• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

SUNSCREEN (SUNBLOCK):APA YANG PERLU ANDA KETAHUI

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(UKM),FGO(S’pore),AM

 

KULIT DAN PERLINDUNGAN CAHAYA MATAHARI

 

 

Kulit adalah organ yang paling besar di dalam tubuh badan manusia, baik dari segi luas permukaan mahupun beratnya. Jumlah keluasan kulit seorang dewasa adalah lebih kurang 22 kaki persegi, dengan purata berat 4.5 – 5 kg iaitu 16% dari jumlah berat badan. Ketebalan kulit adalah dari 0.5mm (kulit kelopak mata) hingga 6mm (kulit pada tapak tangan dan kaki). Mempunyai pH 4-5.6 dan ciri-ciri berasid ini adalah salah satu kaedah perlindungan semulajadi kulit dari jangkitan mikroorganisma. Kulit berfungsi sebagai pelindung yang melindungi tisu di dalam badan dari pendedahan kepada kecederaan, sinaran UV, suhu yang keterlaluan, toksin dan mikroorganisma. Lain-lain fungsi kulit adalah deria rasa, sistem imun tidak spesifik, kawalan suhu badan dan kawalan air dalam badan. Kulit terbahagi kepada lapisan epidermis di bahagian atas dan dermis di bahagian bawah (Rajah 1).

 

 

Rajah 1: Struktur kulit

 

 

EPIDERMIS

 

Epidermis diperbuat dari lapisan sel-sel yang mempunyai peringkat kematangan yang berbeza dan sel-sel ini dikenali sebagai keratosit (keratocyte). Lapisan paling bawah mengandungi sel kurang matang dikenali sebagai sel basal. Sel-sel di bahagian epidermis sentiasa aktif menjalani proses kematangan dari bawah (sel basal) naik ke atas sehingga kepada lapisan paling atas yang terdiri dari sel-sel mati dikenali sebagai lapisan stratum korneum. Lapisan ini akan bertukar setiap  28-50 hari. Di samping sel keratosit, terdapat juga beberapa jenis sel-sel khusus di dalam epidermis.

 

Epidermis terdiri dari 5 lapisan sel-sel iaitu stratum basale (paling bawah), stratum spinosum, stratum granulosum, stratum lucidum dan stratum korneum (paling atas). (Rajah 2) Sel-sel di epidermis ini juga dikenali sebagai keratinocytes. Epidermis tidak mengandungi saluran darah dan bergantung sepenuhnya daripada lapisan dermis untuk bekalan nutrin dan pembuangan bahan kumuh. Lapisan stratum korneum adalah lapisan sel-sel mati yang anda dapat lihat pada permukaan kulit anda. Ia berfungsi memberi perlindungan kepada lapisan bawah kulit. Di samping keratocytes, epidermis juga mengandungi beberapa jenis sel-sel khusus seperti Melanocyte (menghasilkan melanin), sel Langerhan (sel yang berinteraksi dengan antigen) dan Sel Merkel (sel saraf yang dapat mengesan sentuhan lembut ataupun “soft touch”).

 

 

Rajah 2: Lapisan epidermis kulit

 

DERMIS

 

Dermis adalah lapisan bawah epidermis yang bertanggungjawab memberi sokongan dan mempertahankan epidermis. Epidermis dan dermis mempunyai asal usul yang berbeza dari segi embriologi di mana epidermis berasal dari ectoderm manakala dermis pula berasal dari endoderm. Di bahagian bawah dermis dikenali hypodermis yang terdiri dari lapisan lemak, saluran darah, beberapa jenis saraf. Hypodermis tidak termasuk di dalam lapisan kulit.

 

Dermis adalah lapisan yang lebih kompleks, mengandungi tisu penghubung (“connective tissue”), sel2 (fibroblast, mast cells), hujung saraf, saluran limfatik, folikel rambut, kelenjar minyak, kolagen (70% dari dermis) dan elastin (1% dari berat dermis). Sel fibroblast bertanggungjawab menghasilkan kolagen dan elastin. Kolagen penting untuk memberi ketegangan dan keremajaan kulit, manakala elastin pula memberi sifat keanjalan kepada kulit.

 

WARNA KULIT DAN MELANIN

 

Manusia mempunyai warna kulit yang berbeza dan warna kulit ini sebenarnya ditentukan oleh kandungan sejenis pigmen yang dikenali sebagai melanin. Melanin juga menentukan warna rambut anda. Melanin dihasilkan oleh sejenis sel yang dikenali sebagai melanosit (melanocyte). Melanosit adalah sejenis sel khusus yang terletak di lapisan epidermis iaitu di bahagian bawah bersama dengan sel-sel basal (Rajah 4 dan 5). Terdapat tiga jenis melanin iaitu eumelanin, pheomelanin dan neuromelanin. Eumelanin adalah jenis yang paling utama terdiri dari eumelanin perang (brown eumelanin) dan eumelanin hitam (black eumelanin). Pheomelanin pula bertanggungjawab menjadikan kulit kemerahan atau merahjambu (pink) serta mewarnakan rambut menjadi kemerahan manakala neuromelanin terdapat di dalam otak. Pheomelanin banyak berkumpul di bahagian bibir, puting payudara,hujung penis dan faraj.

 

Melanin dihasilkan dari asid amino yang dikenali sebagai tyrosine. Proses penghasilan melanin ini dikenali sebagai melanogenesis. Tyrosine terdapat di dalam sel melanosit. Di dalam melanosit ini terdapat melanosome dan di dalam melanosome inilah melanin dihasilkan dan disimpan (Rajah 4).Sel melanosit mengandungi banyak reseptor yang sentitif pada cahaya terutamanya kepada sinaran UV (ultraviolet/ultraunggu) dari matahari. Terdapat tiga jenis sinar UV iaitu sinar UVA, sinar UVB dan sinaran UVC (Rajah 3). Sinaran UVC hampir semuanya akan diserap oleh lapisan ozon atmosfera dan tidak sampai ke bumi (Rajah 3). Jadi dua sinaran UV yang utama ke atas manusia adalah UVA dan UVB, dimana UVB memberi kesan yang lebih besar walaupun sinaran UVA lebih banyak sampai ke bumi dan lebih seragam sepanjang hari. Sinar UVA menghitamkan melanin tetapi tidak meningkatkan kuantiti melanin seperti sinaran UVB. Pendedahan kulit kepada cahaya sinaran UVB akan meransang sel melanosit untuk menghasilkan melanin dalam masa beberapa jam sahaja. Jadi kulit akan kelihatan lebih gelap apabila terdedah kepada sinaran UV hasil dari ransangan sel melanosit untuk meningkatkan penghasilan melanin. UVB juga pentinga di dalam penghasilan vitamin D oleh kulit.

 

Rajah 3 : Jenis-jenis sinaran UV dari cahaya matahari

 

Penghasilan melanin bergantung kepada faktor genetik dan juga kedudukan seseorang di benua-benua tertentu di dunia yang menerima sinaran UV yang berbeza. Sinaran UV adalah paling tinggi di kawasan khatulistiwa (Afrika, India, beberapa negara asia dan lain-lain), manakala kurang di bahagian benua Amerika, Eropah, kutub utara dan kutub selatan. Mempunyai kandungan melanin yang tinggi adalah salah satu proses pertahanan semulajadi badan dari kesan negatif akibat dari sinaran UV kerana melanin boleh menyerap sinaran UV. Pendedahan sinaran UV yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan DNA dan kanser kulit. Sebab itu kanser kulit mudah dihidapi oleh individu yang berkulit cerah dan sering terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran UV juga boleh menembusi kulit dan memecahkan folate, jadi melanin boleh membantu mencegah kekurangan vitamin folate. Walau bagaimanapun sinaran UV juga mempunyai kegunaannya (UVB) kerana ia dapat menembusi lapisan atas kulit dan meransang penghasilan vitamin D. Hampir 90% vitamin D dihasilkan oleh kaedah ini, manakala cuma 10% sahaja yang diperolehi dari sumber makanan. Jadi seseorang individu yang berkulit gelap lebih berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin D jika tidak terdedah kepada cahaya matahari yang mencukupi lebih-lebih lagi jika mereka tinggal di negara-negara yang mempunyai pendedahan sinar UV yang rendah seperti di kutub utara ataupun selatan. Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan penyakit ricket dan kerapuhan tulang dikenali sebagai osteoporosis. Pengambilan suplemen vitamin D mungkin perlu dilakukan oleh golongan-golongan yang berisiko kekurangan vitamin D.

 

 

Rajah 4: Sel melanosit

 

 

 

Rajah 5 : Sel Melanosit dan epidermis

 

SUN-BURN DAN SUN-TAN

 

Sunburn ataupun kulit terbakar adalah kesan kecederaan kulit akibat pendedahan kepada sinaran UV yang perpanjangan. Ia adalah reaksi kulit ke atas kerosakan DNA di dalam sel-sel kulit (Rajah 8). Sunburn juga boleh disebabkan oleh pendedahan kepanasan tinggi oleh mesin kimpalan besi. Gejala sunburn adalah kulit menjadi kemerahan, sakit bila disentuh, panas pada permukaan kulit, rasa letih dan pening. Selepas beberapa hari boleh berlaku pengelupasan kulit. “Sun tanning” ataupun “tanning”  pula adalah proses di mana warna kulit bertukar menjadi lebih gelap ataupun keperangan disebabkan oleh pendedahan kepada sinaran UV samada dari cahaya matahari ataupun sumber sinaran UV yang lain (Rajah 7). Jika sumber sinaran UV diperolehi dari sumber luar, kaedah tanning ini dikenali sebagai “indoor tanning”. Saya menggunakan istilah suntan untuk membawa maksud perubahan warna kulit kepada keperangan akibat pendedahan kepada cahaya matahari. Ramai yang suka supaya kulit mereka menjadi keperangan dengan berjemur di tengah panas ataupun “sun bathing”. Kedua-dua sinaran UVA dan UVB boleh menyebabkan kesan tanning. Seperti yang disebutkan tadi, sinaran UVA memberi kesan menghitamkan melanin manakala UVB pula meningkatkan penghasilan melanin. Jadi kesan suntan dari UVA dapat dilihat dalam jangkamasa singkat dan kesannya juga cepat. Manakala kesan siranan UVB akan hanya dapat dilihat selepas 2-3 hari selepas pendedahan, suntan yang disebabkan oleh sinaran UVB ini boleh berpanjangan sehingga beberapa minggu ataupun bulan. Suntan boleh pulih sepenuhnya apabila lapisan sel-sel di epidermis menjalani pertukaran di mana sel-sel yang mengandungi melanin yang tinggi tadi digantikan oleh sel-sel yang asal (jika aktiviti "sun bathing" dihentikan).  Sememangnya ada kaitan di antara sunburn dan suntan di mana pendedahan yang keterlaluan boleh menukar suntan kepada sunburn. Apabila berlaku sunburn, sel-sel kulit telah mula rosak dan ada yang mati. Jadi sunburn dan kanser kulit adalah di antara kesan negatif pendedahan kulit ke-atas sinaran UVA dan UVB yang berpanjangan.Umumnya, sinaran UVA dikaitkan dengan mempercepatkan proses penuaan kulit, manakala sinaran UVB pula menyebabkan sunburn dan kanser kulit. Sunburn juga mendedahkan kulit kepada kekurangan kolagen, kedutan dan proses penuaan kulit yang lebih cepat. Kedua-dua suntan dan sunburn sebenarnya boleh membawa masalah jangkamasa panjang yang sama terhadap kulit. International Agency for Research on Cancer telah mengkategorikan tabiat “sun tanning” sebagai punca penyakit kanser kepada manusia. Tiga jenis kanser kulit yang dikaitkan dengan pendedahan sinaran UV adalah squamous cell carcinoma, basal cell carcinoma dan melanoma. Risiko kanser juga termasuk menggunakan lampu UV untuk  tujuan suntan.

 

Apabila kesan tan pada kulit diperolehi selain dari kaedah pendedahan cahaya matahari ianya dikenali sebagai “sunless tanning”. Di antara kaedah “sunless tanning” adalah dengan menggunakan cahaya lampu UV dan menggunakan krim, losen atau semburan yang mengandungi bahan pewarna seperti dihydroxyacetone dan erythrulose ataupun bahan peransang melanogenesis. FDA tidak meluluskan penggunaan semburan bahan ini untuk tujuan sunless tanning. Terdapat juga agen dalam bentuk krim atau losen yang mengandungi bahan kimia yang meransang melanogenesis dan menyebabkan keperangan ataupun kehitaman kulit, contoh bahan-bahan ini adalah afamelanotide dan melanotan II.

 

Tabiat skin tanning (“suntanning” dan “indoor tanning”) bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh perubatan kerana risiko yang bakal dibawa oleh kesan pendedahan kepada sinaran UV ini terutama kerosakan kulit dan risiko jangkapanjang. Masalah suntanning dan “indoor tanning” adalah serius di negara barat seperti di Amerika. Jurnal JAMA Dermatology telah menyiarkan hasil kajian kesan “indoor tanning” dan telah melapurkan bahawa 1: Bilangan kanser kulit disebabkan oleh tanning adalah lebih tinggi dari kanser paru-paru  disebabkan oleh merokok dan 2. Di Amerika sahaja, 419,254 kes kanser kulit boleh dikaitkan dengan “indoor tanning”, 6,199 daripada jumlah tersebut adalah kes melanoma. (rujukan). Tabiat tanning boleh menjadi ketagihan dan ini disahkan oleh pakar psikiatri sehingga ianya mungkin sukar untuk dihentikan. Terdapat juga kajian pakar psikiatri yang menunjukkan bahawa ramai individu yang menggunakan tabiat tanning ini untuk mengurangkan gejala psikiatri seperti depresi dan “seasonal affective disorders” (rujukan). CDC (Central for Disease Control and Prevention) juga memberi amaran bahawa bahaya “indoor tanning” adalah sama seperti suntanning (menggunakan cahaya matahari), CDC menjelaskan bahawa setiap kali anda melakukan “indoor tanning” anda bukan sahaja meningkatkan risiko kanser kulit, tetapi juga 1.Menyebabkan penuaan kulit pramatang, kedutan dan tompok-tompok kehitaman, 2. Merubah tektur kulit dan 3. Meningkatkan risiko kebutaan akibat katarak. Negara Brazil dan Australia telah mengharamkan “indoor tanning” manakala Austria, Belgium, Finland, Perancis, Iceland, Itali, Norway, Sepanyor dan United Kingdom telah mengharamkan “indoor tanning’ kepada penduduk yang berusia kurang dari 18 tahun). (rujukan) .

 

Di samping kesan sinaran UV ke atas kulit, ianya juga boleh merosakkan mata. Pendedahan cahaya matahari pada bahagian kornea boleh menyebabkan radang kornea yang dikenali sebagai fotokeratitis, mata menjadi merah, seperti ada bendasing dan berair.Keadaan ini walaubagaimanapun adalah sementara. Kesan yang lebih serius adalah kesan jangkapanjang iaitu penyakit katarak dan macular degeneration yang boleh menyebabkan kebutaan.

 

Rajah 6: Dua jenis sinaran UV utama yang sampai ke bumi. Sinaran UVB mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek.

 

 

Rajah 7: Kesan Suntanning

 

 

 

Rajah 8: Sunburn ataupun kulit terbakar

 

 

Sunburn perlu dirawat secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari hendaklah dilakukan serta merta. Pakar dermatologi mengesyorkan beberapa langkah untuk merawat sunburn, di antaranya adalah:

  1. Mandi dengan air yang sejuk untuk mengurangkan kesan panas pada kulit

  2. Sapu pelembap selepas mandi (tinggalkan sedikit air pada bahagian kulit supaya pelembap tadi boleh memerangkap kelembapan itu) untuk mengurangkan ketidakselesaan akibat kekeringan.

  3. Krim hidrokortison 1% boleh digunakan pada bahagian sunburn disapu nipis-nipis untuk mengurangkan gejala

  4. Anti-inflamatori seperti aspirin, ibuprofen dan lain-lain dapat mengurangkan kebengkakan dan kemerahan akibat radangan.

  5. Minum air secukupnya kerana semasa berlakunya sunburn tersebut, anda juga kehilangan air.

  6. Jika kulit anda sudah mengelembung, maka anda sudah dianggap mengalami kesan sunburn yang serius dan perlu berjumpa dengan doktor. Jangan pecahkan kulit yang mengelembung itu sebaliknya biarkan ia mengecut sendiri. Jika terdapat nanah dan anda mengalami demam, doktor akan memberi ubat antibiotik.

 

KRIM SUNSCREEN

 

Sunscreen ataupun sunblock adalah bertujuan untuk melindungi kulit dari kesan buruk akibat pendedahan cahaya matahari. Penggunaan sunscreen boleh membantu mencegah sunburn dan juga kesan samping jangka panjang pendedahan kulit kepada cahaya matahari seperti kanser kulit dan proses penuaan kulit pramatang. Setengah ubatan mempunyai kesan sampingan yang dinamakan fotosensitiviti yakni gejala kulit seperti sunburn dialami oleh individu yang mengambil ubatan tertentu (tetracycline, phenothiazine dan lain-lain) apabila terdedah kepada cahaya matahari. Sunscreen boleh mencegah berlakunya fotosensitiviti. Bahan yang terdapat di dalam sunscreen dapat menyerap ataupun memantulkan sinaran UV. Sunscreen dihasilkan di dalam pelbagai bentuk seperti krim, losen, gel, semburan, balm bibir dan lain-lain (Rajah 9).

Memandangkan sunscreen dapat mengurangkan pendedahan kulit kepada sinaran UV, maka ianya dapat dimanfaatkan oleh semua orang.

 

Walau bagaimanapun, untuk mendapat kesan manfaat dari sunscreen, anda perlu mematuhi beberapa peraturan. Mengikut American Academy of Dermatology, sunscreen yang digunakan hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Perlindungan yang menyeluruh (broad spectrum) iaitu dari sinaran UVA dan UVB

  2. Faktor Pelindung Matahari (Sun Protection Factor, SPF) sekurang-kurangnya 30 (FDA mengesyorkan minimum SPF 15). Penggunaan SPF sekurang-kurangnya 30 dapat melindungi 97% dari sinaran matahari, tetapi kajian menunjukkan bahawa penggunaan SPF lebih dari 50 tidak akan meningkatkan perlindungan. Tidak ada produk sunscreen yang boleh melindungi 100% dari sinaran matahari. Nilai SPF yang lebih tinggi tidak bermaksud jangkamasa perlindungan yang lebih panjang. FDA menetapkan nilai maksima SPF pada 50.

  3. Kalis air (water resistant). Terdapat produk kalis air (“water resistant”, bertahan sehingga 40 minit walaupun terdedah kepada air dan berpeluh) dan produk sangat kalis air (“very water resistant”, bertahan sehingga 80 minit). FDA tidak membenarkan penggunaan perkataan “waterproof dan sweatproof” di dalam mana-mana produk.

Pengguna-pengguna hendaklah faham bahawa sunscreen tidak berkesan 100%, menurut American Academy of Dermatology, di samping menggunakan sunscreen, langkah-langkah berikut wajar dilakukan untuk mengurangkan risiko kesan jangkapanjang sinaran UV:

  1. Cuba mendapatkan tempat teduh terutamanya sekitar pukul 10 pagi hingga 2 petang (apabila bayang anda lebih rendah dari anda) kerana ketika waktu ini sinaran matahari paling terik.

  2. Memakai pakaian yang menutupi sebahagian badan seperti baju lengan panjang, topi dan cermin mata gelap (untuk melindungi mata).

  3. Berhati-hati ketika dekat dengan air, salji dan tempat berpasir kerana sinaran matahari boleh memantul dari bahan-bahan ini kepada anda dan menambah intensiti radiasi.

  4. Dapatkan cukup vitamin D samada dari makanan ataupun dari suplemen

  5. Elakkan sun tanning ataupun sinaran UV dari lampu UV (“indoor tanning”)

  6. Lakukan pemeriksaan berkala ke atas kulit badan anda untuk melihat jika terdapat tanda-tanda awal kanser kulit seperti ketumbuhan, perubahan warna, kegatalan kronik, kawasan yang mudah berdarah apabila disentuh dan lain-lain.

Amalan sunscreen setiap hari boleh dilakukan tidak kira samada cuaca panas ataupun mendung. Untuk panduan penggunaan, 30 gram sunscreen cukup untuk seluruh badan. Apabila mengaplikasi sunscreen, lakukan pada bahagian kulit yang tidak ditutupi oleh kain, sekurang-kurangnya di bahagian muka, telinga dan tangan. Sunburn dan kanser kulit juga boleh berlaku pada bibir, anda boleh menggunakan balm bibir ataupun bagi wanita menggunakan gincu bibir yang mengandungi sunscreen dengan nilai SPF sekurang-kurangnya 30. Sunscreen disapu 15-30 minit sebelum keluar dari rumah dan perlu diulang sapu setiap 2-3 jam  ataupun selepas berenang dan berpeluh. Elakkan dari terkena mata, jika ini berlaku, basuh muka dengan segera. Sunscreen di dalam bentuk semburan adalah mudah terbakar, jadi semasa menggunakannya, jangan merokok dan hendaklah disimpan ditempat yang jauh dari kawasan panas dan mudah terbakar. Sunscreen tidak sesuai digunakan ke atas bayi yang berusia kurang dari 6 bulan kecuali jika doktor mengarahkannya di atas sebab-sebab tertentu.

 

Seperti yang dinyatakan di atas, sunscreen terdapat di dalam pelbagai bentuk dan berikut adalah beberapa panduan mengenai bentuk sunscreen dan kegunaannya:

  1. Krim terbaik digunakan pada kulit kering dan muka

  2. Gel sesuai digunakan pada bahagian berbulu termasuk kulit kepala dan dada.

  3. Sticks pula sesuai untuk disapu pada sekeliling mata

  4. Bentuk semburan tidak berapa digalakkan oleh FDA disebabkan oleh kemungkinan disedut, mudah terbakar dan apabila diaplikasikan mungkin tidak rata. Ibu bapa suka menggunakan sunscreen bentuk semburan ke atas anak-anak mereka. Jangan menggunakan semburan pada bahagian muka dan mulut

Terdapat juga sunscreen yang dihasilkan untuk tujuan khusus seperti untuk kulit yang sensitif dan bayi.

 

 

Rajah 9: Bentuk-bentuk sunscreen di dalam pasaran

 

 

KESELAMATAN SUNSCREEN DAN KANDUNGAN BAHAN KIMIA

 

Bahan yang terdapat di dalam sunscreen adalah samada bahan kimia ataupun bahan mineral. Sunscreen mengandungi beberapa jenis bahan kimia dan pengguna hendaklah maklum mengenai apakah bahan kimia yang terdapat di dalam sunscreen itu selamat digunakan. FDA telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 17 bahan-bahan kimia yang dianggap selamat digunakan di dalam sunscreen di mana bahan-bahan ini dikategorikan sebagai GRASE (“Generally recognized as safe and effective”). Bahan-bahan tersebut adalah PABA, Avobenzone, Cinoxate, Dioxybenzone, Ensulizole, Homosalate, Meradimate, Octinoxate, Octisalate, Oxybenzone, Sulisobenzone, Trolamine salicylate, Titanium dioxide dan Zinc Oxide. Terdapat dua bahan kimia yang terdapat sedikit kontroversi iaitu Oxybenzone dan Retinyl palmitate tetapi Retinyl palmitate sememangnya tidak diluluskan untuk dimasukkan ke dalam sunscreen. Oxybenzone dikaitkan dengan masalah gangguan hormon tetapi ini adalah hasil kajian ke atas haiwan dan menggunakan dos yang tinggi. Jadi FDA telah membuat keputusan bahawa Oxybenzone adalah selamat dan manfaat yang dibawa oleh sunscreen ini adalah jauh lebih besar dari kemungkinan mudarat yang belum disahkan ini. FDA meletakkan syarat kepekatan kandungan Oxybenzone tidak melebihi 6% di dalam sunscreen. (Rujukan : https://en.wikipedia.org/wiki/Sunscreen ).

 

 

Rajah 10: Syarat label yang ditetapkan oleh FDA ke atas semua produk Sunscreen

 

 

PENGGUNAAN SUNSCREEN DAN PENCEGAHAN KANSER KULIT

 

Di Amerika Syarikat, risiko jangkahayat menghidap kanser kulit adalah 1 di dalam 5 orang dan hampir 13 juta penduduknya sedang hidup dengan penyakit kanser ini. Manakala lebih 58 juta orang penduduknya mengalami penyakit pra-kanser kulit. Ramai yang berpendapat bahawa penggunaan sunscreen dapat mencegah kanser kulit terutamanya melanoma. Sebelum tahun 2010, kajian epidemiologi menunjukkan keputusan yang berbelah bagi, tetapi pada tahun 2010, Green dan rakan-rakan telah membuat pemeriksaan susulan terhadap 1620 orang penduduk Australia berusia 25 hingga 75 tahun. Dua kumpulan diwujudkan iaitu kumpulan yang mengamalkan sunscreen setiap hari selama 4 tahun dan satu lagi kumpulan tidak mengamalkan sunscreen secara tetap. Selepas 10 tahun, hasil kajian ini menunjukkan bahawa kadar kejadian kanser kulit (melanoma) menurun sebanyak 50% dalam kalangan yang menggunakan sunscreen secara tetap. Kajian lain juga menunjukkan bahawa penggunaan sunscreen yang tetap mengurangkan kadar kejadian prakanser kulit jenis kanser basal cell carcinoma dan juga squamous cell carcinoma. Kajian ini dilakukan di negara-negara yang penduduknya sememangnya berisiko menghidap kanser kulit disebabkan oleh jenis kulit yang mereka miliki. Kita masih belum pasti samada kesan manfaat penggunaan sunscreen oleh rakyat negara kita ini sama seperti negara-negara Barat. (Rujukan) .

 

PENGGUNAAN SUNSCREEN DAN KESANNYA KE ATAS PENGHASILAN VITAMIN D

 

Majoriti vitamin D badan anda dihasilkan di bahagian kulit dan seperti yang saya sebutkan sebelum ini penghasilan vitamin D3 ini memerlukan sinaran UVB. Jadi adakah penggunaan sunscreen yang menyekat sinarah UV ini akan memberi kesan ke atas penghasilan vitamin D ?. Vitamin D adalah sejenis vitamin larut lemak yang hangat diperkatakan hari ini kerana ada terdapat bukti bahawa kekurangan vitamin D boleh menjadi punca beberapa jenis penyakit seperti kerapuhan tulang, penyakit jantung, diabetes, kanser dan juga penyakit autoimun. Masalah utama ahli-ahli sains adalah untuk menentukan berapakah keperluan harian anda untuk tujuan manfaat pencegahan penyakit. Beberapa pertubuhan mengesyorkan pengambilan dari 600 IU-1500 IU sehari, di mana dos yang rendah untuk orang biasa manakala dos yang tinggi untuk golongan yang berisiko mengalami kekurangan vitamin D. Terdapat bukti bahawa kandungan darah vitamin D sekurang-kurangnya 80nmol/L adalah perlu untuk mendapat kesemua manfaat perlindungan yang dinyatakan. Setakat hari ini beberapa kajian telah dilakukan dan mendapati penggunaan sunscreen TIDAK menyebabkan pengurangan vitamin D, malah ada kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan sunscreen meningkatkan kandungan vitamin D, pengkaji berpendapat hasil kajian ini diperolehi mungkin disebabkan oleh faktor pengguna sunscreen yang lebih suka keluar dan terdedah kepada cahaya matahari. (Rujukan). Anda hanya perlu terdedah selama 15 minit kepada cahaya matahari dalam satu hari untuk mendapat cukup bekalan vitamin D. Jadi penggunaan sunscreen memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna.

 

KONTROVERSI DAKWAAN PALSU SPF DI DALAM SUNSCREEN

 

Salah satu isu penting yang perlu diambil kira oleh pengguna adalah mengenai sejauh mana benarnya tahap SPF yang tertera pada botol produk mereka. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, kandungan minima SPF adalah 15-30, mengikut American Academy of Dermatology (AAD), kandungan minima SPF adalah 30. Consumer reports (sebuah badan NGO antarabangsa yang berperanan melindungi pengguna, berpengkalan di Amerika Syarikat) telah membuat kajian mengenai kandungan SPF sebenar lebih 60 produk sunscreen untuk mengetahui samada dakwaan SPF yang dinyatakan pada label produk tersebut adalah benar dengan menggunakan standard yang ditetapkan oleh AAD iaitu SPF30. Kajian tersebut mendapati 43% dari produk tersebut tidak mencapai tahap SPF 30 seperti yang didakwa (rujukan). Jadi ini akan menjadi satu isu besar kepada pengguna untuk mencari jenis produk sunscreen yang benar-benar mengikut garispanduan yang telah ditetapkan.

 

SUPLEMEN DAN PERLINDUNGAN CAHAYA MATAHARI

 

Terdapat juga pengeluar produk yang mendakwa menghasilkan minuman berkhasiat ataupun suplemen yang kononnya dapat memberi perlindungan kulit dari sinaran UV, salah satunya dikenali sebagai UVO. Pengeluar produk ini mendakwa produk ini mengandungi vitamin, antioksidan dan fitonutrin, dapat melindungi kulit selama 3-5 jam iaitu lebih berkesan dari konvensional sunscreen. Walau bagaimanapun dakwaan syarikat pengeluar ini tidak disokong oleh bukti kajian saintifik dan disebabkan ianya diletakkan di bawah makanan tambahan ataupun suplemen, ianya tidak memerlukan kelulusan FDA. Rujukan 

 

KESIMPULAN

 

Kulit adalah organ yang terbesar di dalam tubuh badan manusia. Kulit terdiri dari lapisan epidermis dan dermis. Lapisan epidermis terdiri dari sel-sel epithelial yang juga dikenali sebagai keratocytes dan beberapa jenis sel-sel khusus. Sel-sel keratocytes tersusun di dalam beberapa lapisan dari lapisan bawah hingga ke lapisan atas. Proses kematangan sel keratocyte berlaku dari bawah ke atas dan lapisan paling atas mengandungi sel-sel mati. Kulit memainkan peranan penting di dalam melindungi badan dari ancaman luar termasuk sinaran UV dari matahari dan juga serangan mikroorganisma. Warna kulit ditentukan oleh kandungan melanin di dalam sel-sel di epidermis dan melanin dihasilkan oleh sel khusus yang dikenali dengan melanosit. Pendedahan sinaran UV ke atas kulit boleh merosakkan DNA sel-sel epidermis dan menyebabkan kerosakan kulit, proses penuaan pramatang, menganggu sistem pertahanan badan dan kepada individu yang tertentu boleh mengakibatkan kanser kulit. Tabiat suntanning dan “indoor tanning” untuk mendapat kulit keperangan melalui pendedahan kepada sinaran UV tidak digalakkan oleh pertubuhan kesihatan termasuk CDC kerana mudarat yang bakal dibawa oleh tabiat ini kepada kesihatan kulit dan mata. Malahan banyak negara-negara yang telah mengharamkan amalan “indoor tanning” ke atas rakyat mereka.

 

Penggunaan sunscreen adalah amalan yang digalakkan oleh banyak pertubuhan-pertubuhan kesihatan dunia disebabkan oleh manfaat yang boleh diperolehi darinya. Penggunaan sunscreen perlu mengikut tatacara yang disyorkan oleh FDA ataupun Pertubuhan Dermatologi supaya ianya dapat memberi manfaat di samping mengelak dari berlakunya kesan sampingan. Terdapat bukti yang baik mengenai kesan penggunaan sunscreen dengan pengurangan risiko kanser kulit. Walau bagaimanapun sunscreen mempunyai beberapa kelemahan iaitu ianya terdiri dari beberapa jenis bahan kimia, perlu diaplikasikan secara tetap 2-3 jam sekali dan terdapat kajian pengguna yang menunjukkan bahawa 43% dari produk sunscreen yang dijual tidak mempunyai tahap SPF yang didakwa pada label produk. FDA telah menyenaraikan beberapa jenis bahan kimia yang selamat digunakan dan walaupun ada sedikit keraguan dari segi kesan sampingan, FDA telah menyarankan bahawa amalan menggunakan sunscreen membawa lebih manfaat dari mudarat. Kaitan di antara penggunaan sunscreen dengan penghasilan vitamin D3 telah dibuat kajian dan mendapati bahawa penggunaan sunscreen tidak mengurangkan penghasilan vitamin D3 oleh kulit. Untuk mendapat manfaat yang maksimum, jenis dan kaedah penggunaan sunscreen hendaklah betul. Belum ada bukti kajian saintifik yang kukuh dapat membuktikan bahawa pengambilan suplemen secara makan ataupun minum dapat melindungi kulit sebaik penggunaan sunscreen secara topikal di dalam mencegah pendedahan kepada sinaran UV.

 

 

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan ataupun institusi.

 

RUJUKAN

 

https://en.wikipedia.org/wiki/Sunscreen

http://www.medscape.org/viewarticle/764184_transcript

https://en.wikipedia.org/wiki/Sunburn

https://en.wikipedia.org/wiki/Sun_tanning

http://emedicine.medscape.com/article/1294744-overview#a1

http://anthro.palomar.edu/adapt/adapt_4.htm

Stern RS. Prevalence of a history of skin cancer in 2007: results of an incidence-based model. Arch Dermatol. 2010 Mar;146(3):279-82.

http://www.consumerreports.org/sunscreens/get-the-best-sun-protection/

 

Robinson JK. Sun Exposure, Sun Protection, and Vitamin D. JAMA 2005; 294: 1541-43.

Hughes MC, Williams GC, Baker P, Green AC; “Sunscreen and Prevention of Skin Aging, a Randomized Trial”. Annals of Internal Medicine. 2013; 158(11):781-790.

 

Holloway L. Atmospheric sun protection factor on clear days: its observed dependence on solar zenith angle and its relevance to the shadow rule for sun protection. Photochem Photobiol 1992;56:229-34.

 

American Academy of Dermatology. Position Statement on Vitamin D. 2010, December 22

 

The International Agency for Research on Cancer Working Group on artificial ultraviolet (UV) light and skin cancer. The association of use of sunbeds with cutaneous malignant melanoma and other skin cancers: A systematic review. International Journal of Cancer: 2006 March 1;120:1116–1122.

 

Global Solar UV Index. World Health Organization.http://www.who.int/uv/publications/en/UVIGuide.pdf.

 

Neale, R, Williams, G, Green, A.  Application patterns among participants randomized to daily sunscreen use in a skin cancer prevention trial. Arch Dermatol. 2002 Oct; 138, 1319-1325.

 

Report on Carcinogens, Eleventh Edition (Ultraviolet Radiation Related Exposures); U.S. Department of Health and Human Services, Public Health Service, National Toxicology Program.

 

Paller, AS et al. New Insights About Infant and Toddler Skin: Implications for Sun Protection. Pediatrics. 2011 July; 128 (1): 92-102.

 

FDA (http://www.fda.gov/Drugs/ResourcesForYou/Consumers/BuyingUsingMedicineSafely/UnderstandingOver-the-CounterMedicines/ucm239463.htm

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now