• Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon
  • Pinterest Social Icon
  • Instagram Social Icon

© 2023 by "This Just In". Proudly created with Wix.com

Also Featured In

    Like what you read? Donate now and help me provide fresh news and analysis for my readers   

Kelahiran Semulajadi (Alamiah): Adakah ianya selamat ?

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi

Jabatan Obstetriks & Ginekologi

Hospital Sultanah Bahiyah

 

 

Tulisan ini adalah sambungan dari rencana yang saya tulis sebelum ini di atas tajuk MELAHIRKAN ANAK DI RUMAH:MITOS DAN REALITI. Pembaca-pembaca digalakkan untuk membaca rencana tersebut terlebih dahulu sebelum meneruskan pembacaan tulisan ini kerana ianya mempunyai kaitan dan bagi memudahkan kefahaman.

 

Sepertimana tulisan-tulisan saya yang terdahulu, isi kandungan rencana ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana individu, pertubuhan ataupun institusi. Tujuan rencana ini ditulis adalah untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat umum.

 

Saya mengambil keputusan untuk menulis rencana ini memandangkan sudah terdapat kecenderungan masyarakat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Kelahiran Semulajadi ataupun di dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Natural Birth. Perkembangan ini mungkin disebabkan masyarakat kita terpengaruh dengan perkembangan luar negara dan juga oleh promosi yang dijalankan oleh segelintir individu2 atau golongan-golongan tertentu di Malaysia.

 

KEHAMILAN DAN KELAHIRAN ANAK

 

Kehamilan dan kelahiran adalah proses semulajadi dan sangat kompleks jika dikaji dari aspek fisiologi dan juga pengaruh psikologi ke atasnya. Apabila menyebut semulajadi maka terlintas di fikiran kita sesuatu yang tulin, bersih dan mengikut lumrah alam. Apa-apa proses yang berjalan mengikut lumrah alam tanpa gangguan atau intervensi akan dianggap tulin dan berkualiti tinggi. Seperti menanam tumbuhan dan membela haiwan organik tanpa sebarang penggunaan baja, ubat dan bahan kimia. Tumbuhan dan haiwan ini dikatakan mempunyai kualiti yang lebih baik jika dibandingkan dengan tumbuhan dan haiwan yang dihasilkan melalui kaedah pembajaan, suntikan ubat dan lain-lain bahan kimia untuk mencegah penyakit dan meningkatkan proses pembesaran. Inilah kepercayaan orang ramai walaupun tidak ada bukti kukuh mengenai kebenarannya. Inilah sebenarnya analogi mudah untuk menggambarkan asas kepada amalan Kelahiran Semulajadi (Natural Birth) ataupun istilah-istilah lain yang merujuk kepada perkara yang sama seperti Kelahiran AlamiahKelahiran FitrahGentle BirthUn-medicated Birth dan lain-lain. Apabila tidak ada gangguan ataupun manipulasi dari unsur-unsur luar samada di dalam bentuk ubat-ubatan mahupun prosedur-prosedur pembedahan, maka dikatakan proses kehamilan dan kelahiran itu akan menjadi bersih, tidak tercemar dan hasilnya adalah kesihatan fizikal dan mental anak serta ibu yang lebih baik untuk jangkamasa terdekat dan juga jangkamasa panjang.

 

KELAHIRAN SEMULAJADI (NATURAL BIRTH)

 

Konsep kelahiran semulajadi ini sebenarnya dipraktikkan semenjak awal kehamilan sehinggalah selepas bersalin. Golongan-golongan yang memperjuangkan konsep kelahiran semulajadi ini mengganggap bahawa kaedah rawatan moden yang diamalkan di pusat-pusat rawatan serta hospital-hospital adalah bertentangan dengan aliran pemikiran mereka dan apa sahaja bentuk intervensi (suntikan, ubat2an, prosedur2 dll) yang ingin mengubah perjalanan proses kehamilan dan kelahiran dianggap melawan fitrah dan akan memudharatkan kedua-dua ibu dan anak.

 

Dengan kemudahan mendapatkan maklumat tanpa sempadan melalui internet, ramai di kalangan ahli masyarakat kita terpengaruh dan tertarik dengan konsep kelahiran semulajadi yang diamalkan oleh sekelompok pengamal2nya di beberapa negara-negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain. Mereka lebih teruja apabila melihat kejayaan-kejayaan yang dikongsi oleh pengamal-pengamal kelahiran semulajadi ini walaupun ianya lebih kepada testimoni semata-mata. Testimoni yang hanya menonjolkan kejayaan semata-mata tetapi melindungi cerita-cerita sedih dan komplikasi yang terjadi akibat darinya. Lebih meyakinkan mereka adalah apabila melihat ada pengamal-pengamal perubatan moden sendiri yang menyokong dan menjadi pelupur kepada konsep kelahiran semulajadi ini.

 

Semasa hamil, mereka tidak digalakkan untuk menjalani ujian-ujian saringan dan diagnostic termasuk ujian ultrasound dan ujian2 saringan yang lain kerana pada pandangan mereka ujian-ujian ini hanya akan meningkatkan tekanan perasaan dan ketidakpastian. Malah ada yang tidak melakukan ujian-ujian darah, ujian air kencing dan juga ujian tekanan darah disebabkan oleh factor kemungkinan perlu menjalani ujian lanjut dan intervensi tambahan yang menambahkan tekanan emosi ke atas mereka serta mengganggu perjalanan proses kehamilan semulajadi mereka. Tekanan ini pada mereka akan memberi kesan yang negatif ke atas ibu dan juga anak. Semasa hendak melahirkan anak, wanita-wanita ini ditegah dari menjalani prosedur2 biasa kelahiran seperti menjalani induction of labour, augmentation of labour, ubat tahan sakit, ubat oxytocic, episiotomy serta bantuan kelahiran seperti forceps dan ventouse.  Selepas kelahiran anak, tali pusat tidak dipotong dan akan ditinggalkan sehingga uri keluar dengan sendirinya. Banyak lagi amalan-amalan mereka yang tidak dapat saya nyatakan di sini disebabkan oleh ruang yang terbatas.

 

AMALAN KELAHIRAN SEMULAJADI DI NEGARA BARAT

 

Di negara Barat, amalan kelahiran semulajadi ini sebenarnya dilaksanakan di dalam ruang lingkup system perkhidmatan kesihatan moden itu sendiri, dengan menggunakan khidmat bidan terlatih dan pakar perubatan keluarga. Pendek kata, amalan ini masih di bawah pemantauan kakitangan yang datangnya dari sumber yang sama dan menggunakan fasiliti dan kelengkapan perubatan yang sama apabila perlu dirujuk ke hospital ataupun pusat-pusat rawatan berpakar jika berlaku komplikasi. Jadi terdapat komunikasi dan networking yang berkesan di antara kedua-duanya walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat dan pendekatan.

 

 

Saya berkesempatan untuk membaca buku tulisan seorang doktor dan juga Pakar Perubatan keluarga yang terkenal dengan amalan kelahiran semulajadi iaitu Dr.Sarah Buckley. Mungkin ramai pengamal-pengamal kelahiran semulajadi di Malaysia mengenali Dr.Sarah yang merupakan penulis buku berjudul Gentle Birth, Gentle Mothering. Buku ini menceritakan pengalaman penulis sendiri melahirkan anak melalui kaedah kelahiran semulajadi bermula dari proses kehamilan sehinggalah beliau melahirkan 4 orang anaknya. Beliau menceritakan bagaimana beliau dapat berkomunikasi dengan anak di dalam kandungan melalui hubungan naluri/firasat (“instinct”). Bagaimanakah agaknya kaum-kaum ibu kita dapat menguasai ilmu dan falsafah ini yang pada pandangan saya lebih banyak persepsi dan fantasi dari reality. Apabila membaca isi kandungan buku beliau, maka saya boleh katakan bahawa tidak hairanlah mengapa kehamilan dan kelahiran beliau berjalan dengan lancar tanpa intervensi, walaupun kesemuanya berlaku di rumah. Saya katakan begitu kerana: (1) beliau adalah seorang doctor yang mempunyai pengetahuan luas mengenai perubatan, (2) kehamilannya berisiko rendah, (3) beliau membuat persediaan yang sangat rapi semasa kehamilan dari segi persediaan emosi, persediaan fizikal dengan menjaga pemakanan, melakukan senaman yoga setiap hari, mengambil suplemen dan (4) mempunyai Bidan terlatih serta Pakar Perubatan Keluarga peribadi sendiri. Proses kelahiran beliau di rumah pula dipantau oleh bidan terlatih dan juga pakar perubatan keluarga yang kedua-duanya hadir ketika akhir proses kelahiran. Anak yang dilahirkan pula mempunyai berat badan kurang dari 3 kg. Sesiapa sahaja yang membaca buku beliau akan teruja dan mudah terpengaruh dengan kejayaan beliau melahirkan anak tanpa intervensi dan ubat-ubatan di rumah tetapi jika dikaji dari latarbelakang dan persediaan beliau, maka pada pandangan saya, pengalaman beliau ini bukanlah satu contoh yang baik untuk menjadikan kelahiran semulajadi ini sebagai satu amalan yang selamat terutama oleh ibu-ibu di Negara kita. Melalui pengamalan beliau sendiri melahirkan anak dengan kaedah semulajadi ini beliau menulis buku, menawarkan bengkel2 latihan dan lain-lain perkhidmatan yang boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan kepada beliau.

 

KELAHIRAN SEMULAJADI DAN RAWATAN PERUBATAN MODEN

 

Apakah konsep Kelahiran Semulajadi ini bertentangan dengan kaedah rawatan moden? Ini adalah persoalan yang penting yang perlu kita jawab supaya kita mendapat pencerahan mengenai reality dan situasi sebenar perkhidmatan kesihatan moden khususnya rawatan kesihatan ibu yang hamil dan yang melahirkan anak. Pada pandangan Pengamal Perubatan moden, tidak menjadi kesalahan untuk membantu ataupun melakukan intervensi ke atas proses semulajadi jika tujuannya adalah untuk memberi kesihatan yang lebih baik kepada ibu dan anak. Tidak semua proses semulajadi itu berjalan dengan baik kerana kehidupan ini sememangnya dijadikan sebegitu, penuh cabaran dan liku-liku. Manusia diberi akal untuk mencari jalan penyelesaian melalui teknologi dan ubat-ubatan. Kalau zaman dahulu untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat, kita perlu berjalan kaki, tapi pada hari ini manusia mencipta kenderaan. Mengapa kita perlu kekal dengan kaedah lama, jika kaedah baru ini dapat memberi keselesaan, tempoh masa yang lebih singkat dan selamat. Hujan adalah fenomena semulajadi tetapi ianya boleh memudharatkan jika turun dengan lebat dan menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kita sebagai manusia diberi akal untuk mencari jalan dan ikhtiar bagaimana untuk membuat persediaan dan menyelamatkan diri dari bahaya banjir. Maka ikhtiar itu tidak boleh dianggap sesuatu yang tidak baik, melawan atau mengubah sesuatu fenomena alam semulajadi. 

 

Jangkamasa kehamilan dan kelahiran yang dibiarkan terlalu lama boleh memudharatkan ibu dan anak. Ibu-ibu yang berisiko tinggi perlu menjalani saringan dan ujian-ujian yang bertujuan mengesan masalah kesihatan awal supaya dapat ditangani dengan berkesan. Di dalam perubatan moden, kita beramal berdasarkan kepada bukti kajian saintifik dengan pertimbangan manfaat dan mudharat. Setiap intervensi memang mempunyai mudharatnya tetapi jika manfaatnya lebih besar, maka langkah yang terbaik adalah meneruskan intervensi tersebut. Intervensi-intervensi itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, perlu didahului dengan penerangan dan kebenaran pesakit terlebih dahulu. Di dalam menyediakan rawatan, kehendak pesakit sangat diutamakan dan di dalam menentukan jenis rawatan, pesakit disyorkan untuk terlibat di dalam proses membuat keputusan. Tidak semua wanita-wanita hamil perlu menjalani saringan, manakala pemeriksaan ultrasound bukan sesuatu yang rutin dan wajib dilakukan, begitu juga “induction of labour” tidak dilakukan sewenang2nya, “Pitocin augmentation” juga dipertimbangkan hanya jika perlu itupun dengan pemantauan rapi. Episiotomi sudah tidak menjadi prosedur yang rutin dan di dalam banyak kelahiran, episiotomy tidak dilakukan. Bantuan melahirkan anak hanya akan disyorkan jika didapati anak atau ibu atau kedua-duanya sekali di dalam keadaan mudharat, jika dibiarkan terus begitu. Begitu juga dengan pembedahan caesarean section, satu pembedahan besar yang disyorkan hanya bertujuan untuk menyelamatkan nyawa anak. Pada masa dahulu, ramai ibu yang mati disebabkan oleh pendarahan yang banyak selepas melahirkan anak disebabkan oleh faktor rahim yang tidak mengecut dengan baik dan tidak dikendalikan oleh petugas yang terlatih. Kaedah pengendalian peringkat ketiga yang lebih baik pada hari ini telah mengurangkan kadar kejadian pendarahan selepas bersalin ataupun Postpartum Haemorrhage (PPH) dan kini kita sudah jarang mendengar kes kamatian ibu disebabkan oleh PPH. Membiarkan uri di dalam Rahim untuk jangkamasa yang lama boleh mengundang bahaya termasuk pendarahan serius dan kegagalan rahim untuk mengecut dengan berkesan. Pendek kata, hasil dari amalan-amalan perubatan moden ini, kita sudah dapat melihat kadar kecederaan (morbidity) dan kematian ibu dan anak semasa hamil dan semasa proses kelahiran telah menurun dengan banyaknya pada hari ini jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu.

 

Walaupun pada prinsipnya terdapat banyak perbezaan di antara amalan golongan2 Kelahiran Semulajadi dengan kaedah rawatan moden, jika diperincikan dengan lebih mendalam, sebenarnya terdapat sedikit persamaan di dalam beberapa komponen amalan tersebut. Terdapat beberapa kepercayaan atau pendirian pengamal2 Kelahiran Semulajadi ini yang tidak bertentangan dengan perubatan moden dan di antaranya adalah : (1) Ibu mempunyai hak ke atas kesihatan diri dan anak di dalam kandungan, (2) Ibu mempunyai hak untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk dirinya dan anak di dalam kandungan, (3) Tekanan perasaan boleh mengganggu kelancaran proses kelahiran; kadar komplikasi kelahiran dan intervensi lebih rendah jika ibu menjalani proses kelahiran di dalam persekitaran yang beliau sukai, mudah bergerak, bebas untuk mengambil sebarang posisi semasa sakit dan semasa melahirkan anak (posisi yang selesa kepada ibu dan memudahkan kelahiran anak) dan (4) Penyusuan ibu dan sentuhan kulit ke kulit (skin-to-skin contact) sangat perlu digalakkan dan dimulakan secepat mungkin tanpa gangguan. Pendek kata, ada amalan-amalan di dalam kedua-dua konsep kelahiran ini yang bertindihan dan tidak bertentangan. Jadi mengapa perlu memilih amalan tersebut jika ianya juga dilaksanakan di dalam perkhidmatan rawatan moden yang lebih selamat.

 

CONTOH AMALAN KELAHIRAN SEMULAJADI DAN AMALAN BERDASARKAN BUKTI KAJIAN SAINTIFIK (EVIDENCE BASED PRATISE FOR DELIVDERY)

 

Untuk mendapat sedikit gambaran mengenai kaedah amalan Kelahiran Semulajadi, sila lihat Jadual 1 yang merupakan sebahagian dari petikan yang saya ambil dari buku tulisan Dr.Sarah Buckley. Sila buat perbandingan dengan amalan perubatan moden yang berasaskan bukti kajian saintifik (evidenced based practise) yang diadaptasikan dari cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Jadual 2. Dari Jadual 1, jelas menunjukkan bahawa walaupun di dalam semua keadaan, sebarang intervensi adalah tidak digalakkan tetapi pokoknya kebergantungan kepada kakitangan terlatih seperti bidan dan pakar perubatan masih diperlukan dan jika keadaan terpaksa, maka mereka akan mengikut nasihat dan menerima intervensi yang disyorkan. Isu ini sangat penting untuk dijadikan rujukan oleh pengamal2 pro Kelahiran semulajadi di negara kita supaya menyedari bahawa mereka tidak boleh bergerak sendirian dan ibu-ibu yang menjadi pilihan untuk disasarkan adalah ibu-ibu yang berisiko rendah. Jika ibu-ibu yang terpilih dan terpengaruh untuk mengamalkan kelahiran semulajadi ini perlu melalui proses kelahiran di rumah, maka mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang telah saya gariskan di dalam rencana tulisan saya yang terdahulu mengenai Melahirkan Anak diRumah.Jika dilihat amalan-amalan perubatan moden berasaskan kajian saintifik seperti di Jadual 2, jelas sekali bahawa prinsip amalan kita adalah mudah dan meletakkan pesakit sebagai objek utama di dalam memberi perkhidmatan. Kadangkala tidak melakukan sesuatu (“non-interventional”) itu menjadi lebih complicated dan menyusahkan (rujuk Jadual 1), contohnya kita boleh bayangkan bagaimana perasaan ibu jika proses bersalin menjadi terlalu lama, sakit bersalin yang ditangani hanya dengan kaedah alternatif dan apabila uri dan tali pusat ditinggalkan di dalam Rahim untuk jangkamasa yang panjang. Di samping kesihatan ibu, ada juga amalan-amalan mereka ini yang boleh mengancam kesihatan anak yang dilahirkan terutama jika anak itu lemas ataupun “flat”.

 

 

Jadual 1:Sebahagian dari amalah-amalan yang disyorkan oleh Pengamal Kelahiran Semulajadi (Apa yang perlu dilakukan oleh Pengamal). Petikan dari buku Gentle Birth Gentre Mothering.

 

 

Jadual 2: Amalan perubatan moden penjagaan ibu semasa melahirkan anak (Evidence based practises during delivery). Adaptasi dari WHO Reproductive Health Library dan Pearls of Midfery (www.jmwh.org)

 

 

PERKHIDMATAN KESIHATAN IBU DAN ANAK DI MALAYSIA

 

Berbanding dengan zaman dahulu, negara kita telah mengorak langkah menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak yang jika dibuat perbandingan, mungkin antara yang terbaik di rantau ini. Kementerian telah melatih ramai petugas-petugas perubatan di dalam bidang kebidanan dan juga latihan kepada doctor-doktor samada di dalam peringkat ijazah mahupun peringkat sarjana.

 

Kementerian Kesihatan telah memperbaiki prasarana dan menggalakan setiap hospital supaya menyediakan perkhidmatan Penjagaan Mesra Ibu (Mother Friendly Care) dan “Companionship in labour” (dahulunya dikenali sebagai Husband friendly). Hampir semua hospital sudah menyediakan perkhidmatan “companionship in labour” iaitu membenarkan ibu ditemani semasa proses kelahiran (setelah memenuhi syarat2nya) dan semakin banyak hospital yang kini sudah memulakah perkhidmatan Penjagaan Mesra Ibu iaitu menyediakan ruang khas kelahiran yang membenarkan ibu2 ini bergerak bebas dan cuba memenuhi kehendak mereka berkenaan dengan posisi ketika melahirkan anak (“Birthing Position”). Penjagaan mesra ibu ini baru di peringkat permulaan dan kita sedang dalam proses memperkukuhkannya dari masa ke semasa. Kementerian juga sangat menitikberatkan kemudahan penyusuan ibu sehingga ke-semua hospital kerajaan dikehendaki mendapat status dan pengiktirafan HOSPITAL RAKAN BAYI. Kesemua langkah2 ini adalah bertujuan supaya ibu-ibu yang melahirkan anak ini diberi lebih kebebasan untuk memilih kaedah rawatan yang dirasakan terbaik untuk diri mereka tanpa mengenepikan isu keselamatan ibu dan anak. Melalui kaedah ini diharap kadar komplikasi kelahiran dan kadar intevensi ke atas kelahiran dapat dikurangkan di samping meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepuasan ibu-ibu. Masih banyak lagi usaha-usaha yang sedang dirancang untuk memperbaiki apa yang ada pada hari ini. 

 

Walaupun masih banyak lagi usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap ibu-ibu yang hamil perlu sedar bahawa faktor yang paling penting di dalam menentukan kaedah kelahiran mereka adalah faktor keselamatan (safety), walaupun ada sebahagian dari kehendak-kehendak mereka tidak dapat dipenuhi sepenuhnya oleh system perkhidmatan yang ada pada hari ini. Bersalin di tempat yang mudah akses kepada pusat rujukan dan dikendalikan oleh bidan yang terlatih di dalam bidang kebidanan moden adalah yang paling selamat. Jangan tersilap pertimbangan sehingga mengenepikan isu-isu keselamatan ibu dan anak dan lebih mengutamakan kehendak-kehendak lain yang mungkin tidak disediakan oleh perkhidmatan kerajaan ataupun swasta. Kesilapan ini boleh mengorbankan nyawa diri sendiri dan anak yang dilahirkan.

 

KESIMPULAN

 

Kesimpulannya, di dalam kontek negara Malaysia, amalan Kelahiran Semulajadi (Natural Birth) ataupun Gentle Birth ataupun apa sahaja istilah lain yang digunakan perlu dinilai semula oleh semua pihak terutama golongan yang mempeloporinya kerana jika ianya dilaksanakan semborono, ia bakal mengundang bahaya kepada ibu-ibu dan anak-anak memandangkan latarbelakang prinsip perlaksanaannya yang mengenepikan bukti-bukti kajian saintifik, sebaliknya lebih banyak bersandarkan kepada kepercayaan, andaian mudah dan firasat semata-mata. Jikapun hasil kajian saintifik digunakan, mereka hanya mengambil kajian2 yang menyokong prinsip amalan mereka walaupun kekuatan bukti kajian tersebut adalah lemah, dan mereka mengenepikan hasil-hasil kajian yang bertentangan dengan mereka meskipun kajian2 tersebut lebih kukuh. Pengamal-pengamal Kelahiran Semulajadi ini perlu menyedari bahawa kejayaan yang dicapai oleh pengamal2 kelahiran semulajadi di luar negara sebenarnya terhasil dari kerjasama dan bantuan bidan terlatih dan pakar perubatan keluarga peribadi yang membantu mereka semasa hamil dan semasa melahirkan anak. Di sana masyarakatnya lebih berpendidikan, lebih berpengetahuan yang walaupun mengamalkan kaedah kelahiran semulajadi ini, mereka masih memberi ruang untuk disokong oleh kaedah rawatan moden, mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan kepakaran yang lebih mudah, mempunyai bidan dan doctor peribadi sendiri serta sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih efficient. Testimoni-testimoni yang menarik dipaparkan oleh mereka sebenarnya hanyalah cerita-cerita terpilih untuk mempengaruhi pembaca, banyak cerita-cerita sedih akibat amalan ini tidak disiarkan termasuk kes-kes kematian ibu di rumah. Kita di Malaysia, jika mengambil bulat2 amalan ini dan cuba mempraktikkannya di sini, dengan tidak membuat cukup persediaan, kelahiran tidak dikendalikan oleh petugas terlatih, tidak mempertimbangkan tahap risiko ibu yang hamil dan tidak mengambilkira sistem rujukan dan prasarana yang ada, kita bakal memudharatkan ramai ibu-ibu yang hamil dan pastinya kita bakal meningkatkan kadar kelahiran tidak selamat yang boleh meningkatkan kadar kematian ibu dan anak di negara kita.

 

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun pertubuhan.

Please reload

                 Penulis
Recommanded Sites

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

DSDK.,SDK.,AMK.,BCK

MD,MOG(UKM),FGO(S'pore),AM

Klik di sini untuk biodata

This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now