dan lain-lain. Terdapat satu lagi kesan negatif yang dinamakan “bleach panda effect”, di mana kulit di sekeliling mata menjadi nipis dan kulit di bahagian tersebut menjadi kehitaman. Penggunaan kaedah mekanikal dan laser juga tidak lari dari kesan sampingan yang disebutkan di atas. Penggunaan laser boleh menyebabkan kesakitan, kemerahan, kegatalan, kulit mengelembung(blister), parut, tompok kehitaman, alahan, jangkitan dan kesan kecederaan pada mata (kornea dank anta).  Jika pun kaedah-kaedah ini berkesan memutihkan serta meratakan kulit, persoalannya berapa lamakah kesannya akan kekal dan selama mana pengguna perlu menggunakan produk tersebut. Ia tidak menjadikan kulit kembali seperti kulit remaja, ianya hanya memulihkan kulit supaya kelihatan lebih elok dari keadaan asal. Tentu sekali kesan pemutihan dan perataan kulit itu adalah sementara selagi produk tersebut digunakan kerana warna kulit dan penghasilan melanin di dalam tubuh badan seseorang itu sudah ditentukan oleh faktor genetik dan tidak mungkin dapat diubah. Rawatan susulan perlu dilakukan dan lambat laun proses penuaan dan kesan kecederaan akibat pendedahan cahaya matahari akan kembali dan pengguna perlu memulakan semula rawatannya. Kos untuk mencerahkan kulit juga adalah tinggi lebih-lebih lagi jika menggunakan kaedah laser dan microdermablation.

 

KESIMPULAN

 

Kemampuan memutihkan kulit bukanlah satu mitos kerana ianya boleh dilakukan. Terdapat banyak kaedah bagaimana kulit dapat dirawat supaya ianya menjadi lebih rata, warna yang lebih seragam serta kelihatan lebih putih dan cerah. Terdapat dua matlamat utama proses memutihkan kulit ini dilakukan iaitu untuk tujuan kosmetik (nampak lebih putih) dan untuk tujuan rawatan seperti rawatan jerawat, melasma dan kesan kerosakan kulit akibat pancaran cahaya matahari. Kaedah memutihkan kulit dalam ertikata yang sebenarnya adalah menggunakan kaedah yang dapat mengurangkan penghasilan melanin oleh sel-sel melanosit. Terdapat banyak jenis bahan kimia yang boleh merencat penghasilan melanosit tetapi semuanya boleh memberi kesan sampingan kepada pengguna. Memandangkan bahawa ianya menyebabkan kandungan melanin berkurangan di bawah kulit, kaedah pemutihan kulit ini juga bakal mendedahkan pengguna kepada kesan sampingan akibat dari kurangnya melanin seperti kecederaan cahaya matahari dan kanser kulit. Rawatan-rawatan pemutihan ini juga boleh mencederakan kulit (alahan,melecur dan lain-lain) dan menyebabkan daya ketahanan kulit terjejas dan lebih mudah dijangkiti penyakit. Persoalan yang paling utama adalah berapa kerap dan berapa lamakah rawatan ini perlu dilakukan serta apakah kesan jangkapanjang kepada pengguna yang menggunakan kaedah ini. Kebanyakan kesan pemutihan yang diberikan adalah bersifat sementara dan rawatan susulan perlu dilakukan. Banyak bahan-bahan kimia yang digunakan untuk tujuan memutihkan kulit boleh memberi kesan negatif kepada kulit dan ada juga yang boleh masuk ke dalam aliran darah serta memberi kesan sampingan ke atas organ-organ badan seperti buah pinggang dan hati.

 

Kaedah kedua bagaimana kulit dapat dirawat supaya menjadi lebih rata serta kelihatan cerah adalah melalui kaedah pengelupasan ataupun “peeling’. Seringkali proses pemutihan serta alat rawatan kulit yang dilakukan ke atas pelanggan menggunakan kombinasi kedua-dua kaedah yang tersebut di atas dan ada juga bahan-bahan kimia yang digunakan mempunyai kedua-dua ciri yang tersebut. Kaedah pengelupasan boleh dilakukan dengan menggunakan bahan kimia, kaedah mekanikal, menggunakan laser, microdermabrasion dan infrared. Prinsip rawatan pengelupasan ini adalah membuang lapisan atas kulit supaya lapisan sel-sel kulit baru dapat menggantikannya. Kaedah ini juga dapat meratakan kulit, menjadikan warna kulit lebih seragam dan dikatakan rawatan ini dapat meransang penghasilan kolagen dan menegangkan kulit. Walau bagaimanapun kaedah pengelupasan ini juga mempunyai kesan sampingannya seperti kesakitan, tompok putih, tompok hitam dan jika pengelupasan dilakukan dengan agresif akan menyebabkan timbulnya parut. Kulit yang tercedera juga boleh terdedah kepada berlakunya jerawat dan juga jangkitan kuman. Di samping itu proses pemulihan juga memakan masa dan pengguna perlu melindungi diri dari terdedah kepada pancaran matahari semasa proses penyembuhan. Kesan rawatan juga bergantung kepada teknik, jenis laser/alat pengelupas yang digunakan dan pengalaman petugas/doktor yang  menjalankan rawatan. Pendek kata semua kaedah-kaedah pemutihan dan pencerahan kulit ini tidak boleh dipandang ringan dan sebelum mengambil keputusan untuk melakukannya, anda disyorkan mendapat nasihat dari pakar dermatologi dan rawatan ini pula hendaklah dilakukan oleh perawat yang bertauliah dan terlatih. Di samping itu, pengguna hendaklah berhati-hati meimilih produk-produk pemutih ini dikuatiri mengandungi bahan2 terlarang yang merbahaya kepada kesihatan.

 

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan ataupun institusi. Tidak ada mana-mana bahagian dari rencana ini yang boleh disiarkan semula tanpa kebenaran penulis

 

Video bagaimana rawatan laser pada kulit muka

(https://www.youtube.com/watch?v=0p61ECQ5mxY)
 

 

Contoh selepas rawatan laser peeling video

https://www.youtube.com/watch?v=qXFRtV4oxn0

https://www.youtube.com/watch?v=3VS9JMoc9WQ

 

 

 

RUJUKAN

 

https://en.wikipedia.org/wiki/Skin_shitening

http://www.faktasains.com/#!SUNSCREEN-SUNBLOCKAPA-YANG-PERLU-ANDA-KETAHUI/cjds/575b69d50cf245cf71a65919

Arjinpathana N, Asawanonda P. Glutathione as an oral whitening agent: a randomized double-blind, placebo controlled study, Journal of Dermatological treatment, 2012;23(2):DOI 10.3109/09546631003801619

Allen J, Bradley RD. Effects of Oral Glutathione Supplementation on Systemic Oxidative Stress Biomarkers in Human Volunteers. Journal of Alternative and Complementary Medicine, 2011;17(9):827-833)

www.immunehealthscience.com/oral-glutathione.html

Sonthalia S, Daulatabad D, Sarkar R. Glutathione as a skin whitening agent: Facts, myths, evidence and controversies. Indian J Dermatol Venereol Leprol, 2016,doi:10.4103/0378-6323

Bissett DL, Oblong JeE, Berge CA. Niacinamide: A B vitamin that improves aging facial appearance. Dermatol Surg,2005;31(7 Pt 2):860-5.

Hillebrand GG, Raleigh , Marmor MJ, et al. A randomized controlled comparative study of the wrinkle reduction benefits of a cosmetic niacinamide/peptide/retinyl tretinoin product regimen. British Journal of Dermatology, 2010;162:647-654

Ebrahimi B, Naeini FF,. Topical tranexamic acid as a promising treatment for melasma J Res Med Sci, 2014;19(8):753-757

https://www.aad.org/media/news-releases/evaluate-before-you-exfoliate

Handog EB, Datuin MSL, Singzon IA. Chemical Peels for Acne and Acne Scars in Asians: Evidence Based Review. J Cutan Aesthet Surg, 2012;5(4):239-246

www.dermalinstitute.com/us/library/20_article_Methods_of_Exfoliation.html

Preissig J, Hamilton K, Markus R. Current Laser Resurfacing Techniques: A Review that Delves Beneath the Surface. Semin Plast Surg, 2012;26(3):109-116

 

 

 

 

 

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now